Setiap kali saya berjumpa dengan kawan-kawan, soalan yang sama sering ditanya: “Drama Melayu apa yang ‘best’ untuk ditonton sekarang?”
Bagi saya yang membesar dengan ibu dan nenek yang gemar menonton drama bersiri, mengikuti drama bahasa Melayu terkini merupakan kegiatan yang sering saya lakukan pada masa lapang.
Namun, saya menonton drama itu lebih daripada sekadar hiburan semata.
Menerusi sesebuah naskhah, ia menjadi wadah untuk menyampai mesej yang penting seperti isu sosial semasa kepada penonton.
Ia juga boleh menjadi alat visual untuk mendidik penonton mengenai sesuatu topik – lebih-lebih lagi jika topik itu sukar diterangkan dengan perkataan sahaja.
Baru-baru ini, saya menonton drama tempatan, Cuci, lakonan Izzat Yusoff dan Dalina Jaapar di aplikasi mewatch.
Drama tersebut memberi saya peluang mempelajari apa sebenarnya perkhidmatan pembersihan postrauma.
Menerusi jalan cerita dan gambaran visual, penonton dapat melihat bagaimana pembersihan dijalankan selepas berlakunya kemalangan atau kematian yang tidak diketahui.
Sebelum ini, saya tidak tahu bahawa terdapat prosedur dan bahan kimia tertentu digunakan pekerja pembersihan profesional untuk melakukan kerja tersebut.
Ia turut memberi saya kesedaran mengenai warga emas yang tinggal bersendirian tanpa sering berhubung dengan ahli keluarga atau kawan mereka – lantas, tiada siapa mengambil tahu tentang kesejahteraan mereka.
Ia memberi penonton peluang membincangkan tentang isu yang berlaku dalam masyarakat setempat.
Selain drama Cuci, saya juga tertarik dengan drama antologi tempatan, Origene, yang bermain dengan tema asid ‘deoxyribonucleic’ iaitu molekul membawa informasi genetik dalam diri seseorang atau DNA.
Selain menawarkan perspektif yang menyegarkan, drama antologi itu turut membuat saya tertarik untuk mempelajari tentang topik sains – sesuatu yang saya kurang gemari semasa di bangku sekolah.
Saya berasa jalan cerita yang memaparkan kegiatan dalam masyarakat Melayu/Islam harian tanpa melibatkan dunia ‘distopia’ yang tidak nyata membuat kandungan dan mesej yang ingin disampaikan mudah difahami.
Di seberang Tambak pula, drama Sekam Di Dada, yang mula disiarkan pada Mac turut mengandungi mesej mendalam dan memberi penonton peluang untuk mengenal pasti ciri-ciri hubungan toksik.
Drama menceritakan tentang isteri yang teraniaya, Orkid (lakonan Amyra Rosli) yang tidak tahan hidup dalam hubungan toksik dan sentiasa cuba menutup aib suaminya, Nasir (lakonan Datuk Adi Putra).
Walaupun drama itu tidak mendapat sambutan sehangat drama lain di Malaysia yang disiarkan semasa Ramadan dan Syawal, ia menjadi seperti ‘suara’ bagi wanita yang menghadapi nasib serupa dengan watak Orkid.
Kadangkala, kita mungkin tertanya-tanya apabila membaca berita mengenai keretakan rumah tangga pasangan selebriti yang berakhir dengan penceraian.
Bagi saya, drama Sekam Di Dada memberi kesedaran tentang rumah tangga yang kelihatan tenang dan bahagia daripada luaran tidak bermakna ia tidak mempunyai masalah tersendiri.
Tidak dinafikan terdapat sebilangan drama Melayu yang direka hanya untuk mendapat perhatian, membanjiri persada hiburan dan cuba mendapat jumlah tontonan yang tinggi.
Namun bagi saya, drama yang sarat dengan kandungan bernilai tinggi dan memberi peluang kepada penonton meraih pengetahuan merupakan drama yang dapat memberi impak mendalam pada jangka masa lama.
Semoga mereka yang bekerja dalam industri seni kreatif terus bersemangat untuk berkarya demi menyampaikan mesej positif bagi pencinta drama Melayu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg