Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kisah benar pembunuhan kejam Vina ‘menghantui’, desak keadilan

Jun 1, 2024 | 5:30 AM
Filem seram, ‘Vina: Sebelum 7 Hari’, adalah kerja seni yang unik kerana ia berdasarkan kisah sebenar pembunuhan kejam, Vina Dewi Arsita, di Cirebon pada 2016, yang sehingga kini, belum menemui jalan penyelesaian.
Filem seram, ‘Vina: Sebelum 7 Hari’, adalah kerja seni yang unik kerana ia berdasarkan kisah sebenar pembunuhan kejam, Vina Dewi Arsita, di Cirebon pada 2016, yang sehingga kini, belum menemui jalan penyelesaian. - Foto ANTENNA ENTERTAINMENTS SDN BHD

Setiap kali menonton filem seram Indonesia, saya akan mengurangkan jangkaan.

Ini kerana sejak akhir-akhir ini, tidak banyak filem seram dari negara jiran itu yang bermutu tinggi dan dapat meninggalkan kesan yang betul-betul menyeramkan.

Lainlah pada era 1970-an dan 1980-an, filem seram silam Indonesia seperti, Sundel Bolong dan Penangkal Ilmu Teluh, disebut-sebut sebagai karya yang mampu membuat anda bermimpi ngeri selepas itu dek lakonan realistik Suzanna dan Debbie Cynthia Dewi.

Namun, filem seram Indonesia terkini yang ditayangkan di pawagam Golden Village, Vina: Sebelum 7 Hari, meninggalkan kesan yang ‘menghantui’ sehingga membuatkan anda terasa sedih bercampur marah.

Filem arahan, Anggy Umbara, ini berdasarkan kisah sebenar kes pembunuhan remaja bernama, Vina Dewi Arsita,16 tahun, yang juga seorang ratu cantik, di Jambatan Talun, Cirebon pada 2016.

Vina diperkosa dan dibunuh secara kejam oleh sekumpulan 11 anggota skuad motosikal liar.

Lebih mengerikan lagi, tubuh Vina digilis motosikal beberapa kali sehingga patah tangan dan kakinya serta wujud banyak luka kecederaan yang menakutkan.

Kecederaan itu dipandang mata sewaktu jenazahnya dimandikan beberapa orang termasuk neneknya.

Teman lelakinya, yang dikenali sebagai Eky, turut dibunuh anggota skuad motosikal itu dengan kejam.

Lapan daripada 11 pembunuh dan perogol Vina sudah diberkas, dengan tujuh daripadanya dihukum penjara seumur hidup manakala yang seorang lagi dipenjara lapan tahun.

Namun, sewaktu penggambaran filem dibuat, tiga orang termasuk ketua skuad yang dikenali sebagai Egi, dikatakan masih belum ditemui polis meskipun kejadian itu sudah lapan tahun berlalu.

Hanya selepas filem ini ditayangkan di Indonesia pada 8 Mei, Pegi Setiawan, 30 tahun, yang didakwa sebagai dalang bernama Egi, diberkas dengan siasatan kini masih dijalankan ke atas kes itu.

Dua lagi suspek, Andi dan Dani, masih belum ditangkap.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa kisah sebenar itu dijadikan filem seram sedangkan ia lebih condong pada kisah jenayah dan kecelakaan.

Namun, apa yang menarik dan berlaku di alam nyata adalah bagaimana roh Vina yang tidak tenang kerana kesnya disalah anggap hanya sebagai satu kemalangan jalan raya mampu ‘bangkit’ menceritakan segalanya setelah merasuki temannya, Linda, dalam beberapa kejadian.

Malahan, suara Linda yang kerasukan itu dirakam kakak Vina sebagai bukti untuk membantu siasatan lanjut pihak polis.

Ia menceritakan apa yang sebenarnya terjadi kepada dirinya pada malam tersebut di kala dia sedang bergegas pulang ke rumah untuk membantu neneknya.

Rakaman sebenar luahan rasa dan penceritaan Vina itu tular di YouTube bahkan digunakan sebagai sisipan audio sewaktu kredit filem itu ditayangkan pada penghujung filem, Vina: Sebelum 7 Hari.

Bagi memastikan siasatan dapat dikendalikan dengan lancar berbekal bukti rakaman audio, keluarganya diminta kebenaran mengizinkan polis dan pakar forensik menggali semula pusaranya.

Mereka ingin mencari contoh DNA penjenayah yang ada pada tubuh jenazah.

Di saat proses penggalian kubur itu, roh Vina merasuki Linda sekali lagi dan meminta agar dibuka pendakap gigi, sambungan rambut (yang dilakukan di salun) dan kanta matanya kerana tiga barangan yang dipercayai mengubah penampilan zahirnya yang dikurniakan Tuhan dikatakan menghalangnya daripada melintasi pintu di alam barzakh.

Filem ini lebih daripada setakat genre seram. Ada beberapa perkara yang disentuh tentang bagaimana kecantikan Vina itu membawa pada kedengkian teman lain sehingga dia dibuli di sekolah.

Lelaki seperti anak orang kaya, Egi, pula menaruh perasaan terhadapnya meskipun tahu Vina sudah berpunya.

Perbuatannya memperkosa dan membunuh Vina didorong daripada keinginan membalas dendam apabila Vina menolak cintanya malahan meludahnya ketika Egi cuba melakukan kekerasan kepadanya.

Mengapa Egi selama ini sukar ditangkap? Daripada filem ini, ia memberi gambaran bahawa pemuda itu merupakan anak pegawai polis berjawatan tinggi yang berusaha memastikan anaknya tidak didakwa di mahkamah dan dapat bebas daripada keadilan.

Saya harus puji lakonan Nayla D. Purnama selaku Vina yang teruk diseksa pada penghujung nyawanya dan Gisellma Firmansyah sebagai Linda yang teruk dirasuki.

Fahad Haydra sebagai pembunuh kejam tidak berhati perut, Egi, juga meyakinkan.

Pelakon veteran, Lydia Kandou, yang menjadi nenek Vina, juga tidak mengecewakan dengan garapan emosinya yang merentap tangkai hati penonton.

Filem seram ini unik. Penonton terfikir tentang bagaimana fakta kejadian boleh diubah-ubah sesuka hati untuk mengelakkan hukuman, bagaimana pencipta kandungan laman seram seperti Dani (lakonan Imran Ismail) juga boleh menolong polis.

Kerana filem ini bagaikan memberi tekanan kepada pihak berkuasa Indonesia agar segera menyelesaikan kes ini, ia juga bukti kerja seni ada peranan penting dan tersendiri dalam menegakkan keadilan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg