Terminal 5 Changi bakal uji keupayaan sistem pengangkutan darat S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terminal 5 Changi bakal uji keupayaan sistem pengangkutan darat S’pura

Tumpuan pada sejauh mana pengangkutan darat sedia ada mampu tampung skala, lonjakan dan perubahan yang bakal dibawa T5
Jan 22, 2026 | 6:50 PM

Terminal 5 Changi bakal uji keupayaan sistem pengangkutan darat S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Terminal 5 Changi, pengangkutan darat, S’pura
Pada 2025 sahaja, Lapangan Terbang Changi telah mengendalikan sekitar 70 juta penumpang – paras tertinggi setakat ini. - Foto fail

Menjelang pembukaan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi, Singapura akan berdepan situasi yang jarang dialami oleh kebanyakan bandar: sebuah lapangan terbang yang mampu mengendalikan hampir 140 juta penumpang setahun.

Pada 2025 sahaja, Lapangan Terbang Changi telah mengendalikan sekitar 70 juta penumpang – paras tertinggi setakat ini.

T5 akan meningkatkan kapasiti penumpang tahunan lebih 55 peratus, daripada 90 juta ketika ini kepada 140 juta, sekali gus menjadikan Singapura sebagai hab penerbangan paling terhubung di dunia.

Buat masa ini, hab paling terhubung ialah Atlanta, Amerika Syarikat, dengan 108 juta penumpang setahun, diikuti Dubai dengan 92 juta.

Ini pastinya pencapaian membanggakan bagi sebuah pulau kecil seperti Singapura.

Namun ia juga mencetuskan persoalan yang penting yang perlu diberi perhatian melangkaui landasan dan dewan terminal.

Mampukah sistem pengangkutan Singapura mengendalikan penumpang yang bilangannya jauh lebih besar dengan lancar antara lapangan terbang dengan bandar, ulang-alik, setiap hari?

Ini bukan sekadar perincian operasi.

Sebaliknya, ia merupakan satu ujian terhadap sistem mobiliti bandar secara keseluruhan, yang turut menguji sejauh mana pengangkutan darat sedia ada mampu menampung skala, lonjakan dan perubahan yang bakal dibawa T5.

Menampung penumpang transit

Ramai beranggapan bahawa sebilangan besar penumpang Changi hanya melakukan transit di Singapura, justeru tekanan yang diberikan terhadap rangkaian pengangkutan negara agak terhad.

Anggapan ini umumnya benar, namun ia mengabaikan potensi tekanan yang ditambah pembangunan lapangan terbang baru kepada kawasan bandar. 

Pusat penerbangan dengan penumpang transit yang ramai meningkatkan permintaan pengangkutan darat secara mendadak, malah ini belum termasuk pekerja ulang-alik harian ke lapangan terbang.

Gangguan penerbangan akibat cuaca, masalah teknikal atau perkembangan geopolitik dengan pantas boleh merubah penumpang transit menjadi tetamu hotel atau pelawat lewat malam. 

Ketibaan serentak pada waktu sibuk pula menyebabkan lonjakan mendadak dalam permintaan pengangkutan darat di lapangan terbang.

Fenomena ini merupakan satu perkara biasa di hab penerbangan utama lain seperti Heathrow, Incheon, Tokyo Haneda dan Amsterdam Schiphol. 

Dari sudut sistem, ini bermakna permintaan bukan sahaja besar tetapi juga tidak menentu.

Pada masa yang sama, para pelawat sering berasa penat, tertekan dan kurang biasa dengan persekitaran baru.

Permintaan di lapangan terbang biasanya tinggi, sensitif kepada masa dan mudah terjejas – ini merupakan keadaan yang tepat untuk menguji sama ada sistem pengangkutan darat benar-benar kukuh atau sekadar memadai.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, yang mengakui bahawa T5 akan meningkatkan jumlah penumpang secara ketara, menandakan satu peralihan dasar yang penting.

Justeru, perancangan pembangunan T5 tidak boleh terhenti pada keupayaan penerbangan sahaja, pergerakan di darat perlu dilihat sebagai sebahagian daripada sistem bersepadu yang sama.

MRT sebagai mod pengangkutan utama

Sistem MRT Singapura akan menjadi mod pengangkutan utama yang menghubungkan penumpang antara lapangan terbang dengan bandar.

Di banyak hab penerbangan, kereta api terbukti cekap dalam menggerakkan bilangan penumpang yang besar secara efisien, boleh diramal dan mampan.

Bagi ramai pelawat, terutama yang biasa dengan bandar ini, MRT akan kekal sebagai pilihan utama.

Namun, keterbatasan kereta api menjadi lebih jelas apabila bilangan penumpang meningkat.

Penumpang lapangan terbang sering membawa bagasi, anak kecil atau anggota keluarga lebih berusia. 

Daya tahan mereka terhadap kesesakan, pertukaran perkhidmatan dan jarak perjalanan, jauh lebih rendah berbanding penumpang biasa.

Waktu ketibaan mereka juga mungkin berlaku serentak dengan waktu sibuk pagi dan petang, sekali gus meningkatkan tekanan pada laluan yang turut menghubungkan kawasan kediaman, sekolah, pusat perniagaan dan tempat kerja.

Sistem kereta api juga kurang fleksibel jika berlaku gangguan, terutama apabila bilangan penumpang yang besar memerlukan alternatif pantas.

Dari sudut perancangan, kereta api mampu mengendalikan bilangan penumpang yang besar dengan baik.

Dari sudut pengalaman pengguna pula, ia kurang cekap dalam menangani perubahan atau ketidaktentuan dalam permintaan.

Fleksibiliti teksi, khidmat tempah kenderaan dalam talian

Perkhidmatan teksi dan e-hailing menawarkan kelonggaran yang tiada pada kereta api.

Kenderaan ini sedia beroperasi pada larut malam, awal pagi, dan bagi memenuhi permintaan tidak menentu pelancong yang mengutamakan kemudahan.

Ia amat penting untuk keluarga, pelawat perniagaan, dan mereka yang menuju ke kawasan sukar dijangkau kereta api.

Namun, kelonggaran ini terikat pada ketersediaan pemandu.

Apabila jumlah penumpang melonjak, penambahan kenderaan berpandu manusia menjadi semakin rumit.

Permintaan yang merata di bandar, keletihan pemandu dan harapan tinggi terhadap mutu perkhidmatan membataskan keupayaan teksi dan e-hailing untuk menampung lonjakan permintaan.

Barisan panjang dan masa menunggu yang lama bukan sekadar menyusahkan.

Ia juga menjejas imej Singapura sebagai hab penerbangan bertaraf dunia.

Secara keseluruhannya, keterbatasan ini memperlihatkan bahawa perkhidmatan teksi dan e-hailing berfungsi sebagai pelengkap, namun bukan penyelesaian utama untuk menampung lonjakan bilangan pelawat yang besar.

Kesesuaian kenderaan autonomi

Di sinilah khidmat kenderaan autonomi (AV) wajar dibincangkan dengan serius – bukan sebagai pengganti futuristik bagi pengangkutan awam, tetapi sebagai prasarana sokongan.

AV tidak akan menggantikan MRT, begitu juga ia tidak akan sepenuhnya menggantikan teksi dalam masa terdekat.

Nilainya terletak di tempat lain, iaitu dalam corak perkhidmatan boleh diramal dan laluan operasi terbatas.

Lapangan terbang sangat sesuai untuk model ini kerana ia dikendalikan dalam persekitaran terkawal, prasarana jalan raya khusus dan corak perjalanan yang boleh diramal.

AV ulang-alik boleh beroperasi antara terminal dan hab pengangkutan berhampiran, atau sepanjang laluan khusus ke hotel atau kawasan perniagaan.

Ia terutama bermanfaat pada luar waktu sibuk apabila bilangan pemandu paling kurang.

Berdasarkan penggunaan di negara lain, AV didapati paling berkesan apabila dimulakan dengan perjalanan mudah dan berulang, berbanding pemanduan rumit di kawasan bandar.

Tingkat keyakinan pelawat dengan pengangkutan andal

Perancangan pengangkutan sering kali hanya tertumpu pada angka seperti jumlah kereta api, kenderaan dan penumpang.

Namun, bagi pelawat, kebolehpercayaan adalah sama penting dengan keupayaan.

Selepas penerbangan yang panjang, penumpang perlu yakin bahawa perjalanan keluar dari lapangan terbang akan lancar.

Pilihan yang jelas, harga yang dijangka, dan alternatif yang mudah dapat melegakan tekanan dan mengurangkan masa menunggu.

Apabila sistem terasa goyah, satu kelewatan kecil boleh terasa lebih besar.

Pelbagai mod pengangkutan memberikan keyakinan kepada pelawat.

Kereta api menjamin ketepatan masa perjalanan, manakala bas menawarkan laluan terus.

Teksi dan e-hailing menyediakan ruang privasi, dan kenderaan AV ulang alik pula meningkatkan kekerapan serta keandalan di lokasi dengan bekalan pemandu terhad.

Hasilnya bukan sekadar keupayaan yang lebih tinggi, tetapi sistem yang kukuh dengan pelbagai pilihan yang boleh dipercayai.

Rancang pertumbuhan tanpa halangan

T5 Changi adalah projek sekali seumur hidup.

Ia juga peluang keemasan untuk menyepadukan pertumbuhan penerbangan dengan strategi pengangkutan dan teknologi lebih luas.

Strategi yang kukuh akan meletakkan kereta api sebagai mod pengangkutan berkeupayaan tinggi, teksi dan khidmat e-hailing sebagai perkhidmatan fleksibel dan peribadi, bas sebagai sokongan, dan AV ulang alik sebagai penghubung yang boleh diramal.

Jika Singapura melaksanakan perkara ini dengan baik, T5 boleh menjadi lebih daripada sekadar pencapaian penerbangan.

Ia dapat menyerlahkan keupayaan sebuah bandar padat dan berprestasi tinggi menyepadukan teknologi mobiliti baru untuk memperkukuh pengangkutan awam, serta diatur di lokasi penting, iaitu lapangan terbang yang tidak lama lagi akan menjadi paling sibuk di dunia.

Dr Samuel Chng ialah penolong profesor penyelidikan dan ketua Makmal Psikologi Bandar di Pusat Bandar Inovatif Lee Kuan Yew, Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD). Profesor Lynette Cheah ialah profesor dan pengerusi pengangkutan mampan di Universiti Sunshine Coast, Queensland. Artikel ini diterbitkan kali pertama di The Straits Times (ST).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg