Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24

S’pura dihormati di mata dunia, perlu terus perjuang kepentingan negara

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S’pura dihormati di mata dunia, perlu terus perjuang kepentingan negara

May 10, 2024 | 06:00 PM



Foto serta rakaman video yang memaparkan dua pemimpin dunia bersiar-siar di taman resort The Capella Singapore di Sentosa sambil berbual boleh dinilai sebagai foto atau rakaman ‘paling berharga’ pada 2018.

Ini kerana buat julung-julung kalinya, dunia diberi peluang menyaksikan pertemuan bersejarah antara Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Encik Donald Trump, dengan pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un.

Peranan Singapura dalam sidang puncak Trump-Kim tersebut kecil – hanya untuk “tuang teh semasa majlis”, sepertimana kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam temu ramah baru-baru ini.

Namun, pemilihannya jelas menjadi cerminan reputasi Singapura di mata dunia yang telah dibina berdekad lamanya dan diperkukuh semasa tempoh kepimpinan Encik Lee.

Ini bukan kali pertama semasa tempoh kepimpinan beliau di mana Singapura terpilih sebagai lokasi pertemuan penting antara pemimpin negara lain.

Pada 2015, Singapura menjadi tuan rumah bagi pertemuan bersejarah antara Presiden China, Encik Xi Jinping, dengan Presiden Taiwan ketika itu, Encik Ma Ying-jeou.

Ini merupakan pertemuan pertama antara pemimpin dua negara itu sejak berakhirnya Perang Dingin China pada 1949.

“Saya rasa dasar diplomatik kita telah memberikan kita kedudukan yang penting di mata dunia, dan kita diiktiraf (negara lain) dan mereka menghormati kita, dan ini sesuatu yang baik,” kata Encik Lee yang bakal menyerahkan tampuk pimpinan kepada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 15 Mei.

Dunia yang tidak menentu

Hubungan baik Singapura dengan negara-negara dunia diperkukuh semasa tempoh kepimpinan Encik Lee, namun beliau menekankan ia tetap “titik merah kecil” yang perlu mempertahankan kepentingannya sendiri.

Encik Lee berkata: “Kita masih bergantung kepada kedaulatan undang-undang antarabangsa, perdagangan antarabangsa, laluan laut dan komunikasi yang terbuka, keupayaan untuk berurusan dengan semua orang di dunia, menjalankan perniagaan dan mendapatkan bekalan dan makanan kita.

“Kita perlu memelihara kepentingan sendiri (dalam dunia) di mana semua orang sedang bergelut antara satu sama lain, dan kita bukan pemain paling kuat.”

Pendekatan Singapura dari segi hubungan luar tidak berubah sejak beliau mengambil alih iaitu: berkawan dengan semua, namun tegas mempertahan kepentingan sendiri.

Pendirian tersebut telah ditekankan lagi semasa temu ramah baru-baru ini.

“Kita hanya cuba melindungi kepentingan kita, dan cara untuk melakukannya adalah dengan berkawan dan menjalin hubungan di mana kita boleh mencapai matlamat yang sama dengan negara lain,” tegas Encik Lee.

Tumpuan yang diberikan terhadap ehwal luar negara sepanjang kepimpinannya memang jelas, terbukti melalui jumlah ucapan yang disampaikan di bawah topik ‘ehwal luar’ dalam arkib rasmi ucapannya.

Antara isu yang mendapat perhatian termasuk perkembangan di semenanjung Korea, Selat Taiwan serta di Laut China Selatan baru-baru ini.

Ini selain hubungan Amerika-China – yang bertambah buruk sejak sekitar sedekad lalu dan turut menjejas ehwal dunia secara keseluruhan.

Menurut Encik Lee, keadaan tersebut dijangka berpanjangan melangkaui 10, 20 tahun akan datang.

“Mujur hubungan kita dengan kedua-dua negara ini cukup baik,” kata Encik Lee.

Beliau menukil beberapa projek kerjasama antara pemerintah atau G-to-G antara Singapura dan China seperti projek Suzhou dan Tianjin.


Singapura juga mempunyai hubungan baik dengan Amerika – menjalin kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

“(Singapura) berkawan dengan beberapa kuasa besar, dan kita ingin mereka hadir secara konstruktif untuk membantu dari segi keselamatan dan kemakmuran rantau ini,” ujar Encik Lee.

Berbaik dengan jiran

Menurut Encik Lee, Singapura bertuah memandangkan hubungannya dengan kedua-dua jiran terdekat – Malaysia dan Indonesia – secara amnya cukup baik.

Sepanjang tempoh sebagai Perdana Menteri, Encik Lee sempat bekerjasama dengan enam Perdana Menteri Malaysia dan dua Presiden Indonesia dengan bidang tumpuan dan natijah berbeza.

Namun, ia akan “kekal sebagai hubungan yang rumit”.

“Kita akan kekal sebagai jiran terdekat dan perlu sentiasa bekerjasama, tetapi kita masih ada banyak lagi ruang di mana kita mungkin mempunyai perspektif berbeza atau salah faham.

“Saya rasa kita sedar mengenai perkara ini, dan kita sedang cuba sedaya-upaya untuk tidak bertentangan kerana banyak yang kita boleh capai secara bersama,” katanya.

Cabaran bagi pemimpin baru

Namun memandang ke hadapan, tempoh peralihan kepada tampuk pimpinan baru mungkin membuka ruang untuk negara lain menguji daya tahan dasar luar negara Singapura, kata Encik Lee.

Ini sesuatu yang perlu dijangkakan, katanya, kerana ramai yang ingin menyaksikan sendiri bagaimana respons kepimpinan baru, dasar yang mereka lakarkan serta personaliti mereka.

Namun, Encik Lee telah melahirkan keyakinan terhadap keupayaan Timbalan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong untuk menghadapi cabaran ini.

Katanya: “Tetapi kita mesti menjangkakan bahawa penelitian akan dilakukan, dan kita mesti bersedia untuk bertindak balas.

“Bukan dengan cara yang keras, tetapi secara tenang dengan berdiri teguh dan memberitahu orang ramai bahawa kita mungkin telah menukar pengawal, tetapi pengawal baru telah bersedia, dan pengawal lama juga masih memberikan pandangan yang diharap berguna kepada pasukan baru tentang cara melakukannya.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >