Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jemaah sambut baik Masjid Khalid kini lebih luas, lebih selesa

Jan 14, 2023 | 05:30 AM



SELEPAS lebih tiga tahun menunggu, jemaah Masjid Khalid di Joo Chiat akhirnya dapat kembali ke masjid itu yang baru dinaik taraf dan dilengkapi dewan solat yang diperluas serta bangunan empat tingkat baru bagi menyokong kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan.



Masjid di Onan Road yang berusia lebih satu abad itu mula beroperasi sejak Rabu lalu kini berupaya menampung 1,750 jemaah berbanding 1,000 sebelum ini.



Ia diwakafkan Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, yang turut memimpin solat Jumaat semalam.



Berbanding sebelumnya, Masjid Khalid kini dilengkapi bangunan tambahan, atau 'Annex' empat tingkat yang menawarkan sebuah ruang acara, auditorium dan enam bilik darjah serba guna.



Bangunan dewan solat asal masjid dibina pada 1917 itu tetap dikekalkan, dengan satu lagi aras dewan solat telah dibina di atasnya yang berupaya menampung sekitar 240 jemaah.



Seluruh masjid pula dilengkapi pelbagai ciri kemudahan mesra pengguna, terutamanya warga emas dan kurang upaya, seperti lif di Annex, tandas mesra pengguna kerusi roda selain laluan tanpa hadangan.



Dalam tazkirahnya, Dr Nazirudin berkata, kawasan di sekeliling ruang iktikaf turut memainkan peranan penting dalam menawarkan khidmat kepada jemaah termasuk urusan ibadah dan juga sosial.



"Masjid-masjid kita pada zaman ini mempunyai banyak tujuan dan peranan lebih luas. Tempat untuk belajar, madrasah, untuk mendapatkan perkhidmatan sosial dan keagamaan dan untuk perhimpunan masyarakat secara am.



"Maka bentuk dan ruang-ruang masjid pada masa kehidupan kita saat ini perlu mengambil kira keperluan yang pelbagai dan berbeza," katanya merujuk kepada kemudahan tersebut.



"Dengan izin dan rahmat Allah, kerja-kerja peningkatan dan membaik pulih Masjid Khalid yang sangat disayangi ini telah pun selamat disempurnakan dan ruang-ruang solatnya pada hari ini kini kembali penuh," katanya.



Masjid Khalid telah ditutup ketika kerja naik taraf dijalankan akibat pandemik Covid-19.



Kerja naik taraf masjid itu dilancar Presiden Halimah Yacob pada Julai 2019 sempena Cabaran Presiden Beriani Amal - acara pengumpulan dana tahunan masjid itu.



Projek itu membabitkan kos sebanyak $7.5 juta, disokong derma oleh masyarakat dan $1 juta oleh Dana Pembangunan Masjid dan Mendaki.



Sementara kerja naik taraf dijalankan, sebuah masjid sementara ditempatkan di Onan Road telah disediakan yang berupaya menampung sehingga 800 jemaah.



Pengerusi masjid, Encik Allaudin Mohamed, berkata kerja naik taraf sudah hampir sepenuhnya siap.



"Hanya terdapat kerja-kerja kecil dan mengemas sahaja, termasuk menanam beberapa pohon di bumbung," katanya.



Dalam ucapannya, beliau berharap Masjid Khalid dapat kekal menjadi sebuah "ikon dan mercu tanda utama di kawasan orang Melayu Geylang Serai."



Pelaksanaan sembahyang Jumaat turut lancar, namun pihak masjid telah menetapkan sistem tempahan bagi jemaah sebelum dibenarkan masuk kerana ia merupakan pembukaan pertamanya bagi kedatangan jemaah yang ramai.



Salah seorang jemaah, Encik Abdullah Yusof Ibrahim, 62 tahun, berkata beliau menyambut baik pembukaan semula Masjid Khalid yang lebih selesa.



Lebih-lebih lagi menjelang Ramadan tahun ini yang dijangka menawarkan lebih banyak kegiatan tanpa sekatan pandemik, daripada bazar serta solat terawih seperti tahun-tahun yang lalu.



Laporan lanjut: Budaya, tradisi dan warisan Masjid Khalid 'baru' akan dikekalkan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >