Peluang selami pelbagai warisan S'pura termasuk cara buat songkok

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang selami pelbagai warisan S'pura termasuk cara buat songkok

'My Community Festival' edisi kedua sediakan lebih 60 program bertema 'Everyday Places, Everyday Faces'
Aug 26, 2021 | 5:30 AM

Peluang selami pelbagai warisan S'pura termasuk cara buat songkok

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
LESTARIKAN BUDAYA: Encik Abdul Wahab dan isterinya, Cik Fadzilah Jantan, dari Songkok SG, akan mengajar peserta asas menjahit songkok dalam bengkel di My Community Festival. - Foto MY COMMUNITY
LESTARIKAN BUDAYA: Encik Abdul Wahab dan isterinya, Cik Fadzilah Jantan, dari Songkok SG, akan mengajar peserta asas menjahit songkok dalam bengkel di My Community Festival. - Foto MY COMMUNITY -

PELAJARI seni membuat songkok dan teroka Pulau St John sambil mendengar kisah menarik daripada bekas penduduk pulau itu dalam pesta warisan yang dijayakan masyarakat berbilang bangsa di sini mulai bulan depan.

Selama tiga minggu, peserta pesta juga berpeluang menikmati pemandangan matahari terbenam di Woodlands and Queenstown.

Selain itu mereka juga boleh cuba membuat kek chiffon gula melaka 'paling lazat' di Singapura.

Kegiatan ini merupakan antara lebih 60 program yang disediakan sempena My Community Festival, yang kembali untuk edisi keduanya mulai 10 September hingga 3 Oktober ini.

Dengan tema 'Everyday Places, Everyday Faces', pesta tahun ini bertujuan membawa peserta menimba perspektif baru mengenai tempat yang biasa dikunjungi menerusi kisah menarik daripada pelbagai masyarakat di Singapura.

Pesta itu dikelolakan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan, My Community, dengan sokongan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

"Pesta ini memberi kita peluang untuk bertemu dan saling menghayati sesuatu yang pernah amat kita senangi semasa tinggal di pulau dulu," kata pengarah My Community Festival, Encik Kwek Li Yong, mengenai program bertemu bekas penduduk Pulau St John.

"Kami berharap kita akan lebih menghargai kehidupan harian dan mendorong orang lain supaya mendekati masyarakat agar dapat mengetahui keindahan Singapura yang amat bernilai itu," ujarnya lagi.

Program itu dibahagikan kepada 10 tema besar.

Antaranya, kelas membuat makanan manisan yang dinamakan 'Cuba Gula-Gula Saya'.

Acara membuat manisan tradisional itu mengajak para peserta mengikuti sesi membuat kek sugee orang Serani bersama Cik Carol Drysdale-de Mello, dan kek chiffon gula melaka bersama Cik Dawn Cheng.

Cik Cheng, 47 tahun, yang merupakan generasi ketiga perniagaan Cheng's @ 27, berkata:

"Saya fikir penting generasi muda kenal manisan tradisional dan bukan hanya tahu apa itu 'cupcake' sahaja."

Pesta tahun ini juga menawarkan program yang sesuai bagi mereka yang gemar mengembara.

Program panggilan pulau, 'Welcome to My Island', kendalian pemandu pakar akan membawa peserta meneroka Pulau Kusu, Pulau St John, Pulau Ubin dan Pulau Hantu.

Antara yang menarik adalah lawatan ke Pulau Hantu kerana selama 10 minit setiap bulan, perairan pulau itu akan surut untuk mendedahkan biodiversiti yang tersembunyi di zon antara pasang surut.

Selain itu, acara 'Meet My Craftsman' menampilkan bengkel yang dikelolakan tukang tradisional seperti pembuat kalungan bunga Encik R. Jayaselvam - yang pernah membuat kalungan bunga untuk satu-satunya pemenang pingat emas Sukan Olimpik Singapura Joseph Schooling - dan pembuat songkok, Encik Abdul Wahab Abdullah, dari Songkok SG.

Encik Abdul Wahab, 61 tahun, yang merupakan 'pembuat songkok terakhir' di Singapura, akan menunjukkan kepada para pengunjung asas menjahit songkok dalam bengkelnya.

"Saya harap generasi kini akan menghargai songkok buatan sendiri kerana kraf sebegini susah untuk dicari sekarang. Kita harus pelihara budaya Melayu kita," kata beliau, yang belajar membuat songkok daripada arwah bapanya pada usia 11 tahun.

Kategori program lain membawa peserta ke tempat-tempat ibadah, mempamerkan persembahan muzik dan tarian oleh pelbagai kumpulan seni persembahan budaya, dan menghubungkan peserta dengan jurugambar dan penduduk dalam lawatan di sekitar Singapura - termasuk Kebun Baru dan Dakota - untuk melihat matahari terbit dan matahari terbenam yang amat menarik.

Bagi yang mahu bergadang, mereka boleh mengikuti lawatan lewat malam ke Bras Basah, Jalan Besar, Balestier, Geylang, Bukit Brown dan Toa Payoh.

Terdapat juga lawatan sepanjang hari di dua kawasan warisan klasik Singapura, Tiong Bahru dan Holland Village.

Program secara maya juga disertakan dalam pesta kali ini. Para peserta boleh mengikuti kehidupan harian seorang pekerja di barisan depan - termasuk jururawat awam, pekerja estet dan penjaja - menerusi webinar Zoom.

Program webinar Zoom adalah percuma manakala lawatan dan bengkel berharga antara $10 hingga $50.

Program ini diadakan dengan mematuhi langkah pengurusan selamat dan status vaksinasi pemandu dipaparkan untuk memberi peserta jaminan.

Senarai penuh program boleh didapati di laman web My Community Festival. Pembelian tiket bermula sejak kelmarin.

ANTARA PROGRAM MENARIK 'MY COMMUNITY FESTIVAL 2021'

1. 'Welcome to My Pulau Hantu' bersama Richard Kuah

Tarikh:

5 Nov - 3.30 petang hingga 7.30 malam

6 Nov - 4 petang hingga 8 malam

Tempat berjumpa: Marina South Pier

Harga tiket: $50

2. 'Zoroastrian House' bersama Kersi Aspar

Tarikh:

2 & 3 Oktober - 2 hingga 4 petang dan 4 hingga 6 petang

Tempat berjumpa: Pintu masuk Zoroastrian House

Harga tiket: $10

3. Sunrise @ My Kebun Baru: Mendengar burung berkicauan bersama Robin Chua

Tarikh:

11, 12, 18, 19, 25 & 26 September, 2 & 3 Oktober - 6.30 hingga 8.30 pagi

Tempat berjumpa: 161 Ang Mo Kio Ave 4

Harga tiket: $10

4. Pembuat songkok Abdul Wahab Abdullah dari Songkok SG

Tarikh:

11, 12, 18 dan 19 September - 10 pagi hingga 12 tengah hari

Tempat berjumpa: Pintu masuk Wisma Geylang Serai/ pejabat Kelab Masyarakat Geylang Serai

Harga tiket: $40

5. After Hours @ My Bukit Brown bersama Andrew Lin

Tarikh:

10, 11, 17, 18, 24 dan 25 September, 1 & 2 Oktober - 10 malam hingga 1 pagi

Tempat berjumpa: Farrer Road MRT Exit B (Street Level)

Harga tiket: $50

Lungsuri laman web My Community Festival www. mycommunityfestival.sg untuk senarai penuh program.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg