Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CATATAN WARTAWAN

Asuh anak sesuaikan diri masuk darjah satu turut rangkumi aspek sosial

Dec 20, 2021 | 05:30 AM



DALAM tempoh dua minggu, anak sulung saya akan melangkah ke sekolah rendah dan memulakan darjah satu.



Sebagai persiapan, kami telah melatihnya menghadapi beberapa senario yang kami jangka bakal dihadapinya di sekolah.



Apabila jumpa guru, ucapkan 'Good morning' atau 'Selamat pagi'.



Semasa membeli makanan di kantin, hujah dengan suara yang jelas semasa memesan makanan - walau rangup dan mungkin lebih sedap, jangan selalu makan lauk yang digoreng atau beli minuman manis - dan hitung wang yang diberikan kepada penjual dan selanjutnya, wang yang diterima kembali.



Apabila hendak ke tandas, pastikan ada tisu basah dalam saku atau basahkan tisu sebelum masuk ke kubikel.



Jangan basahkan baju apabila membasuh tangan!



Perkara ini semua dalam kawalan kita sebagai ibu bapa dan harapan kami berbuat demikian adalah supaya cabaran menyesuaikan diri kepada sekitaran baru bagi anak kami itu tidak terlalu tinggi.



PERSIAP DIRI KEPADA CABARAN



Namun, kami juga mahu mempersiap anak kami kepada cabaran menjalani hidup dalam suasana bermasyarakat di sekolah rendah yang mungkin lebih dekat dengan ekosistem hidup harian di Singapura.



Dan perkara ini tidak begitu jelas batasannya.



Di peringkat tadika dan tajaka, anak-anak kita sedikit sebanyak terlindung daripada kehidupan harian sebenar kerana masa dan pergaulan dalam ekosistem prasekolah terhad.



Guru-guru di prasekolah juga - saya jangka - mempunyai lebih banyak masa untuk memenuhi peranan sebagai pengasuh dan bukan sekadar menjadi pendidik semata-mata.



Di sekolah rendah nanti, anak-anak kita akan berdepan dengan elemen-elemen yang mungkin belum pernah dihadapinya.



Selain menyesuaikan diri dengan mata pelajaran yang bertambah, anak-anak kita juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan sosial yang berubah.



Sebagai contoh, mereka akan berjumpa dengan lebih ramai orang dari latar belakang yang lebih luas dan perlu berinteraksi dengan cara yang tidak membeza-bezakan mereka.



PERUBAHAN EMOSI



Anak-anak kita yang kian matang juga perlu bergelut dengan perubahan emosi yang boleh mempengaruhi cara mereka berhubungan dengan orang lain.



Pastinya, anak-anak akan berdepan dengan keadaan di mana mereka berasa sedih, marah atau gembira.



Mereka juga diharap menjadi lebih faham dengan konsep tanggungjawab dan bertanggungjawab bagi semua perbuatan mereka - tidak kira sama ada baik atau salah - dan tindakan susulan yang boleh dialami.



Bagaimana kita hendak mempersiap anak-anak bagi menghadapi semua ini?



Ada beberapa buku panduan yang cuba mengupas cabaran ini bagi ibu bapa dan saya sedar, buku-buku ini pasti mempunyai nilainya yang tersendiri.



Namun, sejujurnya, saya tidak pernah beres membaca buku-buku sedemikian - kadang-kadang penerangan yang diberikan berjela-jela dan ada buku yang memberikan huraian bercanggah!



Justeru, pada saat-saat begini, saya mengimbas zaman kanak-kanak saya dan cuba meng-ingat semula nasihat yang diberikan ibu bapa saya pada hari pertama saya melangkah ke darjah satu.



Memori saya berkenaan hari tersebut agak kabur. Yang lebih jelas dalam ingatan saya ialah keghairahan berjumpa rakan-rakan baru dan mak cik penjaja nasi lemak yang selalu memberi saya sambal 'ekstra'.



Namun, nasihat bapa saya masih tersemat di dada sehingga hari ini.



Beliau mengingatkan saya supaya melayan orang lain dengan hormat, sebagaimana saya ingin orang melayan saya; dan supaya bersikap berani menghadapi cabaran.



Dan pada Januari nanti, saya rasa saya juga akan berkongsi nasihat yang sama kepada anak saya.




"... nasihat bapa saya masih tersemat di dada sehingga hari ini. Beliau mengingatkan saya supaya melayan orang lain dengan hormat, sebagaimana saya ingin orang melayan saya; dan supaya bersikap berani menghadapi cabaran. Dan pada Januari nanti, saya rasa saya juga akan berkongsi nasihat yang sama kepada anak saya.



- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >