Sebagai ibu bapa, tiada yang lebih mengelirukan apabila anda perlu berurusan dengan anak yang begitu cenderung suka bersaing.
Berurusan dengan anak sedemikian boleh membuat anda rasa seperti berlari dalam larian pecut dengan satu-satunya ‘pingat’ yang mampu anda perolehi adalah ibu bapa yang keletihan.
Contohnya, anak lelaki saya yang berumur tiga tahun mempunyai tabiat untuk berkata: “I am first!” (saya yang pertama!) setiap kali dia mahu melakukan sesuatu atau mendapatkan sesuatu.
Pada mulanya, saya tidak dapat menahan ketawa melihat semangat anak saya untuk menjadi yang pertama.
Sama ada perlumbaan ke pintu lif, menghabiskan makanannya, atau memberus gigi, suaranya yang kecil akan mengumumkan kemenangannya.
Namun, tidak lama kemudian, saya menyedari bahawa keinginannya untuk ‘menang’ bukan sekadar untuk keseronokan.
Jika dia gagal mendapat tempat pertama, dia akan kecewa dan kadangkala menangis.
Justeru, jelas bahawa saya perlu menangani tingkah laku ini sebelum ia menjadi isu yang lebih mendalam.
Saya sedar bahawa kecenderungan anak saya suka bersaing bukan sekadar persoalan menang atau kalah; ia berkaitan dengan keinginan untuk berasa penting dan dihargai.
Saya terpaksa belajar bagaimana menguruskan sifat itu dengan cara yang menggalakkan persaingan sihat tanpa menimbulkan tekanan atau konflik yang tidak wajar.
Langkah pertama ialah memahami dari mana datangnya keperluan untuk sering menjadi yang pertama.
Kanak-kanak sering mempelajari tingkah laku berdaya saing daripada persekitaran mereka.
Sama ada melalui permainan, rancangan televisyen, atau memerhatikan orang dewasa, mereka melihat bagaimana masyarakat memberi penekanan terhadap kemenangan.
Saya juga sedar bahawa walaupun kecenderungan anak saya untuk bersaing sebahagiannya bersifat semula jadi, ia juga dipengaruhi oleh dunia di sekelilingnya.
Reaksi saya terhadap kemenangan dan kekalahannya juga memainkan peranan.
Untuk menanamkan pandangan yang lebih positif tentang persaingan dalam diri anak saya, saya bermula dengan memberikan contoh yang baik.
Apabila kami bermain bersama, saya berusaha memuji usaha dan penyertaannya, bukan hanya sekadar hasilnya.
Sebagai contoh, semasa bermain dengan mainannya, saya memuji kemahirannya berkongsi, dengan berkata: “Bagus awak mengambil giliran” atau “terima kasih kerana berkongsi mainan dengan saya”.
Ini mengalihkan tumpuan daripada kemenangan kepada proses berkongsi.
Perkara paling penting yang saya pelajari ialah memberi contoh teladan yang baik.
Sebagai ibu bapa, kita adalah model paling penting dalam kehidupan anak-anak kita.
Jika kita sendiri suka bersaing dan agresif, mereka juga akan cenderung terikut-ikut perangai kita itu.
Oleh itu, saya berusaha untuk lebih ‘relaks’ dan tenang.
Satu lagi pelajaran penting ialah mengajar anak kita bagaimana menangani kekalahan dengan baik.
Apabila anak saya kalah dalam permainan atau tidak menjadi yang pertama, saya akan mengesahkan perasaannya dengan berkata: “Saya tahu awak ingin sangat menang dan tak mengapa untuk berasa sedih.”
Kemudian dengan nada lembut, saya mengingatkannya bahawa kekalahan adalah sebahagian daripada kehidupan dan kita sentiasa boleh mencuba lagi.
Ia bukanlah sesuatu yang mudah dan masih ada saat-saat apabila anak saya berasa kecewa dan mahu bersaing.
Namun, saya telah belajar mengenali tanda-tanda itu dan mulakan campur tangan lebih awal.
Akhirnya, berurusan dengan anak yang cenderung bersaing adalah tentang mencari keseimbangan.
Walaupun semangat daya saingnya tidak hilang – dan mungkin tidak akan pernah hilang – dia sedang belajar untuk mengimbanginya dengan rasa empati dan ketabahan.
Sekarang, apabila anak saya berkata “saya yang pertama!” ia biasanya disertai dengan senyuman lebar dan ketawa.
Sebagai ibu bapa, saya juga sedang belajar bersama-samanya – satu perlumbaan demi satu perlumbaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg