Ketika saya ingin pergi makan tengah hari minggu lepas, kedengaran suara riuh-rendah teman sepejabat membincangkan topik hangat, menebalkan rasa ingin tahu dalam diri.
Baru sahaja maju beberapa langkah dari meja saya bertugas, mereka pun memanggil saya untuk bertanyakan soal drama yang sedang hangat diperbincangkan di ruang media sosial iaitu Bida’ah dan Keluarga Itu.
Dalam sembang santai itu, saya sering kali mendengar nama pelakon veteran Malaysia, Faizal Hussein, disebut-sebut kerana watak yang dimainkannya dalam drama, Bida’ah, membuat mereka (rakan sepejabat) tidak tahan geram.
Berdasarkan beberapa komen yang diberikan, ramai yang terkesan dengan watak, Walid Muhammad (lakonan Faizal Hussein), dalam drama yang disiarkan di wadah penstriman digital, Viu, itu.
Beliau memainkan watak kontroversial sebagai seorang agamawan yang memimpin kumpulan bernama, Jihad Ummah.
Menjengah ke ruang komen di laman Instagram Faizal, ramai yang ‘terbuai’ dengan lakonannya sehingga terbayang-bayang wajah Walid, dengan janggut panjang serta jubah dan serban yang dikenakan dalam drama itu.
Dahsyat betul, kata saya dalam hati.
Drama 15 episod itu mengisahkan tentang Baiduri (lakonan Riena Diana), seorang wanita muda yang dipaksa oleh ibunya, Kalsum (Fazlina Ahmad Daud), untuk menyertai Jihad Ummah, sebuah kumpulan agama yang dipimpin oleh Walid Muhammad.
Namun, Baiduri segera menyedari ajaran rohani kumpulan tersebut mencurigakan, termasuk amalan perkahwinan paksa dan kepatuhan terhadap pemimpin secara membabi buta.
Kini, drama Bida’ah telah mencapai rekod tontonan 2.5 bilion di media sosial dan penstriman digital serta menjadi drama pilihan nombor satu di Malaysia dan juga Indonesia.
Meskipun mendapat rating yang tinggi, sesetengah kalangan netizen turut menyuarakan pendapat mereka mengenai drama berkenaan dan menggesa usaha pembaikan jalan cerita yang dibentangkan.
Saya menukil contoh, dalam satu hantaran yang dimuat naik penjual buku sepenuh masa, Benz Ali, di laman Facebook.
Beliau memberikan perspektif kritikal untuk mengetengahkan karya yang mengangkat kisah perjuangan ulama atau tokoh agama, dan bukan sekadar memperlihatkan sisi negatif sahaja.
Bagi saya, ada benarnya juga kata Benz Ali, yang menyentuh tentang sensitiviti imej agamawan yang dipaparkan.
Mungkin, hal ini dapat dipertimbangkan oleh pengkarya ketika menghasilkan sebuah drama mahupun filem yang menyelit isu agama, namun, tetap mempunyai nilai pengajaran yang baik sebagai renungan bersama.
Bagaimanapun, saya percaya matlamat drama Bida’ah bukanlah untuk mengaburi mata penonton semata-mata.
Ia malah bertujuan memberi peringatan kepada masyarakat Melayu/Islam supaya berhati-hati dan bijak dalam mencari ilmu di landasan yang benar.
Turut menjadi perbualan hangat rakan sepejabat adalah drama, Keluarga Itu, bagi siaran TV3, Slot Lestary, yang menampilkan lakonan hebat Rosyam Nor, Umie Aida, Puteri Balqis, Fattah Amin, Amir Ahnaf dan Izara Aishah.
Saya cukup kagum dengan lakonan Puteri Balqis atau Aqish, yang memainkan watak gadis, Dhamiah, yang dianiaya dan diperkosa oleh Iman (lakonan Rosyam Nor), bapa kandungnya sendiri.
Akibat perbuatan itu, Dhamiah (lakonan Puteri Balqis) disahkan hamil dan kemudian terjerumus dalam kegiatan tidak sihat seperti mengambil dadah, sebagai ‘pengubat’ tekanan mental dan emosi yang dirasakan.
Walaupun berusia 18 tahun, Aqish cukup matang untuk melakonkan watak yang berat, apatah lagi, mengetengahkan perbuatan sumbang mahram.
Mungkin sahaja pengalaman yang diraih selama berkecimpung dalam bidang seni dan hiburan sejak kecil, membuktikan kemampuannya ‘menunjuk taring’ dalam watak yang kurang bernasib baik itu.
Kededua karya drama Bida’ah dan Keluarga Itu merupakan terbitan Rumah Karya Citra Sendirian Berhad, rumah penerbitan yang dimiliki oleh pelakon, pengarah, penerbit dan penulis wanita yang disegani, Erma Fatima.
Pendek kata, semua karya yang berada di bawah naungan Erma Fatima kerap ‘menjadi’ kerana sarat dengan isu sosial yang boleh dijadikan renungan dan pengajaran semua lapisan masyarakat.
Dalam era digital ini, saya perhatikan lebih banyak drama Melayu yang menyelit tentang isu keagamaan mahupun sosial yang membelenggu kehidupan masyarakat.
Apatah lagi dengan ramai pengguna yang bersifat terbuka mendedahkan pengalaman peribadi dalam laman media sosial.
Kalau dulu, pada era 2010-an, banyak drama Melayu yang mengisahkan tentang percintaan, kehadiran orang ketiga dalam hubungan dan perkahwinan antara dua darjat.
Biarpun kini masih ada lagi drama yang berbentuk demikian, tetapi, ia adalah perubahan positif dengan lebih banyak drama Melayu mengangkat tema sosial yang nyata berlaku dalam masyarakat di rantau ini.
Dengan itu, saya juga berharap agar lebih banyak kisah seperti ini diangkat dalam bentuk filem yang bukan sahaja sebagai hiburan semata-mata, malah untuk mencelikkan pandangan penonton tentang isu semasa.
Sebagai contoh, filem Sepet (karya arahan Allahyarhamha Yasmin Ahmad) dan La Luna (arahan M. Raihan Halim).
Melalui media sosial, netizen juga mudah mendapatkan cebisan hiburan melalui klip pendek tayangan drama yang sedang hangat.
Pengkarya seharusnya bijak menggunakan wadah media sosial untuk mengetengahkan kandungan berunsur pendidikan mengenai isu masyarakat, termasuk drama yang sedang ditayangkan di layar televisyen demi meningkatkan tontonan.
Di samping itu, saya turut berharap agar ibu bapa dapat memantau drama atau kandungan yang ditonton oleh anak-anak mereka, sekali gus membuka ruang perbincangan yang sihat agar isu-isu itu dapat difahami dan dihayati dengan lebih kritikal oleh generasi muda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg