Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANUGERAH JAUHARI

Kesungguhan, kecekalan pacu Bahren ke puncak jaya

Pemenang Anugerah Jauhari rakam penghargaan peranan ibu bapa serta isteri yang titik beratkan nilai kehidupan
Nov 01, 2018 | 05:30 AM



SEMASA membesar di Kampung Tanjung Irau di kawasan Sembawang dahulu, setiap pagi, Encik Bahren Shaari akan dikejutkan oleh suara syahdu muazzin yang melaungkan azan subuh di surau bersebelahan rumahnya.



Laungan azan setiap pagi itu adalah antara kenangan yang paling meninggalkan kesan bagi beliau.



Ia mengingatkannya kepada kesungguhan arwah bapanya, Haji Shaari Haji Talib - seorang imam surau di kampung tersebut - dan ibunya, Cik Sarah Sarsan, 82 tahun, untuk memastikan Encik Bahren dan adik-beradiknya dididik dengan asas agama yang kukuh.



Justeru, semasa diwawancara Berita Harian (BH) sempena menerima Anugerah Jauhari berprestij yang disampaikan akhbar ini, Encik Bahren, 56 tahun, menegaskan kejayaannya itu bukanlah hasil bakat beliau semata-mata.



"Saya insan yang dipilih... yang berada di tempat yang betul... pada waktu yang tepat.



"Terdapat ramai lagi orang yang telah berusaha sebanyak saya dan mencapai kejayaan seperti saya. Walaupun mereka bukan ketua pegawai eksekutif (CEO) bank, mereka juga wajar diiktiraf bagi sumbangan mereka," katanya.



Sifat rendah hati Encik Bahren itu sememangnya menyerlah sepanjang wawancara dengannya, mencerminkan fitrahnya yang memeluk teguh akar di bumi meski mendaki puncak jaya tinggi ke langit.



Hakikatnya, walau sang Pencipta memainkan peranan besar dalam kejayaan setiap hamba-Nya, pencapaian Encik Bahren mendaki tangga korporat - daripada seorang kakitangan bawahan di bank sehingga menjadi CEO salah sebuah bank privet terbesar di Asia - adalah hasil kegigihan, daya tahan, ketabahan dan bakat beliau.



KERJAYA



Menceritakan detik permulaannya dalam sektor perbankan tiga dekad lalu, Encik Bahren, yang pernah bekerja dalam sebuah syarikat perakaunan, berkata beliau terpaksa meneliti halaman demi halaman buku telefon untuk mencari klien.



"Saya dibesarkan dalam keluarga biasa- biasa... bapa saya seorang teknisyen dan ibu suri rumah.



"Saya tidak ada rangkaian sedia ada, tidak ada pak cik yang dapat memperkenalkan saya dengan klien. Saya juga pergi ke pelbagai tempat di Indonesia untuk melawat klien di kilang mereka.



"Banyak usaha yang saya jalankan, memikirkan bagaimana untuk ke satu tempat dari satu tempat, berjam-jam di jalan raya, ditolak (bakal klien)... ini sememangnya amat mencabar.



"Ini benar-benar tugas jurujual... cuba mendapatkan orang untuk berurus niaga dengan kita," ujarnya.



Permulaan yang sukar itu tidak menghalang Encik Bahren untuk menyerlah.



Bahkan, ia membakar semangatnya untuk merenung kembali dan memikirkan bagaimana beliau boleh berusaha lebih baik.



Selepas menyertai American Express (Amex) sebagai pegawai rendah bank pada 1988, beliau terus mendaki tangga korporat dan antara lain pernah berkhidmat sebagai pengarah urusan di UBS Wealth dan bertanggungjawab bagi pasaran Asia Tenggara dan Australia.



Pada 2009, beliau menyertai ING Asia Private Bank tetapi bank itu kemudian diperolehi OCBC Bank dan dinamakan Bank of Singapore.



Pada 2015, Encik Bahren dilantik CEO Bank of Singapore.



Di bawah kepimpinannya, bank itu berkembang maju, dengan klien dari pelbagai negara termasuk Timur Tengah, Asia Tenggara, China, Eropah dan Jepun.



Kini, Bank of Singapore mempunyai hampir 1,700 kakitangan di lima lokasi selain Singapura, iaitu Hongkong, Luxembourg, Dubai, London dan Manila.



Bank itu juga menguruskan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak $133 bilion.



Lulusan perakaunan dari Universiti Nasional Singapura (NUS) itu berkata, prinsip beliau ialah untuk melakukan setiap tugas yang diberikan dengan bersungguh-sungguh supaya dapat mencapai hasil yang sempurna.



"Bagi saya, saya mendapat kepuasan apabila dapat melakukan tugas dengan baik, walau apa pun tugas itu.



"Selama ini, sama ada saya pegawai bank, ketua pasaran, ketua pasukan atau CEO bank sekalipun, sama sahaja. Perlu tahu penunjuk prestasi utama (KPI), apa yang dijangkakan dan lakukan tugas itu dengan baik," tegas beliau semasa ditemui di sebuah ruang di bangunan pejabatnya yang berlatarbelakangkan Kawasan Pusat Bandar (CBD) Singapura.



Berbekalkan prinsip itulah, Encik Bahren dapat menikmati kejayaan yang mengagumkan dalam bidang yang kurang diterokai masyarakat Melayu/Islam.



KELUARGA



Namun, ketika diminta merenung kembali perjalanan hidupnya, Encik Bahren berkata meskipun beliau bercita-cita tinggi, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadi CEO sebuah bank satu hari nanti.



Ibu Encik Bahren, Cik Sarah, bagaimanapun melihat suatu kelebihan dalam diri anaknya, sejak Encik Bahren bayi lagi.



Cik Sarah menceritakan, semasa bayi, anaknya itu kerap menangis dan tidak dapat 'terpisah' daripadanya.



"Dulu-dulu, beberapa kali orang cakap mesti sabar, ada hikmahnya. Sekarang, saya pun dalam hati berkata, betul lah, apa orang tua cakapkan," ujarnya.



Tambahnya, anak beliau juga rajin belajar dan beliau sentiasa menemani Encik Bahren belajar, kadangkala sehingga 2, 3 pagi.



Bagi anak sulung daripada keluarga empat beradik itu, keluarga adalah segala-galanya.



Beliau terhutang budi kepada kedua-dua ibu bapanya yang menurutnya memastikan beliau dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang dan menitik beratkan nilai kehidupan.



Encik Bahren juga menyifatkan dirinya 'bertuah' kerana dijodohkan dengan pasangan yang tidak putus-putus menyokong dan mendoakan kejayaan beliau.



Beliau mendirikan rumahtangga dengan Cik Jummaida Rusdon, 58 tahun, juga seorang ahli korporat yang berjaya.



Cik Jummaida, CEO Busy Bees, sebuah rangkaian kumpulan tajaka, berkata beliau mula mengenali suaminya itu semasa beliau bekerja di Phillip Securities.



Ketika itu, Encik Bahren ingin membeli saham dan Cik Jummaida memperkenalkannya kepada seorang penjual.



Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata - Cik Hairin Amalena, 29 tahun; Cik Elli Nur, 26 tahun; dan Encik Harith, 23 tahun.



BAKTI



Sikap arwah bapanya yang aktif dengan kegiatan kemasyarakatan di kampung dahulu turut diwarisi Encik Bahren.



Beliau antara lain pernah berkhidmat sebagai anggota lembaga Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dari 2000 hingga 2012.



Kini, beliau merupakan anggota lembaga Penasihat Keselamatan Dalam Negeri serta berkhidmat sebagai pengarah bukan eksekutif dan bebas Singapore Press Holdings (SPH) sejak 2012.



Encik Bahren, yang juga anggota pengganti Majlis Penasihat Presiden (CPA), turut diiktiraf dengan Pingat Bakti Masyarakat (PBM) pada 2008.



Selain itu, beliau gigih menabur bakti kepada masyarakat dan merupakan penyokong kuat beberapa badan amal termasuk Club Heal.



"Saya membesar di kampung... tidak dikelilingi dengan kemewahan. Jadi, saya faham cabaran dan kesukaran yang dihadapi sesetengah orang.



"Oleh itu, saya melihat peranan saya sebagai menyumbang di mana mampu.



"Kalau saya dapat meninggalkan kesan dalam hidup orang lain dan bantu mereka, itulah yang terbaik bagi saya dan saya sudah cukup gembira," kata Encik Bahren.




"Saya membesar di kampung... tidak dikelilingi dengan kemewahan. Jadi, saya faham cabaran dan kesukaran yang dihadapi sesetengah orang. Oleh itu, saya melihat peranan saya sebagai menyumbang di mana mampu. Kalau saya dapat meninggalkan kesan dalam hidup orang lain dan bantu mereka, itulah yang terbaik bagi saya dan saya sudah cukup gembira.
- Encik Bahren Shaari, pemenang Anugerah Jauhari 2018.




APA KATA IBU:



"Dia (Bahren) memang rajin belajar dan kadang-kadang saya tunggu dia belajar sampai pukul 2, 3 pagi. Saya tengok kejayaan dia sekarang, saya pun suka, besar hati. Tak sia-sialah boleh dikatakan, hilang penat ini."
- Ibu Encik Bahren, Cik Sarah Sarsan.



APA KATA ISTERI:



"Saya selalu ke luar negara atas urusan kerja dan Bahren juga. Jadi, kami cuba jadualkan waktu kami ke luar negara secara bersama agar kami dapat meluangkan masa bersama.

Kami sekeluarga juga cuba makan malam bersama sekurang-kurangnya tiga kali seminggu."

- Isteri Encik Bahren, Cik Jummaida Rusdon.



APA KATA ANAK:



"Semasa saya membesar, saya ingat ayah saya selalu menekankan nilai seperti kerja keras. Beliau juga selalu memberi tumpuan pada sama ada kami telah melakukan yang terbaik dan bukan pada keputusan kami di sekolah."
- Anak Encik Bahren, Cik Elli Nur Bahren.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >