Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Masalah di Venezuela tidak mewajarkan  campur tanganketenteraan AS

Tegas tindakan tersebut satu pelanggaran undang-undang antarabangsa
Jan 8, 2026 | 3:24 PM
Singapore, Lee Hsien Loong, United States, Venezuela, ISEAS-Yusof Ishak Institute
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (kiri), mengulangi pendirian Singapura yang amat prihatin terhadap campur tangan Amerika Syarikat terhadap Venezuela. Beliau berkata demikian di Forum Prospek Serantau (ROF) 2026 anjuran Iseas-Institut Yusof Ishak di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, pada 8 Januari, sambil disertai moderator, Profesor Chan Heng Chee. - Foto MDDI

Walaupun Venezuela merupakan sebuah negara yang rumit dan sarat dengan pelbagai isu, keadaan tersebut tidak mewajarkan campur tangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, tanpa sebarang kebenaran yang sah, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Beliau menambah, walaupun perkara sedemikian sesuatu yang sering dilakukan Amerika, situasi dan kesannya tidak membawa kepada kebaikan.

Ini kerana kesan jangka panjang terhadap sistem antarabangsa merupakan sesuatu yang membimbangkan.

Encik Lee berkata demikian di Forum Prospek Serantau (ROF) 2026 anjuran Iseas-Institut Yusof Ishak di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 8 Januari.

“Pada tahap tertentu, beginilah cara dunia beroperasi sejak sekian lama. Amerika telah melakukan tindakan sedemikian berkali-kali di pelbagai bahagian dunia... dan kuasa besar lain juga turut berbuat demikian.

“Namun, apabila kita menilai situasi dan kesan daripada tindakan tersebut, persoalannya ialah sama ada ia membawa manfaat atau mudarat – dan ini, saya tidak melihatnya sebagai sesuatu yang membawa kebaikan,” jelas Encik Lee.

Beliau mengulangi pendirian Singapura – yang dikeluarkan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 4 Januari – bahawa Singapura amat prihatin dengan campur tangan Amerika di Venezuela.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Amerika menyerang Venezuela untuk menahan presidennya, Encik Nicolas Maduro, atas dakwaan berkaitan dengan dadah dan pengganasan.

Di forum tersebut, Encik Lee menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan satu pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa.

“Kami amat prihatin terhadap campur tangan ketenteraan Amerika di Venezuela.

“MFA telah mengeluarkan satu kenyataan yang menyatakan pendirian kami, iaitu kami menentang sebarang campur tangan ketenteraan di negara lain kerana ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami sentiasa menyatakan pendirian ini dengan jelas dan tegas, tanpa mengira situasi – sama ada berkaitan Ukraine beberapa tahun lalu, atau Grenada pada 1983, yang merupakan satu pencerobohan oleh Amerika – dan kami telah mengundi selaras dengan pendirian tersebut di PBB,” kata Encik Lee.

Beliau turut akur bahawa Venezuela sedang dilanda dengan pelbagai masalah dalaman.

Antaranya, kesahihan pemerintahannya, yang sekali gus menimbulkan kesukaran kepada negara jiran akibat masalah dadah dan pelarian.

“Situasi tersebut turut menggugat kestabilan seluruh rantau, malah sukar dipercayai, menyebabkan beberapa kesukaran kepada Amerika juga,” tambah Encik Lee.

Namun, beliau berpendapat ia tidak membenarkan campur tangan tanpa alasan yang sah dan jelas.

“Keadaan tersebut tidak membenarkan campur tangan ketenteraan oleh sesebuah negara ke atas negara lain secara sepihak dan tanpa sebarang kebenaran yang wajar.

“Kesan serta-merta mungkin kelihatan berhasil, malah boleh dianggap sebagai satu kejayaan ketenteraan yang mengagumkan.

“Namun, kesan jangka panjang terhadap sistem antarabangsa merupakan sesuatu yang perlu kita bimbangkan,” katanya lagi.

Dialog satu jam itu dikendali pengerusi lembaga pemegang amanah Iseas-Institut Yusof Ishak, yang juga merupakan Duta Kelana MFA, Profesor Chan Heng Chee, selaku moderator, dengan dihadiri 650 orang.

Mereka terdiri daripada wakil akademia, sektor korporat dan swasta, agensi pemerintah serta penggubal dasar dan pelajar.

Menjawab persoalan mengenai pertahanan atau langkah yang boleh diambil negara kecil seperti Singapura untuk melindungi kedaulatan dan cara hidup di tengah-tengah aturan undang-undang antarabangsa yang kini semakin terancam, Encik Lee menegaskan tiga perkara utama yang harus ada.

Ini termasuk memastikan ekonomi negara kukuh, pertahanan negara utuh, dan bekerjasama rapat dengan negara serantau dan rakan antarabangsa agar dapat pilihan yang lebih luas untuk berurusan.

Dengan hubungan tegang antara Amerika dengan China, Encik Lee menegaskan semula pendirian Singapura untuk tidak berpihak pada mana-mana negara.

Beliau menjelaskan walaupun Singapura tidak menyokong campur tangan ketenteraan di sesebuah negara, ini tidak bermakna “mereka musuh kami dan kami tidak melakukan perniagaan bersama mereka”.

“Wujud tekanan untuk menarik negara menyebelahi pihak tertentu (tetapi) saya berpendapat kita perlu sedaya upaya menentang tekanan tersebut.

“Semakin banyak hubungan yang kita bina dengan semua pihak, semakin besar keupayaan kita untuk berkata bahawa kita mempunyai pilihan.

“Kita tidak perlu dipaksa untuk sepenuhnya mengikut satu pihak dan menolak pihak yang lain,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg