Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Basikal jadi penyelamat daripada dadah

Aug 19, 2022 | 05:30 AM



APA yang telah menyelamatkan Encik Zambri Othman daripada tabiat yang bakal merosakkan hidupnya sekali lagi adalah basikalnya.



Sekurang-kurangnya sekali setiap minggu, bekas pesalah dan penagih dadah berusia 43 tahun itu, akan mengayuh basikal berbentuk fatbike berseorangan atau bersama temannya daripada kumpulan Fatriders Singapura sebagai satu cara untuk mengganggu mindanya daripada memikirkan tentang dadah.



Kumpulan basikal itu yang ditubuhkan pada 2015, mempunyai lebih 200 peserta di Facebook, dan selain mengayuh keliling pulau berkumpulan, Encik Zambri juga kemaruk membeli-belah dalam talian mencari kelengkapan terkini bagi basikal Specialized Fatboynya itu.



Menurutnya, mempunyai hobi atau kegiatan yang mengisi ruang fikiran dan masa lapang penting kerana ia mengurangkan tekanan dan juga mengganggunya daripada memikirkan tentang dadah.



Menyentuh tentang cabaran mengekalkan diri bersih dari dadah, bapa tiga anak itu berkata terus terang kepada wartawan baru-baru ini:



"Walau ada pekerjaan baik sama sekalipun, atau pun mempunyai keluarga, ia tidak cukup sebagai satu alasan kami (bekas penagih) jauhi dadah."



Meskipun bebas dari penjara pada 2011, Encik Zambri hanya bebas daripada dadah pada 2016.



Isu rumah tangga dan pekerjaan, menurutnya juga mendatangkan tekanan bagi individu yang dianggapnya sebagai "sentiasa berada dalam pemulihan sepanjang hayat."



Dan lantaran itu, menurut Encik Zambri, sebarang tekanan - biarpun kecil - boleh menyebabkan bekas penagih terdorong menelefon teman lama dan bertanya: "Eh, kau ada barang (dadah) tak?"



Encik Zambri, kini seorang pelajar kejururawatan Politeknik Ngee Ann, berkata meskipun keluar dari penjara pada 2011, satu peristiwa membuatnya murung beberapa bulan kemudian membuatnya jatuh semula kepada dadah hingga 2016.



Sebelum itu, beliau keluar masuk penjara sebanyak tujuh kali sejak tersingkir dari sekolah pada usia 16 tahun hingga usia 32 tahun atas beberapa kesalahan. Beliau seorang penagih heroin sejak usia 12 tahun.



Encik Zambri enggan memberitahu apa terjadi kepadanya selepas bebas dari penjara itu, namun hidupnya digelar "sengsara" kerana bergelut dengan ketagihan sepanjang lima tahun.



Apa yang menyelamatkannya kemudian, katanya, adalah menyertai sukan bina badan, dan juga menjadi seorang pemimpin Peer bersama Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana) selain mendapat bantuan profesional bagi mengawal ketagihannya.



Pemimpin Peer itu merujuk kepada program kaunseling secara berkumpulan di Sana bagi bekas penagih berkongsi dan memberi sokongan kepada satu sama lain.



Namun itu tidak bermakna beliau bebas daripada nafsu mengambil dadah, dedah Encik Zambri yang pada ketika itu bertugas sebagai penolong jagaan kesihatan di sebuah hospital dan baru sahaja membina rumah tangga.



"Ada hari yang saya tak boleh tidur... Kadang saya duduk sepanjang malam dalam tandas kerana saya tak boleh kawal nafsu saya.



"Namun apabila saya mula bodybuilding di gimnasium, ia mengganggu fikiran saya daripada memikirkan tentang dadah lagi," katanya, sambil menunjukkan gambar badannya yang masih 'sado' enam tahun lalu.



Disebabkan keputusannya untuk kembali belajar, lantas memotong sumber pendapatannya buat sementara pada 2019, Encik Zambri berkata beliau terpaksa berhenti daripada sukan bina badan itu.



Apabila itu terjadi, Encik Zambri berkata beliau mula gelisah.



"Setiap hari saya berhitung. Saya pergi sekolah dan bekerja dalam lapan jam. Balik rumah ada dua jam bersama anak. Kemudian ada lagi tiga jam sebelum tidur," katanya



"Apa yang saya nak buat dalam tiga jam itu?"



Oleh itu Encik Zambri memutuskan mencari kegiatan baru dan menyertai kumpulan berbasikal Singapura Fatriders pada 2019 - sebuah kegiatan yang seolah menyelamatkan dirinya daripada terjatuh kepada dadah lagi.



"Kadang kalau saya tak pergi touring pun, saya duduk di rumah tengok skrin komputer untuk fikirkan apa alat baru yang boleh saya pasang pada basikal saya," katanya.



Sebagai pemimpin Peer juga, Encik Zambri mempengaruhi rakannya menyertai kegiatan sihat seperti berbasikal untuk mengisi masa lapang mereka.



Encik Zambri juga akan mengayuh esok bagi acara Cycle for A Good Cause 2022, anjuran Sana dari Spooner Road hingga tapak Stesen Keretapi Bukit Timah untuk menyokong usaha mengumpul dana Sana.



Encik Zambri berkata: "Hidup seorang bekas penagih itu umpama berada dalam sebuah lubang di mana mereka sentiasa ditarik jatuh ke dalamnya.



"Kami harus sentiasa mempunyai sokongan yang kuat untuk menarik kami dari atas supaya dapat keluar dari lubang itu, dan antaranya ialah menerusi teman-teman dan kumpulan minat yang memotivasi kami untuk sentiasa memperbaiki diri kami."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >