Golongan milenial sering disebut sebagai generasi paling bernasib tidak baik.
Ini kerana generasi ini, yang ditakrifkan sebagai mereka yang lahir antara 1981 dan 1996, menghadapi lebih banyak gangguan ekonomi, perubahan teknologi dan norma masyarakat yang berubah lebih pantas berbanding generasi sebelumnya.
Sedang Singapura kini di tengah-tengah sambutan ulang tahun ke-60 (SG60), izinkan anak milenial ini menyusuri pembangunan negara ini dari kaca mata generasinya.
Apabila penulis ini dilahirkan pada lewat 1980-an, kereta api MRT mula menderu, membelah bandar perumahan dan merentas pulau.
Kota Singa ini pula mengaum, digelar Harimau Asia di tengah-tengah pembangunan yang pesat. Ekonomi tumbuh secara purata 12.8 peratus antara 1986 dengan 1996.
Membesar pada 1990-an, ramai anak milenial di Singapura dipupuk dari awal: “Belajar rajin-rajin, cari kerja baik.”
Pada zaman itu, timbul juga peralihan dalam sistem pendidikan – daripada pembelajaran ‘rote’ yang memberi tumpuan kepada penghafalan kepada pemikiran kritikal, yang mementingkan kreativiti.
Sedang pendekatan lama mungkin lebih sesuai dalam menghasilkan pekerja dalam ekonomi yang membangun, pendekatan baru pula diperlukan untuk menghasilkan pelajar dalam ekonomi berteraskan ilmu.
Pada masa yang sama, pelajar juga dipupuk menjadi ‘well-rounded’; cemerlang dalam pelbagai aspek daripada akademik kepada kegiatan di luar darjah.
Sebagai pelajar menengah khususnya, saya masih ingat lagi tekanan menghasilkan gred yang baik dalam peperiksaan, dan cemerlang dalam pertandingan koir yang merupakan CCA pilihan saya. (Jangan ketawa okey. ‘Busuk-busuk’ pun dapat ke Korea Selatan untuk menyertai Olimpik Koir di Busan.)
Pada lewat 1990-an, Krisis Kewangan Asia kemudian turut menjejas Singapura.
Mungkin ada juga anak milenial seperti saya yang turut merasakan tempias daripada pergolakan ekonomi pada tahun-tahun kemudian, apabila pencari nafkah dalam keluarga diberhentikan kerja.
Ayah saya contohnya hilang pekerjaan sebagai penyunting video dalam syarikat penyiar setempat pada 2000-an, sebelum kemudian mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan hinggalah beliau bersara.
Dibesarkan oleh ibu ayah yang kededuanya bekerja, kehidupan kami enam beranak sederhana.
Percutian kami sekeluarga lazimnya di seberang Tambak. Paling jauh yang saya ingat, kami sekeluarga pernah sekali menaiki kapal terbang ke Jakarta.
Pada usia dewasa setelah bekerja, barulah saya dapat pergi bersama ibu bapa ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah dan bercuti ke Eropah.
Satu kejadian penting yang terjadi pada 2001 ialah tragedi 911 yang tentunya terpahat dalam memori ramai anak milenial.
Sedang kami meniti usia remaja waktu itu, identiti sebagai seorang Melayu/Islam menjadi satu isu yang hangat dibincangkan.
Membesar dengan kesedaran sebagai anggota masyarakat minoriti juga mendorong saya supaya bekerja lebih keras, untuk membasmi apa-apa stereotaip negatif yang mungkin wujud, sekurang-kurangnya dalam fikiran muda saya waktu itu.
Terdorong dengan visi negara ini menjadi hab bioperubatan, saya mengejar ijazah sarjana muda sains hayat di menara gading sebelum akhirnya berkecimpung dalam bidang kewartawanan secara tidak sengaja.
Kerjaya sebagai wartawan kemudian memberi peluang kepada anak watan ini mengikuti perkembangan negara dan masyarakat secara lebih dekat.
Pilihan Raya Umum (GE) 2011 merupakan antara GE pertama yang saya ikuti sebagai wartawan sepenuh masa. GE tersebut disifatkan sebagai titik peralihan, dan melihat Parti Pekerja (WP) memenangi GRC yang pertama di Aljunied.
Isu hangat seperti kos perumahan turut menjejas penulis dan bakal suami yang waktu itu merancang mendirikan rumah tangga. Kami akhirnya membeli flat jualan semula di Bedok Reservoir berdekatan kededua orang tua kami.
Dalam alam rumah tangga pula, generasi milenial melihat peranan jantina berubah berbanding generasi sebelumnya, yang lebih tradisional.
Dekad demi dekad, generasi milenial menyaksikan perubahan teknologi, dan golongan ini sering dianggap sebagai jambatan antara dunia analog dengan digital. Kami melihat kebangkitan teknologi digital, dan ramai yang melalui kehidupan sebelum Internet.
Ramai kanak-kanak milenial tentu mempunyai kenangan manis bermain bersama jiran di bawah blok. Ramai juga yang menikmati permainan video seperti Super Mario Bros dan Final Fantasy.
Tiba 2015, negara menyambut SG50. Warga bersatu hati meraikan sambutan jubli emas, dan bersedih dengan pemergian Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew.
Pandemik Covid-19 yang melanda pada 2020 lima tahun kemudian pula disifatkan sebagai krisis paling teruk dalam satu generasi, menjejas segenap lapisan masyarakat di hampir serata dunia.
Dengan sekelip mata, Singapura kini menyambut SG60.
Pada 2025, milenial paling tua berusia 44 tahun, dan paling muda 29 tahun. Ramai yang mempunyai anak kecil yang kini bersekolah, dan ramai pula yang juga dalam pertengahan kerjaya mereka.
Generasi milenial boleh dikatakan kini membentuk majoriti dalam tenaga kerja di Singapura. Perangkaan Kementerian Tenaga Manusia menunjukkan pada 2024 pekerja berusia 30 hingga 49 tahun membentuk sekitar 46 peratus tenaga kerja, berbanding 15 peratus bagi pekerja di bawah usia 30 tahun, dan 39 peratus bagi 50 tahun dan ke atas.
Mengimbau detik-detik penting dari zaman ke zaman, memang tidak semuanya indah, tetapi sudah tentunya tidak semuanya juga buruk.
Generasi milenial disifatkan sebagai golongan yang mementingkan kesihatan mental dan keseimbangan kerja-kehidupan. Ramai juga yang menikmati zaman muda lebih lama, kerana mereka berkahwin pada usia yang lebih matang.
Melihat kemajuan Singapura hari ini, anak milenial boleh rasa berpuas hati melalui pelbagai detik bersejarah sepanjang hayat kami sejauh ini.
Generasi milenial mungkin disifatkan sebagai generasi paling tidak bernasib baik. Namun, bagi ramai anak milenial seperti saya, kami berasa bernasib baik, sekurang-kurangnya dilahirkan di negara keramat ini.
Selamat ulang tahun ke-60, negaraku.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg