Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Semakan isu banglo Ridout Road tekan pentingnya ketelusan, integriti pemerintah: SM Teo

Jul 03, 2023 | 08:39 PM



Semakan berkaitan isu penyewaan banglo di Ridout Road adalah penting kerana ia menegaskan kepercayaan kolektif warga Singapura terhadap pentingnya pemerintah yang telus serta pegawai awam yang bertindak dengan integriti, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.

Dalam rumusannya berikutan perbincangan Parlimen berkenaan isu tersebut, Encik Teo berkata siasatan yang dijalankan telah mendedahkan tiada bukti rasuah atau salah laku oleh kedua-dua Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Justeru, dakwaan berkenaan isu penyewaan banglo hitam putih di Ridout Road itu patut dihentikan setelah siasatannya selesai dijalankan.

Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) telah membuat siasatan menyeluruh dan Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menyemak kertas siasatan dan bersetuju dengan penemuan CPIB itu.

“Anggota Dewan telah meminta banyak penjelasan dan saya dan rakan setugas telah menjawab semua soalan.

“Oleh itu, kita boleh dan patut menghentikan dakwaan-dakwaan berkaitan penyewaan kedua-dua hartanah itu,” ujar Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.

Pemerintah komited membangunkan masyarakat yang inklusif dan maju – dan inilah yang menyokong dasar yang dilakarnya, kata Encik Teo.

Beliau menambah bahawa Singapura memerlukan tadbir urus dan politik yang baik untuk menarik individu baik berkhidmat kepada negara dan berusaha membina masyarakat yang inklusif dan progresif.

“Masyarakat yang inklusif juga mesti menjadi masyarakat yang adil di mana individu mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada usaha dan kebolehan mereka,” kata Encik Teo semasa merumuskan isu itu di Parlimen pada Isnin.

Kata Encik Teo lagi: “Dalam politik, Parti Tindakan Rakyat (PAP) berusaha membina pasukan nasional terbaik yang mungkin.

“Pasukan kami menarik individu-individu yang berdedikasi daripada pelbagai latar belakang – ada yang datang daripada latar belakang kurang bernasib baik dan telah bekerja keras dan berjaya, ada yang berjaya dalam hidup dari segi kewangan – ini tidak pernah menjadi keperluan, tetapi ia juga tidak patut menjadi hambatan.

“Soalannya ialah sama ada orang itu mempunyai hati yang betul, kebolehan yang betul dan motivasi yang betul,” tambah Encik Teo.

Sebelum rumusan Encik Teo itu, Encik Shanmugam, dalam kenyataan menterinya berkata adalah penting beliau dipertanggungjawabkan kepada warga Singapura sebagai anggota pemerintah.

“Inilah cara sistem kita berfungsi dan mesti terus berfungsi – tiada siapa yang melebihi undang-undang,” tekannya.

Dr Balakrishnan pula berkata keluarganya memutuskan berpindah ke 31 Ridout Road kerana mahu tinggal sebumbung, termasuk bersama dua orang anaknya yang sudah berumahtangga dan mempunyai cahaya mata sendiri.

Perbincangan isu penyewaan banglo hitam putih di Ridout Road itu berlangsung selama lebih lima jam dengan beberapa anggota parlimen daripada parti pemerintah dan pembangkang bangkit untuk mengajukan soalan.

Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, berkata isu dalam hal tersebut adalah berkenaan tatalaku menteri.

“Saya tidak percaya ada orang yang membuat dakwaan bahawa menteri terlibat dalam rasuah, atau ada orang yang terlibat dalam rasuah dalam sistem ini.

“Isu yang perlu kami tangani ialah tatalaku menteri dan tindakan khusus yang diambil oleh Menteri (Shanmugam) apabila beliau mengarahkan Timbalan Setiausahanya untuk mendapatkan maklumat,” kata Encik Pritam.

Beliau telah bertanya mengapa Encik Shanmugam perlu mendekati timbalan setiausahanya, iaitu “seorang penjawat awam yang sangat kanan” untuk mendapatkan senarai hartanah bagi urusan peribadinya.

Dalam jawapannya, Encik Teo berkata senarai hartanah yang tersedia untuk disewa bukanlah maklumat istimewa. 

Encik Teo turut mengalu-alukan kenyataan Encik Pritam yang bersetuju bahawa tiada salah laku, tiada rasuah dan tiada salah guna kuasa yang berlaku dalam penyewaan dua banglo itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >