Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar poly bakal dibenar ambil masa lebih lama untuk tamat pengajian

Maliki: Usul manfaat pelajar yang lemah dari segi akademik atau ingin dalami minat di luar sekolah
Jan 08, 2022 | 05:30 AM



PELAJAR politeknik yang memerlukan lebih banyak masa untuk menghabiskan pengajian mereka, lebih daripada tiga tahun, mungkin dapat melakukan demikian tidak lama lagi.



Ini antara lain akan memberi manfaat kepada pelajar yang lemah dari segi akademik atau pelajar yang ingin ceburi minat yang mendalam di luar bidang akademik termasuk bidang keusahawanan atau sukan.



Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, berkata pelajar yang ingin menceburi minat di luar bidang akademik kini perlu mengambil Cuti Ketidakhadiran.



Pelajar yang hadapi cabaran dari segi akademik pula harus mengambil semula subjek yang mereka gagal pada semester seterusnya dan ini menyebabkan sesetengah mereka tidak menghabiskan pengajian mereka sementara ada yang perlu melanjutkan pengajian mereka hingga lebih tiga tahun.



Kini, sekitar 7 peratus pelajar politeknik mengambil masa lebih lama untuk menghabiskan pengajian mereka.



"Dengan peningkatan ini, kami harap lebih ramai pelajar akan terus habiskan pengajian mereka daripada menamatkan pengajian sebelum selesai. Pelajar yang berupaya... juga akan mendapat peluang memperkaya dan mencabar diri mereka sepanjang tiga tahun itu," ujarnya.



Ini antara saranan yang timbul daripada Semakan Peluang dan Laluan dalam Pendidikan Amali yang dipengerusi Dr Maliki.



Semasa berucap di majlis pelancaran Pusat Persekitaran Binaan Berpadu (IBEC) Politeknik Temasek (TP) semalam, Dr Maliki turut mengumumkan saranan lain daripada semakan yang dilancarkan pada Januari tahun lalu itu.



Hasil semakan itu, enam saranan telah dikemukakan dalam tiga bidang - memperkukuh daya tahan dan kesediaan kerjaya pelajar bagi ekonomi akan datang; mengiktiraf kepelbagaian dan memberi lebih kelonggaran serta peluang bagi semua pelajar; dan membina sistem sokongan yang lebih kukuh dan bersepadu bagi semua pelajar.



Bagi mengukuhkan kesediaan pelajar bagi ekonomi akan datang, politeknik akan mewujudkan peluang bagi pelajar mendapatkan peluang pendedahan industri tambahan selain program bekerja sambil belajar yang wajib pada tahun ketiga.



Di bawah struktur kurikulam Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang dipertingkat, pelajar akan melalui dua penempatan kerja dalam industri - selama tiga bulan pada tahun kedua dan selama enam bulan pada tahun ketiga.



Menerusi kurikulum kemahiran hidup atau LifeSkills yang disemak, politeknik dan ITE juga dapat melengkapi pelajar dengan kemahiran dan kecekapan dengan lebih baik bagi mempersiap mereka memasuki alam dewasa dan pekerjaan.



Menarik perhatian pentingnya sistem sokongan kukuh bagi membantu pelajar, Dr Maliki berkata tutor peribadi pelajar akan dilengkapi dengan lebih baik untuk mengenal pasti tanda awal jika pelajar itu sedang dalam kesusahan, dengan politeknik dan ITE akan menimbangkan menyediakan lebih banyak masa khusus bagi tutor peribadi itu berhubung dengan pelajar.



Politeknik dan ITE juga akan menimbangkan bagaimana mengeratkan hubungan dengan pelajar yang baru tamat pengajian dan memberi bimbingan kerjaya kepada mereka.



"Dengan saranan ini, pelajar politeknik dan ITE boleh menjangkakan pengalaman pendidikan amali yang lebih bermakna dan lulus dengan kemahiran mendalam yang relevan dengan industri serta kemahiran hidup lebih meluas, serta lebih bersedia merebut peluang akan datang," ujar Dr Maliki.



Menyentuh tentang pelancaran IBEC, beliau berkata pusat itu merupakan kemudahan latihan unik yang bertujuan menyediakan pembelajaran berbilang disiplin buat pelajar dalam bidang seperti seni bina, seni reka, kejuruteraan, IT dan kemampanan alam sekitar.



Tambahnya, pelancaran kemudahan baru seperti IBEC juga amat menggalakkan kerana ia menunjukkan komitmen semua pihak berkepentingan untuk memastikan latihan yang dikendali relevan dengan perkembangan terkini industri dan menawarkan pengalaman pembelajaran bermutu tinggi bagi pelajar.



Laporan lanjut: Latihan bekerja ketika belajar bantu pilih kerjaya




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >