Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

George Goh kurang dikenali, tapi boleh beri perspektif berbeza, kata pemerhati

Jul 29, 2023 | 05:39 AM



Pengalaman Encik George Goh dalam sektor swasta memberikan beliau perspektif yang berbeza dan pandangan unik ke atas institusi tadbir urus negara, kata beberapa pengamat politik yang dihubungi Berita Harian (BH).


Malah, kedudukan Encik Goh yang tidak terikat dengan mana-mana parti mahupun institusi politik boleh dianggap ‘kekuatan utama’ beliau, kata mereka lagi.

Penolong Profesor Elvin Ong di jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata pengalaman sektor swasta yang dimiliki Encik Goh adalah kekuatannya sebagai calon.

“Ini berguna untuk membawa perspektif yang berbeza dan kemungkinan pandangan unik kepada institusi tadbir urus kita, jika beliau dipilih,” kata Prof Ong.

Mengutarakan pendapat serupa, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Felix Tan, berkata Encik Goh, sebagai seorang yang mempunyai latar belakang dalam sektor swasta, memiliki pandangan berbeza jika dibandingkan dengan individu yang datang daripada sektor awam.

“Sebagai seorang yang datang daripada sektor swasta, George Goh mempunyai pandangan dunia yang sangat berbeza kerana beliau melihat dari perspektif ahli perniagaan antarabangsa.

“Tambahan, kekuatannya ialah dalam berhubungan dengan segmen tertentu masyarakat Singapura,” kata Dr Tan.

Semasa bertemu media pada Khamis, 27 Julai, Encik Goh, 63 tahun, yang telah melahirkan hasrat bertanding dalam Pilihan Raya Presiden tahun ini, berkata Singapura bersedia untuk presiden dengan kelayakan sektor swasta.

Malah, beliau menyeru lebih ramai calon yang tiada pertalian dengan pertubuhan awam atau institusi politik supaya tampil dengan idea-idea segar.

Awal sebelum ini, semasa lawatannya ke Pasar Geylang Serai pada 16 Julai, Encik Goh berkata calon presiden tidak seharusnya merupakan seorang eksekutif kanan dalam syarikat berkaitan pemerintah atau pekerja organisasi yang menerima pelaburan daripada dana kekayaan negara.

Dua tokoh lain yang telah melahirkan hasrat sama bagi Pilihan Raya Presiden tahun ini ialah mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, dan Encik Ng Kok Song yang merupakan mantan ketua pelaburan GIC.

“Apabila anda mempunyai dana daripada negara dalam organisasi anda, maka ia menjadi sangat sukar untuk (menjadi) bebas,” kata Encik Goh pada ketika itu.

Sejak mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden pada 12 Jun, Encik Goh kerap kali mengemukakan dirinya sebagai “calon bebas” yang tidak mempunyai sebarang pertalian parti politik.

Beliau telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Duta Besar ke Maghribi kepada Kementerian Ehwal Luar (MFA) bagi memastikan kebebasannya sebagai calon.

Namun, tidak seperti bakal pesaingnya Encik Tharman, Encik Goh tidak pernah berkecimpung dalam sektor awam dan tidak layak secara automatik untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Beliau akan memohon bagi kelayakan di bawah laluan penilaian sektor swasta.

Di bawah laluan tersebut, bakal calon mestilah telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun dalam organisasi sektor swasta.

Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) juga mesti berpuas hati bahawa bakal calon berpengalaman sewajarnya dan memiliki kebolehan yang setanding dengan seseorang yang pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang menguntungkan dengan sekurang-kurangnya $500 juta dalam ekuiti pemegang saham selama tiga tahun.

Di samping itu, PEC juga mesti berpuas hati bahawa individu itu cukup berpengalaman dan berkeupayaan untuk menjalankan fungsi dan tugas jawatan Presiden dengan berkesan.

Selain merupakan pengerusi eksekutif kumpulan Ossia International, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Singapura, Encik Goh bersama isterinya, Cik Lysa Sumali, juga pengasas bersama pertubuhan kebajikan Border Mission.

Pertubuhan tersebut membantu golongan yang memerlukan di Singapura, rantau Himalaya serta negara-negara sedang membangun.

Beliau juga merupakan penasihat Institut Silang Budaya Puan Noor Aishah dan berkhidmat sebagai ahli lembaga Persatuan Seni-Budaya Kreatif Melayu (CMAC).

Dalam pada itu, Prof Ong dan Dr Tan berpendapat bahawa kekurangan Encik Goh sebagai calon Presiden ialah beliau tidak memiliki pengalaman sektor awam yang mencukupi.

“Kelemahan utamanya ialah beliau kurang berpengalaman dalam bekerjasama dengan ahli politik dan birokrat pemerintah.

“Oleh itu, beliau mungkin dilihat oleh pengundi konservatif sebagai seorang yang terlalu asing yang memperkenalkan lebih banyak ketidakpastian ke dalam sistem politik sedang ia tidak diingini atau diperlukan,” ujar Prof Ong.

Dr Tan pula berkata Encik Goh perlu berusaha dengan lebih gigih lagi untuk dikenali oleh warga, jika beliau hendak mendapatkan sokongan yang lebih padu.

“Tidak ramai yang mengenali siapa beliau sehinggalah beliau memutuskan untuk bertanding bagi jawatan Presiden,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >