Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Masagos lahirkan keyakinan terhadap kepimpinan baru Pergas

Jun 28, 2023 | 07:50 PM



Presiden baru Persatuan Ulama Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, telah banyak terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Ini bukti beliau menitikberatkan masyarakat dan sentiasa berusaha membawa perubahan positif.

Demikian kata Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu catatan Facebook pada Rabu. Beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan Ustaz Tarmizi sebagai presiden Pergas di Mesyuarat Agung Tahunan badan itu Ahad lalu.

Encik Masagos berharap melalui kepimpinan Ustaz Tarmizi, Pergas akan terus bekerjasama dengan rakan masyarakat lain untuk meningkatkan keupayaan asatizah.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Mizi Wahid, beliau tidak asing dengan Pergas. Beliau dikenali atas pelbagai sumbangan aktif termasuk menjadi anggota Majlis Tertinggi Pergas sejak 2017, Naib Kadi dan juga anggota lembaga pengarah AMP.

Antara lain, beliau juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Safinah Holdings Pte Ltd, sebuah pertubuhan Islam moden dan progresif yang menganjurkan pelbagai acara mengenai isu-isu kontemporari yang dihadapi oleh masyarakat hari ini.

Pertubuhan itu terkenal kerana menjalankan acara-acara yang disediakan untuk karyawan muda, pasangan muda, dan ibu bapa baru untuk kumpulan sekecil 50 hingga sebesar 2000 setiap sesi.

Beliau telah berkhidmat selama dua setengah tahun dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) antara 2006 hingga 2009 di Pejabat Mufti. Sebahagian daripada pengalaman beliau dalam Muis termasuk membentangkan kertas penyelidikan di mesyuarat-mesyuarat peringkat kanan dalam ASEAN.

Encik Masagos yakin dan percaya bahawa di bawah kepimpinan Ustaz Tarmizi, Pergas akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi serta masyarakat lain untuk meningkatkan keupayaan asatizah dan membina masyarakat yang progresif.

“Sumbangan beliau yang meluas ini membuktikan bahawa beliau mengambil berat tentang ehwal masyarakat kita dan sentiasa mencari jalan untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Saya mengalu-alukan peluang bekerjasama dengan Ustaz Tarmizi dan barisan asatizah di bawah kepimpinannya demi memperkukuh visi Masyarakat Gemilang kita,” tambah Encik Masagos.

Menurut Encik Masagos, selain Ustaz Tarmizi, 13 lagi anggota Majlis Tertinggi Pergas turut dilantik termasuk tiga anggota baru daripada madrasah dan sektor swasta setempat seperti pendidikan dan perbankan Islam.

Selain itu, Encik Masagos juga melahirkan rasa terima kasih yang tulus ikhlas kepada presiden yang bakal bersara, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, atas dedikasi dan kepimpinan yang cemerlang sejak 2002.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan presiden Ustaz Hasbi Hassan atas dedikasi dan kepimpinannya sejak 2002.

“Di bawah kepimpinan Ustaz Hasbi, Pergas telah bekerja rapat dengan Muis untuk menyediakan program-program latihan dan pembangunan untuk para asatizah bagi meningkatkan mutu pendidikan Islam.

“Inisiatif-inisiatif yang dilancarkan telah memperkukuh tahap profesionalisme serta kewibawaan barisan asatizah dan meningkatkan ilmu serta kemahiran mereka dalam membimbing masyarakat kita,” kata Encik Masagos.

Ustaz Hasbi dan ramai lagi ulama serta asatizah, tambah Encik Masagos, telah memainkan peranan penting dalam membangunkan asas kukuh bagi Pergas untuk generasi masa hadapan kita.

“Komitmen kuat Ustaz Hasbi kepada usaha ini merupakan inspirasi bagi kita semua kerana beliau terus membuat sumbangan lebih luas kepada masyarakat sebagai Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan juga sebagai anggota penuh Jawatankuasa Fatwa Muis,” tambah Encik Masagos.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >