Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Karyawan SMRT dinobat Jauhari 2023

Mula kerjaya sebagai jurutera penyelenggaraan, Shahrin Abdol Salam kini bertanggungjawab atas operasi, penyelenggaraan dan integrasi projek laluan TEL selain terlibat dalam beberapa projek antarabangsa lain
Nov 03, 2023 | 09:30 PM



Pengarah Urusan SMRT Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan Naib Presiden Kanan (Hubungan Strategik) SMRT Corporation, Encik Shahrin Abdol Salam, telah dinobat sebagai Jauhari Berita Harian 2023.

Encik Shahrin menerima anugerah tersebut dalam satu majlis penyampaian Anugerah Jauhari Berita Harian yang diadakan di Four Seasons Hotel Singapore pada Jumaat dengan sokongan penyampai, FairPrice Group.

Diadakan buat kali ke-25 tahun ini, anugerah tersebut mengiktiraf sumbangan cemerlang karyawan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Ia meraikan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing termasuk pendidikan, perniagaan, seni dan budaya, sukan atau sains kemasyarakatan.

Encik Shahrin, 50 tahun, memulakan kerjayanya sebagai jurutera penyelenggaraan dengan SMRT pada 1997, dan kini mengetuai dan menguruskan seramai 1,200 kakitangan dan bertanggungjawab atas operasi, penyelenggaraan dan integrasi projek laluan MRT terbaru Singapura iaitu TEL.

Selain itu, beliau juga terlibat dalam beberapa projek antarabangsa terkemuka termasuk Projek Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan penting bukan sahaja di Singapura, malah juga di luar negara.

Bakat muda penyanyi serta penggubah lagu, Shazza atau nama asalnya, Shareefa Aminah Abdul Shariff, 22 tahun, pula diiktiraf Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2023.

Bermula sebagai belia yang memuat naik rakaman video menyanyikan lagu orang lain dan beberapa lagu ciptaannya sendiri di YouTube beberapa tahun lalu, Shazza baru-baru kini muncul sebagai artis wanita Singapura yang dipaparkan di papan iklan Times Square yang ikonik di New York City.

Mewakili Singapura dan Malaysia, beliau juga sebahagian Kempen Equal Spotify yang menonjolkan artis wanita di wadah penstriman itu untuk memupuk kesaksamaan dalam industri muzik.


Menyentuh pencapaian kedua-dua Encik Shahrin dan Shazza dalam ucaptamanya, tetamu terhormat, Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelarasan Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, berkata, anugerah yang disampaikan bukan sahaja meraikan kejayaan mereka sebagai individu tetapi juga sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara.

“Kedua-dua pemenang menunjukkan semangat untuk mendorong orang lain. Shahrin telah mencapai kemuncak kerjayanya... tetapi beliau juga telah menggunakan kepakarannya dalam sistem rel di luar negara dan aktif dalam kedua-dua kumpulan profesional dan masyarakat, termasuk yang menyokong masyarakat Melayu/Islam.

“Shareefa telah diketengahkan dalam kempen antarabangsa yang menggalakkan kesaksamaan bagi wanita dalam industri muzik. Kami mengalu-alukan lebih banyak perkara yang hebat daripadanya pada tahun-tahun akan datang.

“Kedua-dua pemenang tahun ini dan pemenang yang lalu memberi inspirasi kepada kita dengan kejayaan mereka, tetapi juga komitmen mereka untuk mendorong orang lain,” kata Encik Teo.

Beliau menambah, kepelbagaian dan mutu pemenang Anugerah Jauhari dan Jauhari Harapan saban tahun mencerminkan kemajuan membanggakan masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Berkongsi pandangan serupa, Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar, dalam ucapannya berkata:

“Lebih ramai penerima Anugerah Jauhari dan Jauhari Harapan kini datang daripada latar belakang berbeza. Penerima tahun ini tidak terkecuali.

“Ini sekali gus mencerminkan bakat masyarakat kita yang semakin berkembang. Ini merupakan satu trend yang baik dan membuktikan kesediaan masyarakat untuk meneroka bidang baru dan meluaskan potensi mereka.

“Sama penting, penerima anugerah bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah turut aktif menyumbang kepada masyarakat, bak kata pepatah hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa.”

Encik Shahrin dan Shazza dipilih sebagai pemenang yang layak setelah disenarai pendek daripada pencalonan awam yang dibuka antara 23 Ogos dengan 13 September 2023.

Mereka dipilih oleh panel penilai terdiri daripada Encik Nazry; mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) yang juga Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed; mantan Anggota Parlimen (AP) yang juga Profesor Madya Kelompok Perniagaan, Perhubungan dan Rekaan di Institut Teknologi Singapura (SIT) merangkap Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial SIT, Dr Intan Azura Mokhtar; Zamil Kanan yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat; serta Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Kembangan-Chai Chee yang juga Anggota Lembaga Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >