Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Fesyen pun ada perjuangan dan misi

Aug 23, 2023 | 05:30 AM



Di negara yang kecil ini, Singapura telah melahirkan banyak jenama fesyen yang masing-masing mempunyai perjuangan tersendiri. Ada yang mampu membuka butik secara fizikal dan ada yang berkolaborasi dengan butik-butik yang menghimpun pelbagai jenama di bawah satu bumbung.

Namun satu perkembangan ketara yang diliihat dalam kalangan pereka fesyen Singapura hari ini ialah tumpuan mereka bukan terikat kepada sekadar menghasilkan pakaian cantik, bahkan peranan ditingkatkan dalam mengubah penggayaan industri fesyen demi tujuan yang lebih bermakna.

Pereka fesyen tidak lagi dilihat sebagai pencetus gaya tetapi memikul tanggungjawab penting dalam mendidik masyarakat untuk tampil mengikut kesesuaian sekitaran, budaya dan agama.

Bagi yang memperjuangkan sistem eko dan kesejahteraan alam, aspek kitar semula bahan fabrik menjadi perjuangan utama. Ini dapat dilihat daripada para peserta laman e-dagang Looqal yang dilancarkan Jumaat ini dengan penganjuran reruai aneka produk kemampanan selama tiga hari.

Pereka fesyen juga memperjuangkan akar budaya demi mengukuhi jati diri.

Cukup membanggakan melihat pereka-pereka fesyen menjulang pakaian tradisional dengan menggunakan bahan berlandaskan budaya seperti batik, songket dan sebagainya yang dijual di kota kosmopolitan Singapura.

Cik Nur Aqilah Zailan adalah antara yang teguh mengetengahkan batik dan merebut peluang memajukannya di setiap kesempatan.

Menghasilkan pakaian patuh syariah pula tidak lagi terikat dengan jubah dan abaya – fesyen yang satu ketika dulu menjadi gelombang kepada Muslimah yang mematuhi syariat Islam sehingga menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak bahawa Singapura sudah seperti ‘menganuti’ fesyen Timur Tengah.

Ternyata fahaman peminat dan pereka fesyen tempatan tentang pakaian berlandaskan Islam tidak terhad kepada negara-negara Arab, sebaliknya mereka menjenguk ke jendela fesyen dunia dari pelbagai arah, hasil teknologi komunikasi yang membolehkan kita mendapatkan sumber dan pendedahan dari mana-mana pelosok dunia.

Bagusnya biar berapa jauh kita melangkah, pereka fesyen Singapura masih teguh memandang ke Timur kerana itu yang mendekatkan kita dengan budaya dan agar sentiasa berpijak di bumi nyata. Fesyen juga cermin jati diri.

Jenama pakaian Kaifiyyah membuka takrif pakaian patuh syariah ini daripada perspektif kehidupan moden dan terbuka. Pakaian yang tampak biasa tetapi luar biasa. Potongan labuh dan tidak pengakur trend, memberi isyarat kepada pengguna bahawa anda tidak perlu menjadi mangsa fesyen.

Yang penting rekaan perlu menitikberatkan beberapa faktor lain antaranya potongan busana, pemilihan fabrik, rona dan sensitiviti agama.

Dalam dunia perniagaan, antara perkara awal perlu diterapkan ialah daya ketahanan terhadap persaingan dalam industri fesyen. Lambakan label fesyen lahir dalam alam maya mempunyai kuasa tarikan hingga menenggelamkan jenama fesyen sudah lama bertapak di negara ini. Justeru perlu ada ilmu perniagaan yang terbukti berkesan.

Benar, jatuh bangun perniagaan adalah asam garam kehidupan. Justeru langkah yang diambil pereka fesyen Kat Aziz untuk memastikan perniagaan pakaiannya yang hasil penjualan sudah mencapai jutaan dolar dapat bertahan.

Beliau tidak lagi mampu berfikir setakat sebagai seorang penjual baju. Beliau sebaliknya menerajui sebuah industri yang memberi pekerjaan dan kehidupan kepada orang-orang di sekelilingnya.

Justeru jangan dipandang remeh mereka yang menjual baju menggunakan mesin jahit bermula dari rumah seperti yang dilalui Cik Kat Aziz sedekad lalu. Dengan ilmu dan tekad, langkah pasti panjang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >