Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Dekati belia... bukan sekadar 'ber-TikTok' sahaja

May 22, 2022 | 05:30 AM



SEPANJANG musim menyambut Hari Raya Aidilfitri, kita tumpang gembira ramai di kalangan masyarakat kita yang saling kunjung-mengunjung antara satu dengan lain.



Ramai yang mengambil kesempatan bergambar bersama sanak-saudara dan kawan-kawan semasa ziarah-menziarahi.



Sudah dua tahun kita di Singapura tidak dapat lakukan lawatan-lawatan berskala besar sedemikian, apabila kadar penularan Covid-19 memuncak dan mengancam kesihatan awam.



Lewat perkongsian-perkongsian di media sosial Facebook, Twitter, dan juga Instagram, kita dapat rasakan kegembiraan suasana Hari Raya tahun ini.



Kalau kita lihat menerusi wadah TikTok, misalnya, keriangan ini dapat dirasakan apabila setiap ahli keluarga baik tua atau pun muda yang sanggup koordinasi semasa menari dan bernyanyi bersama.



Wadah TikTok kian menjadi popular di kalangan belia kita.



Ia mencapai 1 bilion pengguna aktif pada September 2021, dan jumlah ini pasti sudah meningkat hari ini.



TikTok bukan hanya platform hiburan dan jenaka, tetapi ruang mereka menyuarakan pandangan.



Di Singapura, anggaran pengguna TikTok adala dua juta, dan ia amat popular di kalangan mereka yang lahir antara 1997 dengan 2012.



Jika satu masa dahulu Facebook dan Twitter amat popular, saya fikir bagi orang-orang muda, inilah "masa kegemilangan" TikTok.



Ini tidak bermakna wahana-wahana lain sudah mundur, kerana ini bergantung pada selera individu, tempat atau masa.



Mungkin ada di sesetengah negara, Facebook masih popular, begitu juga dengan Twitter.



Justeru, kita sebenarnya tidak boleh tahu platform mana yang popular atau kurang popular, kerana ini adalah satu perkara subjektif.



Usaha untuk memahami sentimen masyarakat menerusi media sosial ada tantangannya tersendiri.



Tidak semua orang ikut media sosial, dan tidak semua orang menyuarakan pandangan di media sosial.



Tidak semua sentimen "suka" dan "benci" itu mencerminkan perasaan masyarakat umum, mentelah wujud akaun-akaun palsu yang hanya berperanan untuk mengeruhkan lagi suasana, menghasut atau mengapi-apikan.



Kita sudah lihat kesan dan implikasi media sosial ini dalam politik setempat dan juga rantau ini.



Tentu sekali setiap pemimpin masyarakat mahu tahu perasaan golongan belia, selain daripada golongan-golongan lain.



Namun, kita perlu faham bahawa belia juga satu masyarakat yang rencam.



Ada yang beranggapan golongan belia ini tidak mudah didekati, atau mereka lebih suka pandangan-pandangan alternatif. Ada yang lebih cenderung untuk bertukar angin, tetapi ada pula yang mahukan status quo.



Hakikatnya, dalam setiap masyarakat tentu ada pergeseran generasi.



Apa tidaknya, setiap generasi didedahkan dengan fesyen-fesyen baru atau tabiat-tabiat baru.



Ada tabiat yang baik (seperti minat untuk kerja-kerja sukarelawan), ada tabiat yang tidak baik (seperti mengambil dadah sebagai budaya hidup masakini), namun banyak tabiat yang neutral.



Semua orang juga pernah menjadi atau bakal menjadi belia, dan tentu sekali ada perkara yang generasi sebelumnya tidak berkenan.



Saya lahir pada tahun 1980-an, mungkin ini disebutkan "era rock" atau "muzik jiwang."



Generasi kita mungkin kenal dengan kugiran-kugiran seperti Wings, Search, Fotograf, dan kumpulan-kumpulan seperti 4U2C. Bagi muzik Inggeris, kumpulan Scorpions atau Nirvana amat popular.



Pernah dalam satu tajuk karangan di sekolah, kami disuruh tulis bahaya "muzik rok" dalam masyarakat.



Bukankah ini satu isyarat guru-guru yang tidak setuju dengan genre tersebut?



Saya juga teringat rungutan teman sedarjah saya di kelas, "Kenapa tajuk-tajuk karangan mesti mempermasalahkan golongan belia?"



Kini giliran generasi saya pula yang berasa bimbang tentang belia masakini.



Dan di antara kebimbangan generasi ini adalah: Belia banyak menghabiskan masa di media sosial, belia kini sudah tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik, belia kita lebih membesarkan kawan dan kurang hormat pada orang tua, belia kini hanya berfikiran diri mereka sahaja betul.



Hakikatnya, generasi sebelum kami mungkin ada pelbagai stereotaip tentang generasi seterusnya juga.



Sebaliknya, kita juga mungkin tidak begitu cenderung dengan kesukaan mereka seperti Pop Yeh Yeh.



Namun, dalam usaha untuk mendekati belia, timbul pula individu-individu yang ingin memaksakan agar mereka diterima.



Ada pula generasi sebelumnya yang cuba ber-TikTok hanya untuk dilihat sebagai mendekati belia.



Mungkin ada belia yang setuju atau suka, dan merasakan golongan tersebut faham budaya alaf baru, tetapi tentu ada yang beranggapan percubaan tersebut adalah sekadar luaran sahaja.



Biarlah golongan muda yang melakukan aktiviti-aktiviti sesuai zaman mereka, kita tidak perlu ikut campur.



Yang lebih utama adalah kita tidak harus pinggirkan usaha untuk memahami masalah mereka.



Kurang sekali dibincangkan adalah cabaran-cabaran yang bakal menanti mereka, dalam aspek pekerjaan, dunia yang serba-serbi AI (kecerdasan buatan), dan juga kepelbagaian.



Saya yakin beberapa isu yang generasi lama anggap tidak boleh kini dilihat secara terbuka oleh golongan belia.



Kita juga menyaksikan, sebagai contoh, perkahwinan rentas budaya dan etnik yang semakin banyak dalam masyarakat.



Ini juga bermakna bahawa mungkin satu hari nanti, generasi akan datang sudah tidak dapat identifikasi dengan CMIO (Cina, Melayu, India dan lain-lain) yang menjadi ideologi tunggak dalam negara kita.



Saya fikir kita perlu lakukan satu tinjauan terperinci terhadap belia kita, dan apakan sentimen mereka tentang cabaran-cabaran mendatang.



Kita tidak seharusnya mempunyai pandangan serong atau berat sebelah, dan cuba fahami mereka.



Mungkin satu usaha dialog agar golongan mapan dan belia dapat bertukar-tukar pandangan perlu diadakan dengan lebih kerap, supaya tidak ada salah faham dan wujud sifat hormat-menghormati antara satu dengan lain.



Dialog bukan acara untuk memaksakan. Justeru, tidak salah kita ber-TikTok dan merasakan gaya hidup belia sekali-sekala, tetapi usaha memahami isi hati mereka perlu dilakukan dengan menyeluruh dan ikhlas.




SAH PINGGIR USAHA FAHAMI MASALAH BELIA 



"Biarlah golongan muda yang melakukan aktiviti-aktiviti sesuai zaman mereka, kita tidak perlu ikut campur.

Yang lebih utama adalah kita tidak harus pinggirkan usaha untuk memahami masalah mereka.

Kurang sekali dibincangkan adalah cabaran-cabaran yang bakal menanti mereka, dalam aspek pekerjaan, dunia yang serba-serbi AI (kecerdasan buatan), dan juga kepelbagaian.''

- Penulis.




  • Penulis Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau Ketua Program Masyarakat dan Budaya (RSCS) di institut tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >