Kempen Sentuhan Ramadan dapat sambutan baik

Program kerohanian anjuran masjid, badan setempat turut disertai ramai

MUFTI Dr Mohamed Fatris Bakaram berkata beliau gembira melihat kehadiran dan penglibatan masyarakat, termasuk belia, dalam program masjid sepanjang Ramadan meningkat saban tahun.

"Setiap tahun, saya melihat iklan oleh pihak masjid (yang memaparkan) perkhemahan belia Ramadan, program menghulurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan dengan melibatkan tenaga belia dan sebagainya. Semakin tahun semakin semarak dan penglibatan belia juga semakin bertambah," ujarnya.

Dr Mohamed Fatris berkata demikian apabila diminta mengulas tentang kempen Sentuhan Ramadan tahun ini dalam wawancara eksklusif bersama Berita Harian baru-baru ini.

Sebagai contoh, beliau menarik perhatian usaha mengajak masyarakat memilih makanan lebih sihat sepanjang Ramadan dan seterusnya.

Meskipun akur tahun ini merupakan kali pertama usaha itu dijalankan dan masih banyak perkara yang perlu dipertingkat, beliau berkata kebanyakan masjid memulakan langkah awal menyediakan juadah berbuka puasa yang lebih sihat berbanding sebelum ini.

Selain itu, Dr Mohamed Fatris berkata masjid juga telah mengorak langkah mengajak masyarakat mengelak daripada pembaziran.

Misalnya, sesetengah masjid mengecilkan aliran air paip bagi keperluan wuduk dan terdapat video mendidik masyarakat mengambil wuduk tanpa menggunakan terlalu banyak air.

Beliau juga berkata masyarakat kini lebih sedar tentang usaha memperkukuh hubungan kekeluargaan.

"Ini juga tema tahun ini - Ramadan Bersama Keluarga - dan saya juga amat terangsang melihat hampir semua pengisian ceramah Ramadan di masjid tahun ini memberi tumpuan kepada pelbagai aspek kehidupan keluarga termasuk pengukuhan hubungan suami isteri, pendidikan anak, penghargaan dan penjagaan orang tua."

Selain itu, Dr Mohamed Fatris berkata keinginan masyarakat menyumbangkan kebaikan, khususnya sepanjang Ramadan, juga jelas sekali.

Contohnya, meskipun terdapat banyak pihak dan pertubuhan yang menganjurkan projek mencari dana dan memungut zakat dibahagikan kepada asnaf yang berhak menerima, pengutipan zakat oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) tetap tidak berkurangan malah bertambah.

Ini menunjukkan kesanggupan dan kesedaran masyarakat berkongsi nikmat yang mereka alami bersama golongan yang memerlukan, katanya.

Laporan lanjut:

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.