Sokongan sehenti bagi bantu pesalah dadah

Amrin: Program 'Fitrah' turut beri tumpuan pada keluarga dan anak-anak pesalah

SUDAH terdapat pelbagai program bantuan yang disediakan buat pesalah dadah dan keluarga mereka.

Namun, program terbaru yang dilancarkan Ahad lalu menyediakan sokongan sehenti bagi kumpulan ini.

Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) membantu pesalah dan keluarga mereka mendapatkan sokongan secara menyeluruh, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin.

Ditemui di satu majlis berbuka puasa dengan pesalah dadah di Pusat Pemulihan dadah (DRC) kelmarin, beliau berkata:

"Pusat sehenti ini menyelaras sokongan dan merujuk pesalah kepada agensi yang berlainan... memastikan mereka mendapat sokongan dan tahap perlindungan mencukupi yang diperlukan."

Program Fitrah, satu inisiatif baru yang dibangunkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), akan memberi pertolongan bukan hanya kepada si pesalah, malah keluarga mereka, terutamanya anak-anak.

Ditempatkan di Masjid En-Naeem di Hougang, program itu adalah usaha kerjasama tiga pertubuhan utama yang membentuk pergerakan M Kuasa Tiga (M3) - Muis, Mendaki dan Mesra - bersama Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) dan Khidmat Penjara Singapura (SPS).

Encik Amrin menambah bahawa pihak sebalik program itu telah meninjau faktor utama - keluarga, pekerjaan, masyarakat dan agama - yang dapat menolong dan mencegah seseorang bekas pesalah daripada mengulangi kesalahan lalu.

Sebelum majlis berbuka puasa itu, Encik Amrin telah mengadakan satu sesi dialog bersama sekumpulan pesalah dadah DRC, yang mengongsi beberapa keprihatinan mereka.

Ini termasuk membina semula hubungan yang kukuh dengan keluarga mereka dan soal pekerjaan serta peningkatan kemahiran.

Mereka juga bimbang sama ada dapat menyesuaikan diri dengan keadaan apabila kembali ke pangkuan masyarakat selepas dibebaskan nanti.

Encik Amrin berkata beliau gembira para pesalah dalam sesi dialog itu ingin menyertai program Fitrah tersebut.

Beliau turut mengalu-alukan lebih ramai relawan daripada masyarakat agar tampil ke depan untuk mendamping dan membantu pesalah supaya mereka dapat kembali ke pangkal jalan dan pangkuan masyarakat.

Ini terutamanya relawan lelaki, memandangkan ramai pesalah merupakan lelaki.

Bulan lalu, seramai 30 relawan daripada Masjid Al-Mukminin, Masjid Assyakirin dan Masjid Maarof, dan juga Mendaki serta badan-badan akar umbi, telah menjalani latihan Projek Masyarakat Reben Kuning sebagai sebahagian usaha program Fitrah itu.

"Marilah kita sama-sama memberi sokongan, memberi mereka galakan supaya mereka dapat terus rasa yang mereka dihargai dan dicintai keluarga dan masyarakat," kata beliau.

Antara pesalah dadah yang menyertai program itu ialah Hafiz (bukan nama sebenar), 32 tahun, yang berharap program Fitrah dapat memberi peluang kepadanya berbakti semula kepada masyarakat dan mengubah masa depannya.

"Saya harap Fitrah dapat menolong kami untuk mendapat bantuan dari segi sekolah atau kerja atau bagaimana cara-cara yang terbaik untuk kita mengeratkan pertalian kami dengan keluarga kami juga.

"Sebab semasa kami di dalam penjara ini, masa kami telah diasingkan lama daripada keluarga kami. Jadi, dengan harapan kami dapat mengembalikan masa yang telah hilang itu, saya harap Fitrah dapat mengeratkan balik (hubungan dengan keluarga)," katanya, yang dijangka dibebaskan pada Ogos tahun depan.

"Pusat sehenti ini menyelaras sokongan dan merujuk pesalah kepada agensi yang berlainan... memastikan mereka mendapat sokongan dan tahap perlindungan mencukupi yang diperlukan... Marilah kita sama-sama memberi sokongan, memberi mereka galakan supaya mereka dapat terus rasa yang mereka dihargai dan dicintai keluarga dan masyarakat."
- Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:09
Isyak
8:22
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.