Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

WACANA

Tangani cabaran kerjaya bekas pesalah

PENULIS TAMU
Nov 19, 2023 | 05:30 AM



Kebimbangan mengenai kos sara hidup kian meningkat di tengah-tengah persekitaran inflasi tinggi. Kos yang meningkat memberi kesan mendalam terhadap kehidupan dan mata pencarian rakyat Singapura.

Bagi sebilangan orang, ia menjejas keupayaan mereka untuk menampung perbelanjaan harian, memenuhi keperluan penjagaan dan memberi tekanan kepada pelan jangka panjang seperti persaraan, penjagaan kesihatan dan pelaburan kewangan.

Tambahan lagi, laporan yang diterbitkan mengenai kecerdasan buatan (AI) generatif dan peralihan kepada ekonomi hijau juga menyebabkan para pekerja berasa bimbang bahawa mereka tidak dapat mengikuti perkembangan dalam teknologi dan kemampanan.

Apabila Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) mula berinteraksi dengan pekerja melalui kempen #EveryWorkerMatters Conversations (EWMC) – yang bermakna ‘Perbincangan: Setiap Pekerja Penting’ – pada awal 2022, ia adalah perbincangan mendalam mengenai bagaimana Gerakan Pekerja telah meraih kejayaan dan boleh melakukan lebih banyak lagi.

Dalam salah satu mesyuarat itu, pasukan projek yang terlibat telah menyatakan pentingnya Gerakan Pekerja mengenal pasti dan menyokong pekerja yang terlepas daripada dibantu, khususnya ketika dunia kini memasuki landskap ekonomi dan pekerjaan yang pesat berubah.

Ini mengingatkan saya kepada kisah beberapa dekad lalu ketika saya menulis satu rencana pandangan peribadi mengenai usaha memberi peluang kedua kepada bekas pesalah, satu segmen rentan di negara kita.

Akhirnya, kami mencapai kata sepakat untuk meluaskan usaha pendekatan kami kepada bekas pesalah dan banduan.

Ia juga merupakan kali pertama NTUC memulakan usaha membantu bekas pesalah dan banduan. Ketika rakan sekerja saya dalam ekosistem Latihan dan Penempatan Kerja NTUC, khususnya Hab Pembelajaran NTUC (LHub) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja NTUC (e2i), bersama institusi seperti Reben Kuning Singapura (YRSG) dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) telah terlibat secara aktif dalam (program) peningkatan kemahiran, kemahiran semula, dan peluang penempatan kerja untuk membantu banduan dan bekas pesalah memasuki bidang pekerjaan, Gerakan Pekerja tidak pernah melibatkan segmen ini secara langsung untuk memahami kebimbangan, cabaran dan aspirasi mereka.

Dekati masyarakat

Selepas perancangan selama berbulan-bulan, kami mulakan usaha ini pada 2023. Pada Januari, kami bekerjasama dengan YRSG dalam satu acara kenal-mengenal (networking), YR Connects, dengan tujuan menyatukan syarikat yang berminat memberi peluang kedua (kepada golongan ini).


Pada Februari dan Mac lalu, kami bercakap dengan lebih 50 banduan (lelaki dan perempuan) di Kompleks Penjara Changi mengenai isu pekerjaan dan daya kerja.

Jane (bukan nama sebenar), 30 tahun, berkongsi bahawa dia tidak sabar untuk kembali ke sektor penjagaan kesihatan selepas dibebaskan kelak. Dia meminati bidang penjagaan warga emas kerana ingin membantu warga emas meniti usia senja dalam persekitaran selesa dan selamat. Namun, dia maklum buat masa ini mungkin sukar untuk bekerja dalam sektor penjagaan warga tua memandangkan rekod jenayahnya. Dia berasa mungkin dia perlu bekerja dalam industri Makanan dan Minuman. Namun, Jane tidak melihat itu sebagai satu kekurangan tetapi peluang membina kemahiran dengan mengambil diploma atau ijazah sambilan yang diperlukan untuk beralih kepada sektor penjagaan kesihatan pada masa depan.

John (bukan nama sebenar), 51 tahun, melahirkan kebimbangan mengenai peluang pekerjaannya kerana berasa dia “tidak muda lagi”. John menghargai latihan yang diterima di penjara, tetapi berharap topiknya dipelbagaikan, atau disesuaikan dengan sektor yang dia minati. John ingin menjadi seorang tukang yang mahir, seperti tukang kayu atau tukang paip.

Ini hanyalah dua daripada banyak cerita yang diluahkan sepanjang sesi pendekatan selama dua hari. Namun ia memberi harapan. Saya penuh harap bahawa mereka yang dipenjara dapat meraih manfaat dalam kehidupan dengan sebaiknya dan mengejar aspirasi mereka, selepas dibebaskan.

Usaha NTUC bantu bekas pesalah

Sebagai contoh, e2i telah bekerjasama dengan YRSG untuk membantu bekas pesalah dengan sumber kerjaya seperti bengkel daya kerja sebelum temu duga pekerjaan, bimbingan kerjaya, dan khidmat pemadanan pekerjaan.

Perusahaan sosial NTUC juga menjadi penyokong aktif gerakan reben kuning. Pada April 2023, Kumpulan FairPrice mengumumkan kerjasama dengan YRSG untuk menawarkan peluang pekerjaan dan latihan kepada bekas pesalah dalam sektor perkhidmatan makanan, logistik dan peruncitan. Yayasan NTUC FairPrice juga telah mengikrar sejumlah $200,000 kepada Dana Reben Kuning (YRF) bagi menyokong inisiatif yang menggalak pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kerjaya bagi bekas pesalah, di samping bantuan kewangan untuk keluarga mereka.

Untuk masa depan, saya ingin menyarankan tiga pendekatan untuk rakan kongsi tiga pihak kami dan masyarakat.

Mulakan pementoran di tempat kerja

Khidmat pementoran di tempat kerja memberi sokongan dan bimbingan penting kepada bekas pesalah sedang mereka mengharungi peralihan mencabar daripada pemenjaraan kepada pekerjaan. Mentor berperanan sebagai model, dan memberi nasihat praktikal, sokongan emosi dan galakan. Pada masa sama, pesalah boleh meraih pengetahuan mengenai jangkaan dan norma di tempat kerja, dan ini akan meningkatkan peluang mereka mendapat dan mengekalkan pekerjaan.

Sepadukan sokongan teroka kerjaya dan modaliti terapeutik

Bekas pesalah menghadapi cabaran unik berkaitan pekerjaan disebabkan rekod jenayah mereka. Kaunseling kerjaya memberi mereka sokongan penting untuk mengenali kekuatan dan kelemahan mereka, serta membantu mereka dalam meneroka pilihan kerjaya berdaya maju. Usaha memadankan kaunseling kerjaya dengan modaliti terapeutik seperti terapi tingkah laku kognitif dan terapi naratif juga boleh membuka jalan untuk mengubah corak pemikiran negatif dan meningkatkan harga diri bekas pesalah.

Saya mencadangkan agar khidmat sedemikian disediakan untuk bekas pesalah bagi tempoh minimum setahun selepas mereka dibebaskan.

Perkenal masyarakat prihatin untuk bina ekosistem sokongan

Seperti yang kami pelajari melalui usaha EWMC dengan bekas pesalah, sokongan, penerimaan dan rasa kebersamaan (belonging) daripada masyarakat adalah penting untuk pemulihan dan peralihan mereka ke dalam masyarakat arus perdana. Masyarakat sedemikian boleh terdiri daripada individu yang berjaya berhenti (melakukan kesalahan), ahli keluarga dan pendamping yang memahami pengalaman dan cabaran yang dihadapi bekas pesalah.


Kesimpulan

Kesimpulannya, menangani cabaran pekerjaan yang dihadapi bekas pesalah merangkumi pelbagai aspek, dan memerlukan penglibatan aktif semua pihak berkepentingan dalam masyarakat termasuk keluarga dan rakan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >