Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ada 'peluang' di sebalik 'cabaran' 2023

Pengalaman atasi cabaran Covid sebelum ini perkukuh keupayaan warga, peniaga, kata pemimpin, pengamat
Jan 02, 2023 | 05:30 AM



SEDANG Singapura harus bersedia menghadapi 2023 yang mencabar, namun rakyat mampu mengharunginya bersama dengan kekal bersatu padu dan bersiap-sedia merebut peluang yang timbul di tengah-tengah keadaan yang mencabar ini.



Berkata demikian, para pengamat dan pemimpin masyarakat berpendapat, dari sudut pengurusan pandemik, warga boleh mengambil semangat daripada cara negara ini menangani serta bangkit lebih kukuh daripada Covid-19.



Justeru, meskipun terdapat ancaman gelombang baru dek jangkitan yang meningkat di China, negara ini boleh tetap yakin pengalaman menangani pandemik sepanjang lebih dua tahun lalu serta kadar imunisasi tinggi boleh membantu Singapura mengatasinya.



Selain cabaran pandemik, warga juga perlu bersedia dengan kesan daripada ketidaktentuan global khususnya perang di Ukraine serta sengketa antara China dan Amerika Syarikat.



Dalam mesej Tahun Barunya, Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong berkata perkembangan global boleh menjejas ekonomi negara.



Diminta mengulas, Anggota Jawatankuasa Parlimen (GPC) Tenaga Manusia, Encik Sharael Taha, menerangkan di tengah-tengah keadaan ekonomi yang mendung itu, pekerja harus bersedia meningkatkan kemahiran, atau meraih kemahiran baru.



"Syarikat seluruh dunia sedang mencari tempat yang selamat dan stabil untuk melabur dan mengembangkan perniagaan, dan Singapura adalah tempat yang memenuhi kriteria itu dengan syarat kita kekal terbuka dan terus menunjukkan kestabilan dan daya tahan kepada dunia.



"Ini akan membawa pekerjaan yang baik ke sini dan kita harus melengkapkan diri dengan kemahiran, terutamanya dalam industri pertumbuhan.



"Dengan sekitar 60 peratus rakyat Singapura berperanan PMET yang boleh dilakukan di mana-mana saja di dunia, kita harus memikirkan - apakah nilai tambah kita supaya syarikat kekal di Singapura, di mana peluang industri, dan apakah jurang kemahiran atau latihan yang diperlukan," kata beliau, yang juga Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol.



AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat pula berkata, pemerintah telah menyediakan sokongan komprehensif membantu rakyat menangani kos sara hidup.



"Prospek pertumbuhan global mungkin lemah. Singapura, yang sangat bergantung kepada pertumbuhan Amerika, China, Eropah dan serantau, akan terjejas.



"Pada masa yang sama, inflasi yang tidak menentu akan berlarutan pada 2023 dan risiko Covid-19 berpotensi memburuk dan membawa kepada risiko sekatan tertentu boleh menjejas pertumbuhan.



"Oleh itu, penting bagi masyarakat bersedia menghadapi kelembapan ekonomi dan berhati-hati dalam perbelanjaan," ujarnya.



Keadaan ekonomi tersebut, yang menjejas kos sara hidup dan perbelanjaan seharian telah dirasakan, seperti keluarga Cik Nadirah Bivi Mohamed Kassiah, 34 tahun.



Sebelum pandemik melanda, $100 yang dibelanjakan beliau di pasar dapat mengisi perutnya dan lima anaknya selama lebih dua minggu. Kini, $100 yang sama hanya dapat memenuhi keperluan keluarganya selama tempoh kurang seminggu.



Beliau yang merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya, bekerja sambilan sebagai pegawai keselamatan dan membawa pulang sekitar $300 dengan bekerja tiga hari seminggu.



"Sebelum Covid-19, bila saya ke pasar, $100 saya dapat beli ikan, daging, ayam dan makanan beku seperti hotdog, bebola ikan dan bahan mentah lain, dan ini dapat bertahan selama lebih dua minggu.



"Tapi sekarang, dengan $100 itu saya boleh dapat hanya setengah daripada apa yang saya selalu beli, dan selepas seminggu saya perlu ke pasar lagi," katanya.



Kos sara hidup yang semakin tinggi, dek inflasi dan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), antara lain, dilihat sebagai antara cabaran utama yang perlu dihadapi warga Singapura tahun ini.



Bagi membantu, pemerintah menawarkan pakej sokongan bernilai $1.5 bilion.



Kos yang meningkat, turut meletakkan tekanan ke atas perniagaan.



Sebelum sempat menghela nafas lega setelah perniagaanya bangkit semula dari kesan pandemik, pemilik syarikat Os Bagus Foodstuff, Encik Abdul Kadir Abdul Hamid kini dalam proses menyesuaikan strategi perniagaan agar mampu menakat.



"Dengan kenaikan sewa, utiliti, tenaga kerja, cukai hartanah dan juga kenaikan GST, kami sedang pertimbangkan untuk menaikkan harga sewajarnya," ujarnya.



Dalam pada itu, warga Singapura juga perlu mengubah pemikiran bagi menyesuaikan diri dan perbelanjaan keluarga supaya dapat bertahan dalam keadaan inflasi, menurut Profesor Madya Divisyen Ekonomi di Universiti Teknologi Nanyang Singapura, Dr Chua Yeow Hwee.



"Salah satu langkah yang boleh kita ambil adalah untuk mengubah jenis produk yang dibeli atau digunakan tanpa menjejas mutu kehidupan kita," katanya kepada BH, sambil menambah biasanya harga tidak menentukan mutu produk tersebut.




 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >