Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Asatizah perlu di barisan hadapan fahami kerumitan, bimbing masyarakat: Mufti

May 10, 2023 | 05:30 AM



ASATIZAH mesti berada di barisan hadapan dalam memahami kerumitan cabaran masyarakat untuk memberi bimbingan agama yang mantap dan berkesan kepada masyarakat Islam di Singapura.



Untuk memenuhi peranan penting itu, mereka perlu terus memperkukuh kekuatan rohani mereka, dan mendalami keupayaan intelek dan pemikiran mereka untuk mengatasi isu mencabar, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.



Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucap tama sempena majlis tahunan sambutan Hari Raya Asatizah bersama Mufti di Kelab Temasek pada 5 Mei. Majlis dihadiri sekitar 350 pemimpin kanan agama dan asatizah.



Dalam ucapannya, Dr Nazirudin berkata: "Asatizah sebagai golongan yang terdidik dalam bidang agama seharusnya berada di barisan paling depan dalam memahami kompleksiti dan kerumitan.



"Isu-isu yang dihadapi, khusus tatkala berlaku peralihan ataupun perubahan dalam masyarakat, bukan isu-isu yang mudah.



"Ia terkait dengan pelbagai dimensi - ada dimensi akidah, akhlak, hukum fiqh, sosial, sejarah dan tradisi, sains dan teknologi, undang-undang, pemerintahan dan pentadbiran negara, antarabangsa dan sebagainya.



"Amanah ilmiah menuntut agar kita bincangkan dan pertimbangkan isu yang dihadapi dari pelbagai sudut sebelum kita mendidik dan mentarbiyah masyarakat."



Dr Nazirudin mengakui cabaran semasa bukan sahaja berkaitan dengan penyampaian asas agama, tetapi bagaimana ajaran tersebut disampaikan dalam suasana berlainan dan mencabar hari ini.



Beliau menekankan kepentingan konteks dan kenyataan semasa tidak boleh diasingkan daripada perbincangan penyelesaian.



Beliau memberi contoh tempoh pandemik Covid-19.



"Jika sewaktu kita mengalami pandemik, kita hanya memberi fokus kepada aspek hukum dan tradisi fiqh sahaja, tanpa mempertimbangkan aspek sains perubatan ataupun impak dan kesan sosial, pastinya kita akan tersilap, sebab fiqh tradisi tidak dibangunkan dalam suasana dan krisis serupa dengan apa yang kita hadapi.



"Persoalan yang dihadapi adalah berbeza. Di antara pengajaran krisis tersebut adalah keindahan dan kesyumulan agama, bahawa ibadat tidak terpisah dari nilai dan prinsip sama sekali.



"Ada aspek kerohanian individu bersama Tuhannya, dan ada juga hak terhadap sesama makhluk," jelasnya.



Pada masa sama, Dr Nazirudin menyifatkan kepimpinan agama yang berkesan oleh pemimpin agama kanan mapan tempatan adalah disebabkan pemahaman mendalam mereka tentang konteks Singapura dan perbincangan mengenai kerumitan pelbagai isu.



Kualiti keberanian dan keyakinan mereka juga dipuji kerana mereka memastikan penyediaan bimbingan yang baik dan berkesan buat masyarakat.



Beliau juga berkata institusi asatizah di sini perlu terus diperkukuh, di samping Pejabat Mufti dan institusi fatwa.



Selain itu, beliau turut memuji beberapa asatizah yang telah menunjukkan komitmen dalam membangunkan kemahiran dan pengetahuan mereka.



Ini termasuk asatizah yang baru sahaja menamatkan kursus PhD mereka, iaitu Ustazah Dr Siti Nur 'Alaniah Abdul Wahid; Ustaz Dr Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff; dan Ustaz Dr Izal Mustafa.



Ustaz Irwan Hadi juga diiktiraf sebagai asatizah pertama di Singapura yang menamatkan pengajian possiswazah undang-undang (Juris Doctor), sekali gus mempunyai kelayakan guaman yang sempurna.




"Isu-isu yang dihadapi, khusus tatkala berlaku peralihan ataupun perubahan dalam masyarakat, bukan isu-isu yang mudah.

Ia terkait dengan pelbagai dimensi - ada dimensi akidah, akhlak, hukum fiqh, sosial, sejarah dan tradisi, sains dan teknologi, undang-undang, pemerintahan dan pentadbiran negara, antarabangsa dan sebagainya.

Amanah ilmiah menuntut agar kita bincangkan dan pertimbangkan isu yang dihadapi dari pelbagai sudut sebelum kita mendidik dan mentarbiyah masyarakat.''

- Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >