Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Tindakan Israel di Gaza tidak seimbang

Singapura mesti terus mematuhi undang-undang antarabangsa dan menolak ketidakpatuhan
Nov 18, 2023 | 04:14 PM



Semasa Sesi Tergempar Ke-10 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 27 Oktober lalu, Singapura mengundi menyokong resolusi yang menggesa “gencatan senjata kemanusiaan segera yang membawa kepada pemberhentian pertempuran” dan mengutuk keganasan terhadap kedua-dua orang awam Palestin dan Israel.

Israel tidak mengendahkan resolusi itu. Ia telah menggugurkan lebih 25,000 tan bahan letupan di Jaluran Gaza dan mengerahkan ribuan askar dan kereta kebal melakukan pencerobohan darat, menyerang hospital, tempat ibadat, kem pelarian dan tempat perlindungan PBB.

Lebih 11,000 orang awam telah terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak dan 1.6 juta orang kehilangan tempat tinggal. Kiraan kematian telah disahkan oleh pasukan kemanusiaan PBB.

Tindakan ini adalah tidak seimbang. Mereka besar kemungkinan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Menteri-menteri Singapura telah bercakap tentang perkara ini di Parlimen dan telah menasihatkan Israel supaya menahan diri dan mematuhi peraturan yang mengawal pengendalian perang.

Tidak terlepas undang-undang antarabangsa

Baru-baru ini saya membaca tulisan Encik Bilahari Kausikan dalam The Straits Times mengenai perkara itu.


Walaupun sebahagian besar daripada apa yang beliau katakan dalam artikel itu adalah fakta, cara beliau menyifatkan tindakan Israel di Gaza mengetepikan pertimbangan utama di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak mencerminkan pendekatan berprinsip yang diambil dalam kedudukan nasional Singapura dalam isu ini.

Adalah kurang menyenangkan apabila Encik Kausikan mencadangkan bahawa peraturan perang mungkin kurang mengikat Israel atau dalam kata-katanya, mengambil “kualiti abstrak sebagai nasihat kesempurnaan”.

Pendapat beliau mengajak kita untuk menerima bahawa Israel, dalam melaksanakan hak mempertahan diri, perlu mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, hanya setakat yang ia praktikal.

Encik Kausikan secara tersirat berhujah bahawa Israel tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas secara tidak seimbang di Gaza dan terhadap orang awam untuk mewujudkan semula langkah pencegahan.

Mewajarkan langkah mengetepikan undang-undang kemanusiaan antarabangsa atas sebab-sebab praktikal, adalah suatu anjuran yang berbahaya.

Menegakkan prinsip teras perbezaan, mengikut kadar dan kemanusiaan, walaupun dalam situasi yang kompleks, adalah penting dan tidak boleh dikompromi demi kesesuaian.

Israel mempunyai kuasa. Israel memilih tidak mengambil pendekatan yang lebih terkawal atau terselindung atas apa jua sebab.

Kita tahu bahawa tindakan yang tidak seimbang adalah berfaedah dari segi politik, bagi Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, yang memegang kepimpinan lemah ke atas pakatan sayap kanan yang dilanda ketidakstabilan domestik sebelum 7 Oktober.

Sejarah baru-baru ini, di bahagian dunia ini, juga menunjukkan contoh yang mencadangkan cara lain.

Pada 2008, berikutan serangan pengganas di Mumbai yang mengorbankan sekurang-kurangnya 166 orang, pemerintah India memilih untuk tidak melakukan serangan tentera secara terang-terangan ke atas kem pengganas di Pakistan.

Sebaliknya, ia bertindak balas dengan kekangan dan ketepatan melalui saluran diplomatik dan rahsia. Tindakan ini mendapat sokongan antarabangsa, meminimumkan korban dan boleh dikatakan menghalang lebih banyak keganasan.

Berdepan sejarah

Penilaian berguna terhadap sejarah memerlukan kita mempertimbang semua fakta yang relevan dan tidak mengambil pendekatan sedikit demi sedikit yang sesuai dengan perspektif kita.

Malangnya, Encik Kausikan tidak menyebut tentang pendudukan secara haram berpanjangan dan kawalan Israel ke atas Tebing Barat dan Gaza seperti yang diisytiharkan oleh pelbagai organ PBB, dan layanan Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah yang didudukinya.

Tidak ada alasan sama sekali yang boleh diterima terhadap sebarang pembunuhan orang awam Israel yang tidak bersalah, oleh anggota Hamas pada 7 Oktober.

Perbuatan sedemikian adalah pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mesti dikecam.

Tetapi kita juga tidak seharusnya menafikan persoalan yang dibangkitkan mengenai justifikasi undang-undang Israel atas tindakannya, yang telah lama dilakukan di Gaza dan di Tebing Barat di mana Hamas tidak berada di situ.

Pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2004, menolak hak Israel untuk mempertahan diri di bawah Perkara 51 Piagam PBB, berkenaan dengan ancaman dan serangan yang berasal dari wilayah Palestin yang didudukinya.

Mahkamah memutuskan bahawa Israel tidak boleh bergantung pada hak itu untuk membenarkannya membina tembok di dalam wilayah tersebut.

Walaupun ICJ masih belum menyatakan pendapatnya mengenai perkara di luar kesahihan pembinaan tembok itu, penolakan hak untuk mempertahan diri dalam konteks pendudukan atau aneksasi, bukanlah sesuatu yang baru atau kontroversi.

Ia dikuatkuasakan dengan baik oleh prinsip teras bahawa tiada negara boleh melaksanakan langkah paksaan untuk melucutkan hak rakyat lain untuk menentukan nasib sendiri.

Semua ini tidak bermakna bahawa Israel tidak boleh mengambil langkah mempertahan diri dalam sempadan undang-undangnya daripada serangan oleh pasukan militan pemberontak.

Israel boleh mengambil langkah pertahanan dalam sempadannya untuk melindungi rakyatnya.

Tetapi terdapat keraguan yang sah, sama ada Israel mempunyai justifikasi undang-undang yang mencukupi untuk tindakan ketenteraan yang berterusan di luar sempadannya dan di Gaza, memandangkan kemusnahan di sana dan kemudaratan yang ditimbulkan kepada orang awam Palestin.

Johor bukan Gaza

“Eksperimen pemikiran” Encik Kausikan mengenai roket yang ditembak dari Johor, tidak kena pada tempatnya dan tidak selari dengan keadaan di wilayah Palestin yang diduduki.

Johor tidak berada di bawah pendudukan haram Singapura, yang boleh memberi Singapura hak di bawah Perkara 51 Piagam PBB, untuk bertindak mempertahan diri daripada pencerobohan sesebuah negeri, atau pelaku bukan negara pengganas.

Singapura juga tidak mempunyai sejarah berlarutan yang sama dengan negara jirannya seperti yang dimiliki Israel dengan wilayah Palestin yang didudukinya, yang melibatkan pelanggaran undang-undang antarabangsa seperti yang telah didokumen atau melaksanakan strategi memecah belah dan menakluk bagi membiayai pelaku bukan negara, untuk mengasingkan yang lain.

Walau apa pun, saya yakin pemerintah Singapura akan beralih kepada tindak balas ketenteraan hanya sebagai pilihan terakhir dan kami akan mematuhi norma antarabangsa.

Sebagai ganti kepada cara Encik Kausikan menyifatkan konflik Israel-Hamas, pertimbangkan eksperimen pemikiran yang berbeza di mana kami meletakkan diri kami dalam kedudukan rakyat Palestin di Gaza.

Bayangkan Singapura dijajah dan berada di bawah penjajahan kuasa asing kerana tidak dapat mengekalkan kedaulatan kita.

Bukankah kita akan berusaha mendapatkan sepenuhnya hak kita di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, untuk dilayan dengan bermaruah, diberikan hak kita untuk menentukan nasib sendiri?

Sebagai rakyat yang tidak berkuasa, bukankah kita akan bergantung dan mengharapkan campur tangan masyarakat antarabangsa untuk mengusir kuasa penjajah?

Kepercayaan dan sokongan

Akhir sekali, walaupun semua pertimbangan ini diketepikan dan kami mempertimbang kempen ketenteraan Israel semata-mata dari sudut keberkesanan, keputusannya adalah kabur.

Terdapat keraguan bahawa kempen ketenteraan untuk menghapuskan Hamas ini akan berjaya.

Sejarah telah menunjukkan bahawa untuk berjaya menghapuskan pemberontakan, seseorang mesti terlebih dahulu mendapat kepercayaan dan sokongan penduduk.

Untuk memusnahkan Hamas dengan cara sekarang, Israel telah memilih menanggung kos yang mengejutkan kepada nyawa orang awam.

Masyarakat antarabangsa akan terpaksa mempertanggungjawabkannya. Israel sedang menuju ke arah kerugian dan kekalahan.

Satu-satunya kesimpulan yang boleh diterima bagi krisis ini, ialah penyelesaian dua negara, selaras dengan ketetapan PBB yang lalu, dan kembali ke sempadan sebelum 1967.

Ini juga akan menjadikan percubaan pihak-pihak serantau untuk memusuhi Israel melalui perjuangan Palestin sebagai tidak sah.

Sebagai rakan kepada Israel dan juga rakyat Palestin, dan sebagai penyokong perintah antarabangsa berasaskan peraturan, Singapura harus konsisten dalam menyokong pengekangan dan pematuhan kepada konsensus antarabangsa.

Gencatan senjata segera harus dikuat kuasa, yang membawa kepada pemberhentian permusuhan seperti yang digariskan dalam resolusi UNGA pada 27 Oktober.

Untuk mengekalkan kredibiliti kita di peringkat antarabangsa, dan untuk memastikan perpaduan sosial, kita harus menahan diri daripada retorik yang menggalakkan keganasan atau merasionalisasikan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menjelaskan komitmen kita terhadap keadilan dan prinsip norma antarabangsa.

Penulis ialah seorang peguam dan pemimpin masyarakat, dan bekerjasama dengan Roses of Peace untuk memperjuang keamanan dan keharmonian sosial.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >