Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24

Harungi masa sukar bersama, kukuhkan identiti warga S’pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Harungi masa sukar bersama, kukuhkan identiti warga S’pura

May 10, 2024 | 06:00 PM



Menempuh susah dan senang bersama-sama.

Demikian janjinya kepada warga Singapura semasa menerajui tampuk pimpinan sebagai Perdana Menteri Singapura pada 2004.

“Sebagai Perdana Menteri anda, saya akan bekerja keras mencari jalan terbaik bagi seluruh rakyat Singapura,” katanya dalam bahasa Melayu semasa upacara mengangkat sumpah sekitar 20 tahun lalu.

Ternyata tempoh 20 tahun kepimpinan Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong menyediakan pelbagai peluang untuk mengotakan janji tersebut, di samping “mencari jalan terbaik” dalam mengemudi negara mengharungi pelbagai cabaran dan peristiwa penting dalam sejarah bersama-sama dengan warga Singapura.

Sebagai Perdana Menteri Singapura yang dikenali dengan pendekatan pragmatik serta daya tahannya, beliau antara lain telah memimpin Singapura mengharungi dan bangkit lebih kukuh daripada salah satu krisis paling buruk yang pernah dihadapi – pandemik global Covid-19.

Di saat warga Singapura ditenggelami kebimbangan dan ketidaktentuan semasa tempoh pandemik, suara beliau penuh tenang, dan meyakinkan warga bahawa ada pelangi di sebalik hujan melalui siri siaran nasional antara 2020 hingga 2022.

Meskipun perit, pengalaman mengharungi waktu sukar bersama merupakan ‘ramuan penting’ dalam usaha mengukuhkan lagi identiti sebagai warga Singapura, kata Encik Lee dalam temu ramah terakhir beliau sebagai Perdana Menteri baru-baru ini.

Katanya: “Saya tidak syak lagi bahawa identiti kita kini lebih kukuh.

“Ia dibentuk (seiring dengan) pembangunan negara yang diteruskan lebih 20 tahun dan juga lebih 20 tahun mengharungi susah dan senang, cabaran dan rintangan, kegembiraan dan juga kesedihan.”

Di bawah kepimpinannya, pemerintah Singapura juga telah menghadapi tugas mencabar dalam menetapkan pendirian negara berkaitan beberapa isu sensitif yang mengundang kontroversi, termasuk pemansuhan Seksyen 377A dan isu pemakaian tudung di tempat kerja.

Cara isu sensitif seperti ini dibincangkan dan ditangani membuka ruang untuk meningkatkan pemahaman serta penerimaan antara warga berbeza, kata Encik Lee.

“Cara kita menangani (isu-isu ini) membolehkan kita memahami satu sama lain dengan lebih baik dan menerima perbezaan antara satu sama lain, saling menghormati dalam mencari huraian praktikal untuk isu tersebut,” ujarnya.

Yang jelas, isu-isu sensitif seperti itu memerlukan pendekatan yang lebih teliti kerana jika tidak, ia mungkin menyebabkan masalah yang lebih besar, kata Encik Lee.

Beliau menukil contoh respons Singapura terhadap ancaman kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) susulan kejadian 11 September di New York, berlatarbelakangkan masyarakat pelbagai bangsa dan agama di Singapura.

Usaha mengatasi isu tersebut, yang dimulakan Perdana Menteri Encik Goh Chok Tong sebelum itu, diteruskan Encik Lee sebaik mengambil alih jawatan tersebut.

Dalam menangani isu itu, pemerintah telah bekerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam – terutama sekali golongan asatizah dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) – dengan menganjurkan sesi-sesi perbincangan bagi mengutarakan keprihatinan masing-masing dan mencari jalan keluar.

“Kita bincangkan secara terbuka mengenai keprihatinan kita pada masa itu, bagaimana dan mengapa kita tidak seharusnya ada perasaan takut akan satu sama lain.

“Selepas semua usaha itu, kita berjaya mengatasinya, kita bernasib baik, kita tidak mengalami sebarang serangan pengganas di Singapura sejauh ini. Beberapa (percubaan) berjaya dihalang tepat pada masanya oleh agensi keselamatan kita. Serangan itu boleh berlaku dengan mudah tetapi ia dapat dielakkan.

“Saya rasa pengalaman itu telah membantu merapatkan hubungan kita,” katanya.

Meskipun keupayaan warga dan negara dalam mengatasi isu-isu sensitif seperti ini telah diperkukuh, namun ia tidak bermakna pemerintah boleh “lepas tangan” dalam menghadapi isu-isu serupa pada masa akan datang, menurut Encik Lee.

“Tidak pernah dan tidak mungkin (lepas tangan), kerana isu ini akan kekal isu sensitif, dan perbincangan juga perlu ada hadnya.

“Pemerintah perlu menetapkan nadanya. Jika kami perlu mengambil langkah besar, contohnya, membenarkan jururawat memakai tudung atau (mengubah undang-undang supaya) gaya hidup homoseksual lelaki tidak lagi menjadi satu jenayah, jika pemerintah tidak melakukannya, ia tidak akan berlaku atau ia akan berlaku dalam keadaan huru-hara yang menimbulkan perbalahan,” ujarnya.

Justeru, Encik Lee menekankan pentingnya peranan pemerintah membimbing perbincangan serta pertukaran pendapat dan pada masa yang sama membuka ruang bagi membenarkan lebih banyak pandangan liberal. 

Dalam pada itu, Encik Lee turut menekankan pentingnya usaha berterusan dalam membasmi unsur-unsur perkauman dalam masyarakat.

Meskipun unsur-unsur perkauman ini kurang di Singapura berbanding negara lain, Encik Lee akur ia tetap wujud dan “untuk menghapuskannya sama sekali merupakan sesuatu yang sukar dilakukan”.

Banyak yang telah dicapai oleh Singapura dalam usaha menyatukan warga Singapura tanpa mengira bangsa, bahasa dan agama dan untuk memberi layanan sama rata kepada semua, kata Encik Lee.

“Tetapi untuk menghapuskan prasangka sepenuhnya, antara kumpulan manusia yang berbeza yang akan kekal berbeza, dan mahu mengekalkan budaya, warisan dan agama masing-masing, saya fikir ia sangat sukar.

“Jadi saya fikir kita akan memperbaikinya, kita akan melakukan lebih banyak untuk segera bergerak ke arah yang betul,” katanya sambil menukil usaha memperkenal undang-undang diskriminasi di tempat kerja.

Namun, sikap terlalu ‘woke’ – di mana seseorang itu menjadi hipersensitif terhadap isu-isu tertentu – juga mungkin “membebankan masyarakat”, kata Encik Lee.

Katanya: “Saya tidak fikir kita mahu menuju ke arah itu.

“Ia tak menjadikan kita masyarakat yang lebih tabah, bersatu padu dengan semangat perpaduan yang kuat. Kita mesti lebih tabah daripada itu.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >