Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syukuri pencapaian unik masyarakat Melayu/Islam S’pura

Aug 25, 2024 | 5:30 PM
Masyarakat Melayu/Islam Singapura boleh berbangga kerana telah menangani cabaran yang dihadapinya secara aktif dan positif sehingga mencapai kemajuan yang dicapai sejauh ini. 
Masyarakat Melayu/Islam Singapura boleh berbangga kerana telah menangani cabaran yang dihadapinya secara aktif dan positif sehingga mencapai kemajuan yang dicapai sejauh ini.  - Foto fail

Semenjak kemerdekaan Singapura pada 1965, masyarakat Melayu/Islam setempat telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan.

Antara cabaran dan rintangan yang di hadapi termasuk isu keharmonian kaum, pendidikan, kemajuan ekonomi dan pengganasan.

Di dalam menghadapi rintangan ini pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh masyarakat kita semenjak merdeka.

Usaha ini telah menghasilkan identiti masyarakat Melayu/Islam Singapura yang unik dan relevan buat masa kini dan buat generasi akan datang.

Keunikan AMLA

Antara usaha yang unik dan relevan ini termasuk terhasilnya Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) pada 1966.

Ianya diperuntukkan bagi menguruskan urusan yang berkaitan dengan prinsip dan nilai keislaman yang dapat dimanfaatkan masyarakat minoriti Islam Singapura yang hidup di dalam konteks Singapura yang sekular.

Penubuhan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), peranan Mufti, bidang kuasa Mahkamah Syariah, pengurusan masjid dan wakaf antara bidang kuasa Amla bagi melestarikan kepentingan hidup masyarakat Islam Singapura.

Kini, Muis mengusahakan pelbagai fungsi dalam membentuk kehidupan berlandaskan agama Islam di negara sekular Singapura.

Urusan wakaf, pentadbiran masjid, pengalihan zakat, pembangunan asatizah adalah antara usaha berterusan yang dijalankan Muis sehingga hari ini.

Pada 2022, Mufti Singapura dan Jawatankuasa Fatwa Singapura menerima pengiktirafan Anugerah Imam Al-Qarafi yang disampaikan oleh Sekretariat Agung Penguat Kuasa Fatwa Seluruh Dunia yang merupakan sebuah pertubuhan di bawah Dar al-Ifta iaitu pihak berkuasa fatwa di Mesir kerana cemerlang dalam penggubalan fatwa.

Singapura merupakan penerima kedua anugerah itu yang diperkenalkan pada 2019 dan masyarakat minoriti Muslim pertama untuk menerima pengiktirafan tersebut.

Anugerah tersebut mengiktiraf sumbangan cemerlang Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, dan Jawatankuasa Fatwa, dalam menangani pandemik Covid-19 yang melanda dan isu kontemporari yang lain.

Visi Iqra Yayasan Mendaki

Pada 1982, Yayasan Mendaki ditubuhkan bagi mempelopori kejayaan pendidikan dan pembelajaran anak-anak Melayu/Islam Singapura.

Menurut data, untuk 2023, lebih 90,000 pelajar Melayu telah dibantu melalui pelbagai inisiatif Mendaki bagi kemajuan pembelajaran dan kelestarian ilmu di dalam keluarga Melayu/Islam.

Subsidi tuisyen dan pinjaman pembelajaran sebanyak $44 juta telah diagihkan kepada pelajar Melayu/Islam sepanjang 2023.

Dengan visi menaiktarafkan pendidikan anak Melayu Singapura, kini masyarakat Melayu Singapura telah berjaya menghasilkan generasi berpendidikan di dalam pelbagai sektor pekerjaan serta berhasil bersama-sama arus nasional di dalam membentuk rakyat Singapura yang memberi keutamaan kepada ilmu dan penguasaan pelbagai kemahiran bagi membentuk tenaga kerja yang maju serta progresif.

Keluhuran RRG DALAM TANGANI RADIKALISME

Apabila dunia dikejutkan dengan peristiwa September 11 pada 2001 dan tersingkap aktiviti kumpulan Jemaah Islamiyah di Singapura, masyarakat Islam Singapura bekerjasama dengan pihak pemerintah untuk mencegah penularan radikalisme dan ekstremisme.

Almarhum Ustaz Ali Hj Mohamed dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan menubuhkan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang dipelopori ulama dan asatizah Singapura untuk rehabilitasi, selain mengekang salah faham agama Islam di kalangan anggota JI serta mengadakan program kemasyarakatan untuk membentengi masyarakat Melayu/Islam Singapura dari gejala ideologi pengganasan.

Hingga kini masalah pengganasan yang berlaku di dunia dan konflik geopolitik menjadikan usaha RRG meluas dan penting.

Penubuhan Galeri Majulah RRG di Masjid Khadijah pada 2024 menjadi tanda peluasan usaha RRG di dalam membantu melestarikan keamanan dan menyangkal salah tafsiran agama di Singapura.

Ramai pengunjung dari dalam dan luar negara memberikan pandangan positif kepada RRG terutama di dalam penghasilan beberapa manual kaunseling yang telah diusahakan sendiri oleh RRG.

Dengan penularan kes radikalisme di kalangan remaja secara dalam talian, asatizah dan sukarelawan RRG terus menyumbang usaha mereka.

IDENTITI UNIK

Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan sulungnya, masyarakat Melayu/Islam Singapura telah bergerak secara aktif dan positif di dalam menangani cabaran yang dihadapinya.

Maka pencapaian ini sejak kemerdekaan Singapura hingga kini bukanlah bertujuan mendabik dada, namun ia bertujuan mensyukuri pencapaian unik masyarakat Melayu/Islam Singapura dalam mengatasi cabaran dan rintangan yang kunjung tiba.

Ramai tokoh masyarakat telah menyingsing lengan sejak 59 tahun yang lalu.

Usaha mereka serta pengorbanan untuk masyarakat perlu disyukuri kerana undang-undang, institusi, sistem, program yang dipelopori dan dilaksanakan masih berkemampuan melestarikan kehidupan secara harmoni bagi masyarakat Melayu/Islam hingga kini.

Yang perlu kita sama-sama pupukkan adalah masyarakat kita sendiri mengenali dan menghargai pencapaian masyarakat Melayu/Islam Singapura ini.

Yang kita perlukan adalah sokongan yang lebih meluas daripada segenap golongan masyarakat.

Dengan penularan sosial media di mana ia sedang mengubah pola pemikiran generasi muda hari ini, pencapaian masyarakat Islam Singapura dapat dijadikan sumber inspirasi.

Kiranya ada sikap rendah diri di sebalik pencapaian masyarakat Melayu/Islam Singapura, kita perlu mengerahkan tenaga dan paradigma pemikiran kita untuk terus menggarap identiti unik masyarakat kita sendiri yang telah dijana dengan tenaga, pemikiran serta kesatuan sebagai asas kejayaan kita.

Seperti yang dianjurkan firman Allah swt di dalam Surah Ibrahim ayat 7: “Jika kamu semua bersyukur, niscaya akan Daku menambahkan buat kamu.”

Moga azimat syukur inilah menjadi jati diri unik masyarakat Melayu/Islam Singapura dalam menghargai keberuntungan dan kenikmatan yang dibina kurang lebih 60 tahun ini.

Moga kita doakan usaha terkini membina Kolej Pengajian Islam Singapura membentuk arah masa depan yang akan membina paradigma fikiran yang kaya dan membentuk budi masyarakat yang lebih indah dan berkualiti.

Penulis Setiausaha Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Zamil Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg