Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Semput: Bukan sekadar capai penyedut...

Apakah langkah lain yang boleh diambil?
Jan 10, 2022 | 05:30 AM



SOAL JAWAB BERSAMA: PAKAR PERUBATAN KELUARGA, KLINIK BANYAN@JW, DR ZURAIMI MOHAMED DAHLAN



APAKAH ITU SEMPUT?



SEMPUT adalah penyakit pernafasan biasa yang didorong keradangan saluran pernafasan kronik, mengakibatkan kesukaran bernafas.



Di Singapura, sekitar 5 peratus dan 20 peratus orang dewasa dan kanak-kanak di Singapura menghidap semput.



Gejala biasa termasuk berdehit, sesak nafas, dada sesak dan batuk. Ia lebih kerap dialami pada waktu malam atau awal pagi.



Jika tidak dikawal, gejala itu boleh mengganggu kegiatan harian sama ada bekerja, beriadah atau sekadar membawa pulang beg beli-belah dari kedai.



Semput yang tidak dikawal dengan baik boleh meningkatkan risiko serangan serius, dimasukkan ke hospital dan juga kematian.



Dengan rawatan dan kawalan ia boleh meningkatkan mutu hidup pesakit secara ketara dalam jangka pendek dan panjang.



SIAPA LEBIH TERDEDAH?



Semput punya kaitan kuat dengan faktor sejarah dalam keluarga serta faktor persekitaran seperti pencemaran dan alergen.



Ia juga dikaitkan dengan keadaan seperti rinitis alahan atau radang pada membran mukus hidung, konjunktivitis, dan atopi.



Semput kerap bermula pada zaman kanak-kanak, tetapi sesetengah mungkin mengalaminya pada masa dewasa.



Sesetengah kanak-kanak mungkin dapat mengatasi semput, tetapi yang lain mungkin tidak.



Semput adalah keadaan di mana saluran pernafasan meradang dan menjadi lebih sensitif daripada biasa.



Apabila terdedah kepada pencetus tertentu, saluran pernafasan bertindak balas secara berlebihan, menjadi lebih sempit dan pernafasan menjadi sukar.



Pencetus biasa termasuk asap rokok, hama habuk, jangkitan virus seperti selesema, debunga, alergen haiwan peliharaan dan pencemaran udara seperti jerebu.



Apabila kanak-kanak yang menghidap semput membesar, diameter bronkiol (laluan udara dalam paru-paru) mengembang, menjadikan semput 'hilang'.



Bagaimanapun, dalam beberapa kes, keradangan lapisan paru-paru menebal perlahan-lahan dari masa ke masa, menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit, dan semput berulang semasa dewasa.



APAKAH RAWATANNYA?



Semput yang ada kaitan kuat dengan faktor keluarga dan tidak boleh diubati tetap boleh dikawal dengan ubat-ubatan.



Adalah penting untuk menggunakan ubat dengan betul dan tepat pada masanya, mengikut pelan kawalan semput berdasarkan nasihat doktor.



Ubat paling kerap yang diberikan kepada penghidap semput ialah alat sedut pelega biru dan alat sedut pencegah:



1. Alat sedut pelega biru (SABA) untuk melegakan cepat gejala semput seperti berdehit dan sesak nafas.



Ia melegakan otot licin yang membalut bronkiol buat sementara waktu selama empat jam.



Selepas itu, otot licin akan mengecut semula. Apabila digunakan secara bersendirian, ia tidak mengawal semput.



2. Alat sedut pencegah (juga dipanggil alat sedut pengawal), yang mengandungi kortikosteroid yang disedut (ICS) untuk menguruskan semput dalam jangka masa panjang.



Ini mengurangkan keradangan dan kahak yang melapisi saluran pernafasan, dengan itu membesarkan diameter bronkiol.



Ini membantu mengelakkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan pada saluran pernafasan.



Penghidap semput perlu menggunakan alat sedut pencegah dengan kerap untuk mengawal semput. Adalah tidak digalakkan untuk menghentikan ubat ini melainkan atas nasihat doktor.



Alat sedut pelega biru membuka saluran pernafasan dan membuatkan pesakit semput berasa lebih baik dengan cepat, memberikan gambaran semput terkawal.



Bagaimanapun, alat sedut pelega biru tidak merawat keradangan dan oleh itu tidak akan menghalang serangan seterusnya.



Penggunaan alat sedut pelega biru yang kerap, tiga atau lebih kali seminggu, adalah petunjuk semput tidak dikawal.



Ini berbahaya kerana ia memberikan pesakit rasa selamat yang palsu dengan menutup gejala keadaan yang semakin teruk dengan kemungkinan serangan yang teruk.



Orang dewasa tidak digalakkan menggunakan alat sedut pelega biru sahaja tanpa alat sedut pencegah.



Pesakit semput hendaklah sentiasa gunakan alat sedut pencegah. Ia mengandungi sejumlah kecil steroid yang disedut bagi merawat keradangan pada lapisan saluran pernafasan paru-paru penyebab semput.



Bagi pesakit yang mengalami gejala yang kerap dan berterusan, alat sedut pencegah ini harus digunakan secara kerap dan mengambil masa dua minggu untuk berfungsi dengan berkesan.



BAGAIMANAKAH ALAT SEDUT PELEGA BIRU BERFUNGSI?



SIAPA PATUT GUNAKAN?



BAIK BURUK PENGGUNAAN?



Alat sedut pelega biru (reliever inhaler) adalah bronkodilator bertindak hanya seketika dan berfungsi membuka saluran pernafasan untuk memberikan kelegaan jangka pendek terutamanya sesak nafas.



Bagaimanapun, ia tidak menangani punca utama semput - keradangan saluran pernafasan.



Penyelidikan yang dijalankan di Singapura mendapati sepertiga individu yang masuk ke hospital ekoran semput yang mengancam nyawa hanya menggunakan alat sedut pelega biru untuk mengawal semput.



Garis panduan setempat dan antarabangsa mengesyorkan alat sedut pelega biru tidak boleh digunakan secara bersendirian, sebaliknya digunakan seiring alat sedut pencegah yang akan merawat semput.



Sesetengah alat sedut semput kini datang dengan gabungan ICS dan bronkodilator bertindak lebih lama (LABA) dalam satu alat sedut. Ia juga sering dirujuk sebagai pelega antiradang. Ini bukan sahaja mudah malah amat baik untuk kawalan keseluruhan semput dalam jangka panjang.



CARA URUS SEMPUT DENGAN BAIK



Bekerjasama dengan karyawan jagaan kesihatan untuk merangka pelan semput adalah perkara paling penting untuk dilakukan bagi penghidap semput.



Kemungkinan besar pelan itu termasuk menggunakan alat sedut pencegah.



Satu lagi cara menguruskan semput dengan lebih baik ialah mengenali jika anda terlalu bergantung pada alat sedut pelega biru.



Anda boleh menyemak sama ada ini berlaku di laman web ini dan boleh memuat turun keputusan untuk dikongsi dengan doktor untuk semakan:



https://www.rateyourreliance.sg/



Penghidap semput juga boleh mengamalkan petua gaya hidup berikut bagi menggalakkan pengurusan semput yang baik.



KENAL PASTI PENCETUS



Alergen (bahan atau barang yang mencetuskan alahan contohnya habuk, bulu haiwan dan kulat), tekanan, keletihan, senaman dan penyakit antara lain boleh mencetuskan gejala semput.



Bagaimanapun, semput setiap orang berbeza. Mengenal pasti pencetus adalah penting supaya ia boleh dielakkan jika boleh, atau mengurangkan kesannya jika ia tidak dapat dielakkan.



  • Berhenti merokok

Bahan kimia dalam rokok boleh merengsakan dan meradangkan saluran pernafasan, gejala menjadi bertambah teruk dan membuat ia sukar dikawal.



Oleh itu, berhenti merokok sangat dinasihatkan untuk pesakit semput. Doktor dapat menasihati dan membantu dengan rancangan berhenti merokok dan meningkatkan kawalan semput.



  • Kekal aktif

Walaupun senaman boleh mencetuskan gejala semput bagi sesetengah orang, ini berlaku jika semput tidak dikawal dengan baik.



Senaman baik untuk semput dan perlu diteruskan. Ramai ahli sukan dan wanita terkemuka menghidap semput dan telah cemerlang dalam sukan masing-masing.



Penghidap semput harus bekerjasama dengan doktor untuk menguruskan semput dengan baik sekali gus menghalang serangan akibat senaman dan meningkatkan prestasi.



TANGGAPAN SALAH TENTANG SEMPUT



a) Tanggapan salah: Memandangkan alat sedut pencegah mengandungi steroid, saya tidak sepatutnya menggunakannya kerana steroid tidak baik untuk kesihatan.



Alat sedut pencegah mengandungi steroid tahap rendah dan selamat disedut.



Doktor akan membantu pesakit mencari dos yang sesuai.



Dos ini jauh lebih rendah dan lebih selamat daripada dos besar yang digunakan semasa serangan semput.



b) Tanggapan salah: Penghidap semput tidak boleh bersenam



Penghidap semput boleh bersenam dan menjalani kehidupan yang normal.



Menjadi aktif bukan sahaja baik dari segi menjaga kesihatan, ia boleh membantu individu bernafas dengan lebih baik dan mengurangkan berat badan.



Berbincang dengan doktor sebelum memulakan sebarang program senaman.



VAKSIN TAMBAHAN KURANGI RISIKO COVID-19



Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, pesakit semput juga boleh mencegah serangan dan melindungi diri daripada dijangkiti virus Covid-19.



Gejala seperti batuk, berdehit, sesak nafas atau penggunaan alat sedut pelega biru yang kerap boleh menunjukkan kawalan yang lemah.



Bagaimanapun, adalah penting untuk berjumpa doktor untuk mengecualikan jangkitan Covid-19 apabila gejala sedemikian berlaku kerana ia juga mungkin menunjukkan jangkitan pernafasan.



Selain kawalan semput yang baik, vaksinasi terhadap Covid-19 juga amat disyorkan mengikut garis panduan pemerintah kerana kawalan semput yang lemah meningkatkan kerentanan kepada jangkitan.



Individu yang menghidap semput juga perlu mendapatkan vaksin influenza tahunan mereka serta vaksin terhadap jangkitan paru-paru pneumokokus.



Pemvaksinan tambahan itu akan mengurangkan serangan dan risiko jangkitan pernafasan ini supaya ia tidak dikelirukan dengan jangkitan Covid-19.




"Penghidap semput perlu menggunakan alat sedut pencegah dengan kerap untuk mengawal semput.

Adalah tidak digalakkan untuk menghentikan ubat ini melainkan atas nasihat doktor.

Alat sedut pelega biru membuka saluran pernafasan dan membuatkan pesakit semput berasa lebih baik dengan cepat, memberikan gambaran semput terkawal.

Bagaimanapun, alat sedut pelega biru tidak merawat keradangan dan oleh itu tidak akan menghalang serangan seterusnya."

- Dr Zuraimi Mohamed Dahlan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >