Rabu ini, masyarakat Islam Singapura bakal menyambut Hari Raya Aidiladha di tengah-tengah keadaan dunia masih berdepan dengan krisis di Timur Tengah.

Seramai 900 anggota jemaah negara ini kini berada di Tanah Suci dan menantikan kemuncak hari wuquf di Arafah pada 25 Mei dan Aidiladha pada hari yang sama dengan masyarakat Singapura.

Di sebalik kelancaran yang kita saksikan hari ini, konflik ketenteraan membabitkan, Amerika Syarikat, Israel dan Iran, hampir-hampir menjejas ibadah haji dengan penutupan ruang udara untuk penerbangan di rantau itu.

Di saat saudara Islam di rantau yang terus dicengkam ancaman peperangan berlarutan, sambutan Aidiladha di sini pula diraikan dengan persekitaran yang selamat, stabil dan harmoni.

Kira-kira 240,000 ruang solat akan disediakan oleh masjid serata Singapura termasuk ruang solat khusus untuk jemaah wanita untuk solat Aidiladha.

Sebanyak 20,300 ruang solat tambahan, naik hampir 10 peratus berbanding 2025, juga akan disediakan di sehingga 44 tempat tambahan.

Di beberapa masjid setempat pula, para sukarelawan tentunya sedang giat membuat persiapan bagi melaksanakan ibadah korban secara langsung di bawah naungan SalamSG.

Keselesaan jemaah dalam menunaikan solat Raya kelak dan ibadah korban yang bakal dilaksana di bawah naungan SalamSG mencerminkan kekuatan landskap masyarakat majmuk kita.

Keharmonian kaum dan agama yang kita nikmati hari ini adalah jaminan keselamatan yang membolehkan syiar Islam terus subur tanpa sebarang ancaman luar.

Keselesaan menghadiri solat Raya dan penganjuran ibadah korban yang sistematik di Singapura tidak seharusnya diambil mudah dan sambil lewa.

Oleh itu, sambil kita menghayati erti ketulusan di sebalik ibadah korban, masyarakat Islam Singapura sewajarnya memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga atas anugerah kestabilan ini.

Hubungan erat dan saling menghormati antara kaum yang telah lama terbina di negara ini harus terus dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

Di sebalik takbir Raya yang bakal berkumandang Rabu ini, hargai dan pertahankan keharmonian hidup di bumi Singapura.