Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

WACANA

Sokongan pekerjaan jadi mangkin perubahan mereka yang bergelut masalah mental

Oct 01, 2023 | 05:30 AM



“Tidak ada pekerjaan yang tidak penting. Semua pekerjaan yang meningkatkan semangat kemanusiaan mempunyai martabat dan kepentingan dan harus dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan cemerlang.” – Dr Martin Luther King


Mungkin ramai yang masih menganggap bahawa orang-orang yang mempunyai cabaran kesihatan mental tidak boleh bekerja. Saya harap menerusi perkongsian ini saya dapat menyingkirkan tanggapan ini.

Jika kita meneroka sejarah, kita akan dapat banyak contoh orang-orang terkemuka yang mempunyai cabaran kesihatan mental. Namun, ramai telah menyumbang bakti menerusi kerjaya masing-masing.

Mereka termasuk Elon Musk, Robin Williams, Karen Carpenter, Micheal Phelps, Puteri Diana, Mel Gibson, Sir John Nash, Pablo Picasso, Ted Turner, Vincent Van Gogh dan Charles Dickens.

Apakah yang diperlukan untuk seseorang itu berjaya di alam pekerjaan?

Pertama sekali, seseorang itu harus mengenal pasti kekuatannya dan minatnya. Semua orang ada kelebihan-kelebihan tertentu. Dengan kepelbagaian minat dan kekuatan ini, dapatlah keperluan masyarakat dipenuhi.

Kedua, setiap orang harus diberi peluang untuk membina ilmu dan kemahiran dalam bidang yang diminati.

Peluang ini akan terhalang jika orang-orang yang terdekat tidak menaruh kepercayaan dan memberi sokongan yang diperlukan.

Ini selalunya bermula daripada ibu bapa, kemudian para guru dan sahabat-handai. Dengan sokongan orang sekeliling, termasuk karyawan kesihatan yang membantu merawat penyakitnya, seseorang akan lebih yakin dengan diri dan keupayaannya dan cabaran kesihatan mental yang dihidapi tidak menjadi tembok penghalang yang akan menghambat daripada menceburi bidang yang diminati.

Ketiga, seseorang harus terus mengamalkan gaya hidup sihat dari pelbagai aspek, bukan hanya dari segi fizikal tetapi juga dari segi mental, emosi, sosial dan kerohanian.

Makanan yang sihat dan berkhasiat, senaman yang tetap, tidur dan rehat yang mencukupi, rangkaian sokongan yang baik dan matlamat hidup yang memberi makna kepada kehidupan kesemuanya penting.

Pendek kata, bukan sahaja makan minum harus halalan toyyiban, tetapi beliau sendiri harus melakukan perkara-perkara sedemikian untuk tetap sihat dan cergas.


Keempat, seseorang itu harus mewujudkan suasana yang tenang dan menyokong dirinya sendiri. Jika beliau mendapati dirinya dalam suasana yang kerap menimbulkan tekanan berlebihan, hindarilah suasana demikian.

Tidak semua majikan prihatin akan kebajikan pekerja-pekerjanya, dan tidak semua rakan-rakan kerja dapat memahami keadaan kita dan menunjukkan sikap rahmah dan membina.

Program Kembali Bekerja di Kelab Heal

Di Kelab Heal, kami membantu orang-orang yang mempunyai cabaran kesihatan mental seperti kemurungan, keresahan atau psikosis berintegrasi dalam masyarakat dan kembali bekerja.

Kami membolehkan mereka menggunakan kemahiran-kemahiran dan keupayaan mereka untuk memperoleh pendapatan sendiri. Program ini dikelolakan oleh pegawai-pegawai sokongan pekerjaan, yang mana pegawai-pegawai ini sendiri pernah mempunyai cabaran kesihatan mental. Mereka dipanggil ‘peers’ di Kelab Heal.

Pegawai-pegawai ini lebih memahami para klien kami dan lebih berempati dalam melaksanakan tugas mereka.

Salah satu cara menarik yang kami lakukan untuk mengembalikan keyakinan diri klien kami dalam alam kerjaya dan dalam berinteraksi dengan masyarakat ialah dengan pengendalian ‘pushcart’ kami di IMH.

‘Pushcart’ ini memuatkan hasil-hasil kraftangan para klien Kelab Heal dan dijual pada harga yang berpatutan kepada sesiapa sahaja yang berminat. Sebahagian daripada hasil penjualan disalurkan kembali kepada para klien.

Apabila klien-klien kami dapat meraih pendapatan daripada penjualan di ‘pushcart’, ini semakin menambah keyakinan diri mereka.

Kelas Tembikar Kelab Heal sempena hari kesihatan mental sedunia

Bagi anggota masyarakat yang berminat mengenal dengan lebih dalam perjalanan seorang rakan sebaya menerusi alam pekerjaan, silalah mendaftar untuk mengikuti kelas-kelas tembikar yang akan diadakan pada 14 dan 28 Oktober.

Di kelas-kelas ini, para peserta bukan sahaja berpeluang menghasilkan ciptaan tembikar mereka sendiri tetapi juga mengikuti perkongsian oleh salah satu daripada rakan sebaya kami tentang perjalanan pemulihan beliau menerusi pekerjaan kraftangan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Kelab Heal di talian 6899-3463 atau e-mel info@clubheal.org.sg.

Penulis presiden Kelab Heal sejak 2012 dan merupakan seorang doktor keluarga.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >