Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tekal pertahan kerjasama berbilang hala dalam dunia bergelora

Jan 11, 2026 | 1:00 PM
lidah pengarang
Lidah Pengarang - Foto BH

Serangan Amerika Syarikat ke atas Venezuela untuk menyingkir Presiden Nicolas Maduro pada 3 Januari lalu mengundang kritikan dan keprihatinan banyak negara.

Keprihatinan itu lebih serius bagi negara kecil seperti Singapura yang amat mendukung aturan dunia berdasarkan peraturan.

Langkah campur tangan Amerika, disifatkan sebagai pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa, merupakan satu peringatan terhadap realiti dunia hari ini.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mendakwa pemerintah Encik Maduro membanjiri Amerika dengan dadah serta anggota samseng.

Encik Maduro pula mengaku tidak bersalah atas tuduhan kesalahan dadah di mahkamah federal di New York.

Beberapa jam setelah operasi terhadap Encik Maduro, Encik Trump secara terang-terangan menyatakan rancangan untuk membangun prasarana minyak Venezuela, negara yang mempunyai rizab minyak tertinggi di dunia.

Operasi itu menunjukkan Amerika bersedia untuk bertindak sendiri atau secara unilateral, bagi melindungi kepentingannya.

Apabila adikuasa melanggar undang-undang antarabangsa, dunia bergerak lebih dekat kepada pemikiran ‘might is right’ – siapa yang berkuasa, dialah yang betul dan bebas bertindak.

Apa yang lebih membimbangkan, Encik Trump berkata pada 8 Januari bahawa “moralnya sendiri” adalah satu-satunya kekangan kuasanya bagi mengarahkan tindakan ketenteraan di seluruh dunia.

Apakah yang akan berlaku jika kuasa lain menggunakan logik serupa di rantau ini?

Dalam satu forum pada 8 Januari, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata walaupun Venezuela merupakan sebuah negara yang rumit dan sarat dengan pelbagai isu, keadaan tersebut tidak mewajarkan campur tangan Amerika tanpa sebarang kebenaran yang sah.

Encik Lee berkata implikasi jangka panjang operasi tersebut terhadap sistem antarabangsa perlu dibimbangkan, tetapi beliau juga menarik perhatian Amerika dan kuasa lain juga pernah melakukan operasi serupa di tempat lain.

Oleh itu, Singapura perlu terus bersikap realistik dalam dasar ehwal negaranya, sambil mengambil langkah untuk sentiasa mempertahankan kedaulatannya.

Encik Lee menarik perhatian tiga perkara utama yang perlu dilakukan iaitu memastikan ekonomi negara kukuh dan pertahanan negara utuh, serta bekerjasama rapat dengan negara serantau dan rakan antarabangsa agar dapat pilihan yang lebih luas untuk berurusan.

Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sebelum ini: Singapura tidak mampu menjadi penonton pasif dalam landskap yang berubah, dan mesti aktif menentukan nasibnya sendiri.

Walaupun sedar akan cabaran dan hakikat di peringkat global, Singapura juga tidak mampu untuk berdiam diri dan bersikap fatalistik, atau menyerah dan hanyut dalam arus perkembangan global.

Malah, Singapura kini berada dalam keadaan yang baik dengan adanya jalinan persahabatan kukuh di seluruh dunia, jenama negara yang dihormati, serta muhibah antarabangsa yang mendalam – ciri-ciri yang tidak harus diambil mudah.

Justeru, meskipun ada banyak faktor yang di luar kawalan Republik ini, Singapura dan rakyatnya perlu terus berusaha mempertahankan kedudukannya dalam dunia yang semakin bergelora.

Perkembangan terbaru ini tidak harus melemahkan semangat, bahkan sewajarnya menguatkan lagi azam negara ini untuk memperjuangkan kerjasama berbilang hala demi masa depan bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg