Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kenali tiga pasangan calon Presiden 2024

Dec 18, 2023 | 05:30 AM



ANIES BASWEDAN DAN MUHAIMIN ISKANDAR

Sebelum terjun ke dunia politik, Encik Anies adalah seorang akademik dan merupakan rektor di Universiti Paramadina, Jakarta, dari 2007 hingga 2014. 

Berusia 54 tahun, beliau juga adalah pengasas program popular Indonesia ‘Mengajar’ yang dibangunkan pada 2009.

Melalui program itu, golongan mahasiswa akan mengajar selama satu tahun ke daerah-daerah di pelosok Indonesia yang tidak memiliki akses pendidikan yang bermutu.

Atas alasan itu, Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo memilih Encik Anies sebagai Menteri Pendidikan pada 2014.

Namun prestasi Encik Anies dilaporkan tidak memuaskan Encik Jokowi dan beliau diganti pada 2016.

Setahun setelah diganti, Encik Anies memutuskan untuk bertanding sebagai Gabenor Jakarta menentang dua calon yang dilaporkan rapat dengan Encik Jokowi, iaitu Encik Basuki Tjahaja Purnama, dan Encik Agus Yudhoyono – anak mantan presiden, Encik Susilo Bambang Yudhoyono.

Encik Anies dan calon Naib Gabenornya, Encik Sandiaga Uno, menang besar dengan memperolehi kira-kira 58 peratus undi.

Beliau didukung oleh gabungan empat parti politik, Parti NasDem, Parti Kebangkitan Negara (PKB), Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang kini berada di kubu Encik Jokowi dan Parti Ummat pendatang baru yang belum memiliki kerusi di Parlimen.

Keempat-empat parti yang menyokong Encik Anies kemungkinan akan mengubah beberapa dasar Encik Jokowi jika terpilih kelak.

Encik Anies berjanji akan memberikan akses kepada rakyat jelata, pendidikan dan kesihatan bermutu yang terjangkau bagi seluruh rakyat Indonesia.

Beliau turut menjanjikan peluang ekonomi di daerah kurang berkembang di Indonesia.

Sementara, calon naib presidennya, Encik Muhaimin Iskandar, 57 tahun, adalah ketua parti yang sudah melibatkan diri dalam dunia politik sejak di bangku kuliah.

Ketika beberapa tokoh Nahdlatul Ulama (NU), organisasi Islam terbesar Indonesia, memutuskan membentuk PKB pada 1998, Encik Muhaimin yang berasal daripada keluarga ulama memutuskan untuk bergabung dengan PKB.

Setahun kemudian, beliau terpilih menjadi anggota parlimen PKB.

Encik Muhaimin menjadi ketua PKB pada 2005.

Dengan berpasangan dengan Encik Muhaimin, Encik Anies dijangka mempunyai kelebihan dalam kalangan anggota NU yang memiliki ribuan pondok pesantren di seluruh Indonesia dengan jutaan pengikut setia.

Namun tinjauan terkini menunjukkan bahawa keputusan Encik Anies memilih Encik Muhaimin tidak meningkatkan popularitinya walaupun di Jawa Timur yang dikenali sebagai pangkalan NU.

Ini kerana tidak semua pendukung NU adalah pemilih PKB dan tidak semua pemilih PKB adalah pendukung Encik Muhaimin.

Keputusan Encik Anies memilih Encik Muhaimin sebagai pendampingnya telah mengorbankan sokongan Parti Demokrat, yang merupakan bekas anggota gabungannya yang sebelum ini melobi Encik Anies agar memilih Encik Agus Yudhoyono sebagai calon naib presidennya.

Sejak itu, Partai Demokrat berpindah dengan bergabung dengan parti politik yang mendukung Encik Prabowo.

GANJAR PRANOWO DAN MAHFUD MD

Encik Ganjar Pranowo terpilih sebagai anggota Parlimen selama dua penggal sebelum terpilih sebagai Gabenor Jawa Tengah pada 2013.

Sejak menjadi Gabenor, Encik Ganjar kerap dibandingkan dengan Encik Jokowi kerana memiliki gaya kepemimpinan yang santai dan mudah didekati masyarakat.

Kededuanya juga kerap melawat ke tempat-tempat yang jarang dikunjungi ahli politik dan pejabat awam seperti pasar tradisional, desa-desa dan kawasan miskin di kawasan bandar.

Sepanjang 10 tahun memegang jawatan, Encik Ganjar berjaya mengurangkan kadar kemiskinan Jawa Tengah daripada 14.4 peratus pada 2013 kepada 10.9 peratus pada 2022.

Bagaimanapun, menjelang akhir tempoh perkhidmatannya, kadar kemiskinan wilayah lebih tinggi daripada purata nasional iaitu 9.5 peratus dan purata pulau Jawa sebanyak 8.6 peratus.

Para pengamat menyifatkan Encik Ganjar sebagai tokoh yang berkemungkinan meneruskan kebijaksanaan dan program Encik Jokowi.

Jika terpilih, Encik Ganjar tidak akan membiarkan pembangunan prasarana yang dilakukan Encik Jokowi terhenti.

Encik Ganjar, 55 tahun, adalah anggota Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang begitu setia kepada ketua parti, Cik Megawati Sukarnoputri, anak presiden pertama Indonesia, Encik Sukarno dan pernah menjawat sebagai presiden perempuan pertama Indonesia pada 2001.

Namun jika dipilih selaku presiden, pengamat mengatakan Encik Ganjar harus mengimbangi kedudukannya sebagai pemimpin negara dan statusnya sebagai petugas parti yang menurut perintah Cik Megawati.

Encik Ganjar memiliki visi mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan keterampilan di bidang sains dan teknologi, serta membentuk sistem digital nasional untuk memacu pembangunan ekonomi Indonesia.

Beliau dikritik hebat awal 2023, selepas menuntut pasukan bola sepak remaja Israel dihalang daripada menyertai Piala Dunia Bawah 20 Tahun 2023 di Indonesia.

Ia menyebabkan badan induk Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menarik balik hak Indonesia untuk menjadi tuan rumah acara itu.

Encik Ganjar didukung oleh gabungan empat parti: PDI-P, Partai Persatuan Pembangunan (PPP), Parti Persatuan Indonesia (Perindo) dan Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura). Perindo dan Hanura tidak memiliki wakil di Parlimen.

Pada 18 Oktober, Encik Ganjar memilih Encik Mahfud MD sebagai pasangannya.

Tokoh berusia 66 tahun atau nama penuhnya Encik Mohammad Mahfud Mahmodin ini adalah seorang teknokrat kanan yang telah mengisi pelbagai jabatan awam termasuk Ketua Mahkamah Konstitusi pada 2008 hingga 2013.

Pada 2019, Encik Jokowi melantik Encik Mahfud sebagai Menteri Koordinator Politik, Hukum dan Keamanan, yang masih disandang hingga ke hari ini.

Menurut pengamat, kedudukan Encik Mahfud sebagai cendekiawan NU yang dihormati dapat membantu Encik Ganjar terutama daripada para pemilih Muslim.

Pengalaman puluhan tahun Enck Mahfud sebagai teknokrat dan berlatar belakang kehakiman juga dianggap boleh dimanfaatkan oleh Encik Ganjar untuk memenangi Pilihan Raya Presiden.

PRABOWO SUBIANTO DAN GIBRAN RAKABUMING RAKA

Encik Prabowo, 72 tahun, adalah ahli politik paling kanan dan paling berpengalaman dalam mengharungi Pilihan Raya Presiden 2024.

Beliau menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya di luar negara kerana penglibatan bapanya dalam Pemerintah Revolusi Republik Indonesia (PRRI), yang ditubuhkan pada 1958 sebagai penentangan terhadap pentadbiran Sukarno.

Hasilnya Encik Prabowo fasih berbahasa Perancis, Jerman, Inggeris dan Belanda.

Mantan jeneral tentera itu sebelumnya pernah tiga kali bertanding bagi pemilihan presiden.

Pada 2009, Encik Prabowo mendampingi Cik Megawati sebagai calon naib presiden sebelum menjadi calon presiden pada 2014 dan 2019.

Pada 2009 Cik Megawati tewas dengan Encik Susilo Bambang Yudhoyono sementara pada 2014 dan 2019, Encik Prabowo kalah kepada Encik Jokowi.

Pilihan raya 2019 dilihat memecahbelahkan pihak Indonesia.

Ketika itu, Encik Prabowo yang kalah dengan 11 peratus enggan mengakui kekalahannya dan membawa hasil keputusan pilihan raya ke Mahkamah Konstitusi atas tuduhan kecurangan pilihan raya.

Para penyokong Encik Prabowo mengadakan bantahan besar-besaran di ibu kota Jakarta.

Ketegangan kededua tokoh tersebut reda setelah Encik Jokowi mengundang Encik Prabowo bergabung dalam kabinetnya selaku Menteri Pertahanan.

Mereka yang sebelum ini berseteru kini menjadi sekutu dekat. Bahkan, Encik Prabowo pada 22 Oktober memutuskan menjadikan anak sulung Encik Jokowi, Encik Gibran, sebagai calon naib presidennya.

Di antara calon naib presiden, Encik Gibran, 36 tahun, paling kurang pengalaman.

Kerjayanya sebagai birokrat baru dimulai dua tahun lalu ketika terpilih walikota di kampung halamannya Surakarta, atau dikenal dengan nama Solo.

Ini adalah jabatan yang sebelumnya pernah diisi oleh ayahnya yang memimpin Solo antara 2005 dengan 2012.

Awalnya, Encik Gibran tidak memenuhi syarat untuk menjadi calon naib presiden.

Undang-undang sebelumnya menyatakan calon presiden atau wakilnya harus berusia sekurang-kurangnya 40 tahun.

Namun pada 16 Oktober, Mahkamah Konstitusi mengubah syarat tersebut dengan pengecualian bagi mereka yang berpengalaman sebagai kepala daerah terpilih.

Mahkamah Konstitusi dipimpin oleh Encik Anwar Usman, bapa saudara Encik Gibran.

Banyak yang mengecam keputusan Mahkamah tersebut dengan menyebutnya telah merosakkan demokrasi Indonesia kerana membuka pintu bagi Encik Jokowi untuk membentuk dinasti politik dan memegang kuasa jika Prabowo-Gibran menang.

Encik Prabowo, mengukir imej baharu sebagai bapa saudara yang comel dan pencinta kucing dengan kegemaran tarian Jawa spontan, yang klipnya tular di TikTok.

Beliau sebelum ini didakwa melakukan pencabulan hak asasi manusia di Timor Timur dan terbabit dalam penculikan 13 aktivis pelajar pada 1998.


Bagaimanapun, beliau menafikan semua dakwaan itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >