Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Zaqy: Bilangan kematian di tempat kerja berkurangan

◆ Penurunan berikutan langkah penguatkuasaan lebih tegas ◆ Bilangan kematian berkurangan kepada 2.5 dari Sep hingga Dis lalu
Jan 17, 2023 | 05:30 AM



SELEPAS empat bulan menjalankan langkah penguatkuasaan yang lebih tegas dengan pelaksanaan Tempoh Keselamatan Dipertingkat (HSP) enam bulan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk menangani jumlah tinggi kematian di tempat kerja pada 1 September lalu, beberapa hasil yang menggalakkan sudah dapat dilihat.



Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata jumlah kematian di tempat kerja telah berkurangan daripada 4.5 secara purata sebulan antara Januari dengan Ogos 2022 kepada 2.5 dari September hingga Disember lalu.



Kadar kematian bagi tahun lalu secara keseluruhan ialah 1.3 kematian bagi setiap 100,000 pekerja.



Encik Zaqy berkata ini menunjukkan bahawa apabila syarikat berusaha dan komited memperkukuh keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, kemalangan dapat dielakkan dan nyawa diselamatkan.



"Meskipun terdapat jumlah kematian lebih rendah selepas kami melaksanakan HSP, kadar kematian di tempat kerja tahun lalu yang mencapai 1.3 tetap lebih tinggi berbanding kadar 1.1 pada 2021.



"Sebanyak empat kematian pada bulan Disember sahaja menunjukkan bahawa sikap berwaspada terus diperlukan dan masih ada syarikat yang tidak memandang serius terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," ujarnya.



Encik Zaqy berkata demikian semasa berucap di Simposium Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) Ke-11 berhubung Kren 2023 semalam.



Menarik perhatian bahawa kegiatan perusahaan dan kemalangan biasanya bertambah selepas Tahun Baru Cina, beliau menekankan bahawa majikan harus memberi keutamaan pertama kepada keselamatan dan tidak boleh membiarkan tahap keselamatan merosot apabila kerja bermula semula atau semasa hendak mengejar masa menyiapkan projek mengikut garis masa yang ditetapkan.



Oleh itu, MOM sedang mempertimbang sama ada untuk melanjutkan HSP hingga hujung Februari.



Encik Zaqy berkata MOM telah mengambil kedudukan penguatkuasaan yang lebih tegas dan intensif sepanjang tempoh keselamatan yang dipertingkat ini.



"Untuk menyampaikan mesej pencegahan yang kuat, MOM telah meningkatkan kekerapan pemeriksaan penguatkuasaan serta kuantum denda yang dikenakan.



"Sejak September, kami telah mengeluarkan lebih 600 denda berjumlah lebih $1.3 juta. Jumlah ini hampir 50 peratus lebih tinggi dalam bentuk kuantum denda berbanding tempoh yang sama pada 2021," ujar beliau.



Encik Zaqy berkata 11 syarikat juga telah dilarang mengambil pekerja pemegang pas kerja baru disebabkan kemalangan yang besar dan menyebabkan kematian serta kesilapan serius di tapak kerja.



Syarikat itu perlu mengambil khidmat juruaudit keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dari luar untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap proses keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mereka.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengarah mereka juga perlu mengambil tanggungjawab dan melaporkan sendiri kepada Pesuruhjaya Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja serta MOM bagi kemalangan itu.



Mereka kini sedang disiasat bagi penglibatan masing-masing dalam kemalangan itu.



Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda hingga $200,000, dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, dengan mereka yang mengulangi kesalahan itu boleh didenda hingga $400,000.



Encik Zaqy berkata usaha memastikan tempat kerja selamat memerlukan syarikat dan pekerja memainkan peranan mereka juga.



"Pasukan pengurusan harus mengutamakan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta melatih pekerja mereka tentang prosedur keselamatan.



"Pekerja perlu mematuhi latihan mereka serta menjaga diri dan rakan kerja mereka," ujarnya.



Dalam beberapa hari akan datang, Encik Zaqy juga berkata mereka akan bertemu dengan Panel Penasihat Antarabangsa dan industri tentang situasi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.



Tambahnya, mereka akan berkongsi saranan yang dikemukakan untuk mempertingkat tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta hasil keselamatan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >