Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA/RENCANA

Buku dihasil jejak asal usul masyarakat Bugis S’pura

Aug 08, 2023 | 12:27 PM



Sebuah model kapal dagang di Victoria Street, tepatnya di luar pusat beli-belah Bugis Junction, mencetuskan minat perunding kejuruteraan, Encik Sarafian Salleh, untuk menjejaki asal usulnya.

Kapal yang dikenali sebagai Pinisi itu memberi penghormatan kepada masyarakat pelaut Bugis yang sanggup meredah gelombang untuk sampai ke kawasan itu pada abad ke-19.

Walaupun terdapat beberapa tempat di Singapura yang dinamakan sempena Bugis – termasuk Jalan Bugis, Persimpangan Bugis, Kampung Bugis dan stesen MRT Bugis – kapal itu merupakan salah satu daripada beberapa peringatan fizikal mengenai sumbangan masyarakat Bugis kepada Singapura, kata Encik Sarafian.


“Hanya segelintir rakyat Singapura yang sedar tentang siapa sebenarnya orang Bugis sebagai rakyat, identiti etnik dan budaya mereka. Namun, ramai yang tahu Bugis adalah pelaut yang mahir dari Sulawesi,” katanya.


Menurut laporan The Straits Times, untuk mendidik lebih ramai orang di sini tentang Bugis, warga Singapura berusia 53 tahun itu, yang juga seorang penyelidik warisan, memutuskan untuk menulis sebuah buku berbahasa Inggeris bertajuk Tuah Bugis – Chronicles Of The Seafaring People Of Singapore, yang menjejaki sejarah pelaut yang tabah dari Sulawesi, Indonesia.


Orang Bugis di Singapura rata-rata telah diasimilasikan ke dalam masyarakat Melayu di sini, tetapi mereka masih mengekalkan budaya dan warisan mereka yang unik seperti pakaian tradisional Sarong Bugis, bahasa Bugis dan makanan seperti coto (soto) makassar ataupun sup daging lembu.


Encik Sarafian menganggarkan terdapat sekitar 4,000 orang keturunan Bugis di Singapura, termasuk personaliti terkenal seperti pemenang Singapore Idol, Hady Mirza.


Pedagang Bugis memainkan peranan penting dalam rangkaian perdagangan serantau, yang menghubungkan pelbagai bahagian Asia Tenggara.


Mereka secara beramai-ramai mula tiba di Singapura sejurus selepas British bertapak di sini pada 1819. Mereka tertarik dengan kegiatan perdagangan dan peluang perniagaan yang terbuka ketika itu.


Orang Bugis telah melabur dalam hartanah dan menubuhkan sebuah bandar Bugis di Singapura yang terbentang dari Kampong Gelam hingga ke Sungai Rochor.


Menjelang 1824, terdapat sekitar 1,851 orang keturunan Bugis di Singapura, membentuk sekitar 10 peratus daripada penduduk ketika itu.


Dibawa oleh hembusan angin monsun, kapal-kapal Bugis akan datang dalam jumlah ratusan dari Julai hingga November, membawa bersama mereka kopi, cendana, kulit kura-kura, buah pala, kapur barus, kemenyan dan kapas ke Singapura sebagai pertukaran dengan barangan seperti timah dan linen.


Memandangkan kegiatan maritim mereka yang luas, orang Bugis terlibat dalam pembinaan dan pembaikan kapal dan terkenal dengan kapal mereka yang laju dan kukuh, seperti Pinisi.


Tuah Bugis – Chronicles Of The Seafaring People Of Singapore, yang disokong oleh Persatuan Genealogi Singapura (GSS), merupakan hasil penulisan yang menjangkau 15 tahun. Encik Sarafian mengambil masa meyakinkan masyarakat Bugis untuk berkongsi cerita peribadi mereka untuk dibukukan.


“Penglibatan beberapa tahun dengan masyarakat menyaksikan keluarga keturunan Bugis menyedari faedah berkongsi cerita mereka kerana ia mengumpul pengetahuan tentang warisan tempatan dan mempromosikan hubungan kekeluargaan,” katanya.


“Apabila seseorang menyusun cerita ini, mereka secara beransur-ansur melengkapkan fabrik sosial negara kita,” tambahnya.


Selepas bertemu mereka menerusi acara jalan warisan dan di kuliah umum, persahabatan terjalin, kepercayaan diperoleh dan cerita mengalir.


Encik Sarafian, yang juga Presiden Persatuan Melayu Bugis (Singapura), telah menganjurkan acara berjalan kaki warisan sejak 2013, menyampaikan ceramah mengenai warisan Bugis dan mengendalikan pameran Bugis yang dianjurkan oleh Pusat Warisan Melayu pada 2017.


Beliau juga mengasaskan kumpulan Facebook Bugis Temasek pada 2008, yang kini mempunyai lebih 4,000 anggota.


Buku ini berusaha untuk menarik minat pembaca dengan kisah tipu daya dan pengembaraan Bugis yang menjangkau beberapa abad serta sumbangan mereka kepada pembangunan Singapura.


Encik Sarafian bercadang untuk menterjemah buku setebal 270 halaman itu ke dalam bahasa Melayu untuk pembaca di seluruh rantau ini.


Presiden GSS, Encik Ng Yew Kang, berkata bahawa penerbitan buku itu akan memupuk pemahaman dan penghargaan antara budaya untuk pemuliharaan warisan.


“Ia adalah kisah yang akan bergema dengan ramai warga Singapura yang nenek moyang mereka datang dari pelbagai negara sebagai pendatang tetapi memulakan kehidupan dan akhirnya membina sebuah negara,” tambahnya.


Tuah Bugis – Chronicles of the Seafaring People of Singapore boleh dibeli daripada GSS di laman http://bugistemasek.blogspot.com/ atau mysgheritage@gmail.com.


Harga prapesanan termasuk GST adalah $35. Ia akan dijual pada harga $38 (termasuk GST) selepas pelancaran pada 13 Ogos.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >