Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Harga flat jualan semula HDB naik 21 bulan berturut-turut

Apr 08, 2022 | 05:30 AM



HARGA flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) naik 21 bulan berturut-turut bulan lalu, dengan jumlah unit yang dijual turut bertambah selepas berkurangan bagi Februari.



Satu unit lima bilik di Pinnacle @ Duxton bertukar tangan bulan lalu pada harga rekod $1,388,888, membuatkannya harga tertinggi yang dicapai bagi flat jualan semula.



Harga flat jualan semula HDB naik 0.7 peratus bulan lalu, lebih tinggi berbanding kenaikan 0.6 peratus pada Februari lalu, menurut perangkaan awal portal hartanah 99.co dan SRX semalam.



Menurut perangkaan, harga flat jualan semula HDB meningkat 12 peratus berbanding Mac tahun lalu.



Kenaikan harga ini melibatkan flat di estet matang dan bukan matang, dengan harga unit tiga bilik melonjak paling tinggi sebanyak 1.4 peratus.



Sementara itu, harga unit lima bilik susut 0.1 peratus.



Dalam pada itu, bilangan flat jualan semula pula bertambah 19.2 peratus, dengan sekitar 2,269 unit dianggarkan bertukar tangan bulan lalu.



Jumlah itu lebih tinggi berbanding 1,904 unit yang bertukar tangan pada Februari.



Bulan lalu, 27 flat jualan semula HDB bertukar tangan pada harga sekurang-kurangnya $1 juta, berbanding 29 flat pada Februari.



Antaranya termasuk tujuh flat di Toa Payoh, empat flat di Bishan, empat flat di kawasan bandar dan tiga flat di Queenstown.



Sebanyak 27 flat yang dijual pada harga sekurang-kurangnya $1 juta itu membentuk 1.2 peratus daripada semua flat yang bertukar tangan bulan lalu.



Unit di Pinnacle @ Duxton di Cantonment Road yang bertukar tangan pada paras rekod bulan lalu dijual pada harga $1,388,888, lebih tinggi berbanding rekod sebelum ini, iaitu sebuah unit Skim Reka, Bina dan Jual (DBSS) di Natura Loft di Bishan, yang dijual pada harga $1.36 juta Disember lalu.



Sebanyak 83 flat jualan semula dijual pada harga sekurang-kurangnya $1 juta sepanjang suku pertama tahun ini, lebih banyak berbanding 53 unit yang dijual pada harga itu pada suku pertama tahun lalu, menurut ketua penyelidikan dan kandungan PropNex Realty, Cik Wong Siew Ying.



Penganalisis hartanah berkata pelonggaran langkah pengurusan selamat bulan lalu juga merangsang urus niaga flat jualan semula HDB.



Naib presiden kanan penyelidikan dan analitik firma hartanah OrangeTee & Tie, Cik Christine Sun, berkata jumlah mereka yang membuat janji temu untuk berkunjung ke flat yang sedang dipasarkan untuk dijual bertambah bulan lalu.



Ini mungkin menyebabkan lebih banyak unit berjaya dijual.



"Sedang Singapura beralih ke arah kehidupan biasa dan lebih banyak sektor dijangka pulih, permintaan bagi flat jualan semula dijangka terus naik sejajar dengan pelonggaran lebih banyak langkah pengurusan selamat masyarakat dan peningkatan pekerja asing dalam pelbagai sektor," ujar Cik Sun.



Ketua eksekutif Huttons Asia, Encik Mark Yip, berkata permintaan bagi flat HDB kekal kukuh bulan lalu, dengan permintaan melebihi bekalan.



"Masih terdapat banyak kes di mana flat jualan semula dijual pada hari pertama ia dikunjungi bakal pembeli," ujarnya.



Namun, Cik Wong menarik perhatian bahawa harga flat jualan semula bagi flat lima bilik merosot bulan lalu.



"Ini mungkin menunjukkan sedikit tentangan terhadap harga yang ditetapkan di tengah-tengah harga flat HDB jualan semula yang kukuh tahun lalu dan sedang pembeli mempertimbang ketidakpastian yang kian bertambah akibat perang di Ukraine dan kos inflasi yang meningkat," katanya.



BERITA




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >