Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Undi dengan bijak demi masa depan lebih terjamin

Apr 20, 2025 | 5:30 AM
Lidah pengarang
Lidah pengarang -

Rakyat Singapura keluar mengundi pada 3 Mei.

Mereka akan memilih 97 Anggota Parlimen (AP) daripada 33 kawasan undi – 18 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC).

Calon yang dipilih akan mewakili kita di Parlimen dan parti yang memenangi majoriti kerusi Parlimen akan membentuk pemerintah.

Justeru undi kita penting, rakyat harus memilih parti mana yang layak dan berkeupayaan untuk melakar hala tuju masa depan Singapura.

Bahang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) sudah pun mula terasa.

Parti-parti politik giat turun padang mendekati penduduk.

Calon mapan dan baru memperkenalkan diri kepada pengundi manakala sepanduk, bendera dan poster parti siap digantung, risalah diedarkan.

Kali ini ramai muka baru diketengahkan, sekali gus mencerminkan peralihan kepimpinan politik daripada yang tua kepada yang muda.

Bagi pengundi lebih senior, GE2025 ini memberi peluang sekali lagi dalam lima tahun untuk menentukan pemerintah yang mengambil berat tentang nasib mereka.

Bagi yang muda pula, keghairahan untuk mengundi buat kali pertama mungkin memberi mereka kebebasan membuat pilihan mereka sendiri.

Mereka mempunyai aspirasi kehidupan yang tinggi dan mahu terlibat dalam arah tuju negara.

Namun usah mengundi mengikut perasaan tanpa berfikir dengan teliti, kerana ia boleh mengaburi betapa pentingnya undi kita bagi menentukan masa depan yang lebih baik buat semua.

Kotak undi bukan permainan tikam-tikam, sebaliknya ia adalah mandat yang akan menentukan baik buruk perjalanan kita sebagai warga Singapura.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata seperti pengundi muda, GE2025 juga pilihan raya pertama beliau sebagai pemimpin pasukan partinya.

Justeru beliau berharap diberi mandat dan peluang sebagai pemimpin generasi keempat untuk memimpin negara, dan bekerjasama dengan golongan muda untuk menyahut cabaran mendatang.

GE2025 juga penting kerana Singapura berada dalam satu persimpangan – dunia menghadapi perubahan besar, semakin tidak menentu dan tidak stabil.

Keadaan global yang membolehkan Singapura mencapai kejayaan sejak beberapa dekad lalu mungkin tidak lagi kekal.

Seperti kata Encik Wong, pada persimpangan kritikal ini, rakyat Singapura harus memilih pasukan untuk memimpin negara, dan melakar hala tuju masa depan Singapura bersama.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pula berkata pilihan raya seharusnya menyediakan negara dengan kepimpinan berkebolehan yang boleh menjalankan pemerintahan yang cekap dan berkesan.

Kepimpinan tersebut juga mesti mampu mempertahankan kedudukan Singapura di dunia dan memimpin negara dengan selamat mengharungi pelbagai krisis.

Pendek kata, pilihlah pasukan yang mampu membawa negara kepada kejayaan.

GE2025 berlangsung ketika keadaan dalam dan luar negara yang mencabar, penuh onak dan duri.

Jika tersilap langkah, ia boleh menjejas kehidupan dan kemampuan negara untuk terus berkembang maju.

Pergolakan geopolitik masih membara; perang dagang menjejas ekonomi global; aturan dunia berpecah-belah; dan kos kehidupan masih terasa – ini semua perlu ditangani parti yang diberi mandat untuk memerintah.

Parti yang dipilih juga harus mampu mengekalkan kestabilan dan keharmonian serta mampu mengharungi cabaran dan krisis.

Kestabilan dan keharmonian yang kukuh benteng bagi kita menghadapi dunia yang bergolak.

Mengundi dengan bijak juga bermakna memilih kepimpinan yang mempunyai dasar berkesan bagi menangani isu setempat seperti rumah mampu milik, inflasi, jaminan pekerjaan, dan kecukupan persaraan.

Ia juga tentang membentuk sebuah Parlimen yang mempunyai gabungan pandangan serta perspektif yang bernas dan pelbagai yang menyumbang kepada perbahasan yang sihat.

Pemerintah yang dipilih seharusnya telus, bertanggungjawab, bersih dan prihatin akan keperluan penduduk selain mengambil berat akan perpaduan kaum, agama dan budaya.

Sama ada kita menyokong kesinambungan atau perubahan, masa depan Singapura di tangan kita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg