KAUM wanita Melayu-Islam memang terbuka mempamerkan kemesraan apabila bertemu kaum Hawa lain, terutama di kalangan keluarga atau sahabat rapat.

Bersalaman saja tidak cukup.

Pasti ditambah dengan dakapan dan ciuman pipi kiri dan kanan dan ke kiri lagi. Kekadang lama berpelukan untuk melepas rindu. Ini melambangkan kelembutan kita, wanita Melayu.

Berbeza dengan cik abang yang bertemu sesama kawan atau saudara-mara sesama lelaki.

Salam genggam tangan sahaja, bahkan ada yang setakat "hi five". Ada juga terutama di kalangan murid dan guru agamanya yang memberi salaman ciuman, berserta pelukan erat.

Rasanya, selain Melayu atau Arab-Islam, masyarakat lain yang turut mengamalkan salaman berpelukan sambil memberi ciuman ini adalah di kalangan orang Italy dan Perancis. Mereka cukup ekspresif. Kita mungkin berbangga dengan budaya ini apatah lagi jika membandingkan dengan masyarakat lain yang kebanyakannya kurang bersentuhan apabila bertemu.

Orang Jepun dan Korea misalnya, peka menjaga privasi dan mengehadkan sentuhan fizikal.

Mereka hanya tunduk tanda hormat, biarpun antara anak dengan orang tuanya. Pelukan dan ciuman hanya diberikan untuk meluahkan keintiman dan kasih sayang mendalam.

Sejak tularnya pandemik Covid-19 di sini awal tahun ini, kita telah dididik untuk mengurangkan aspek bersentuhan, termasuk bersalaman.

Pejabat Mufti bahkan pada awal Mac telah mengeluarkan nasihat agar kita mengelak bersentuhan apabila bertemu, seperti bersalam-salaman, demi mengurangkan risiko jangkitan.

Pejabat Mufti turut mengenalkan salam alternatif - letak tangan di dada, gaya yang kini digelar "salam Mufti".

Tanpa bersalaman dan berdakapan pun, kita masih mampu menyinarkan keikhlasan di hati dengan kuntuman senyuman. Senyum juga melambangkan kelembutan orang Melayu.

Ayuh sis, mari kita memainkan peranan sebagai pemutus litaran Covid-19 - mahkluk yang tak dapat kita lihat dari mata kasar tetapi kemungkinan hanya berada sejengkal bersentuhan. Salam begini tampak cantik dan mudah apabila menyapa orang yang tidak dikenali secara peribadi atau kurang mesra, namun ia menimbulkan kejanggalan terhadap teman-teman rapat dan saudara-mara baik ketika bertemu di rumah di luar.