Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

7 cara ajak anak-anak bersenam bersama ibu bapa

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

7 cara ajak anak-anak bersenam bersama ibu bapa

Feb 27, 2024 | 05:30 AM



Apabila Cik Jimin Choi, 37 tahun, membawa anak-anaknya ke taman, mereka tidak tahu bahawa ia sebenarnya adalah satu senaman.

Guru yoga dan pilates di Pure Group, Singapore itu, menyemarakkan lagi kegiatan berjalan kaki dengan mengajak keluarganya melakukan gerakan yoga seperti mengimbangi badan menggunakan satu kaki.


Cik Choi dan anak-anaknya, Skye Nee, 11 tahun, dan Mason Nee, tujuh tahun, kadangkala memanjat atas badan suaminya, seorang juruterbang berusia 46 tahun, untuk membentuk piramid manusia.

Beliau berkata: “Ia adalah kelas yoga tetapi mereka tidak melihatnya seperti itu. Saya akan katakan mari kita bermain permainan, contohnya, ‘Siapa yang paling lama dapat menahan gerakan yoga ini?’”

Taktik menggabungkan senaman secara senyap-senyap itu turut dilakukan semasa pesta ulang tahun anak-anaknya.

Beliau telah meminta anak-anaknya dan tetamu mereka untuk melakukan gerakan yoga membentuk ‘terowong’ berbentuk V yang dilalui kanak-kanak dalam satu permainan pesta.

“Jika saya mahu mereka bersenam sebagai satu amalan sepanjang hayat, ia perlu menyeronokkan, ia perlu konsisten dan ia tidak boleh dipaksa.

“Ia tidak seperti memaksa mereka ke kelas pengayaan Cina atau Kumon,” kata Cik Choi, sambil menambah bahawa Skye meminati yoga sejak beberapa tahun kebelakangan ini hingga pasangan ibu dan anak itu kini melakukan bengkel yoga bersama-sama.

Tinjauan Penyertaan Sukan Kebangsaan (NSPS) 2022, yang dikeluarkan pada 2023 oleh agensi kebangsaan, Majlis Sukan Singapura (SportSG), mendapati bahawa ibu bapa mempunyai kesan besar terhadap penyertaan anak-anak mereka dalam sukan.

Pada 2022, 93 peratus kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam sukan sekurang-kurangnya sekali seminggu mempunyai ibu bapa yang juga bersenam secara kerap.

Ini berbanding dengan 68 peratus kanak-kanak yang ibu bapa mereka tidak menyertai sukan atau melakukannya secara tidak kerap.

NSPS adalah satu-satunya tinjauan kebangsaan Singapura mengenai penyertaan sukan dan senaman dalam kalangan warga dan penduduk tetap.

Menurut akhbar, The Straits Times, ibu bapa berkata bersenam dengan anak mereka mengeratkan jalinan ikatan dan daya tahan, di samping manfaat kesihatan yang diketahui iaitu tubuh menjadi cergas dan kuat.


Jika anak-anak memerlukan sedikit galakan untuk mengalihkan pandangan daripada skrin televisyen atau telefon bijak, Cik Choi dan ibu bapa lain mempunyai beberapa panduan tentang cara bersenam bersama, tanpa air mata dan dengan penuh semangat sepanjang masa.

1. Gunakan ruang di sekeliling

Cik Choi berkata: “Anda tidak memerlukan kemudahan atau mengambil kira keadaan cuaca. Anda hanya perlukan tikar yoga.”

Beliau memperkenalkan anak-anaknya kepada yoga semasa pandemik Covid-19 apabila mereka terkurung di rumah dan mempunyai banyak masa lapang.

Malah sekarang, anak-anaknya menyertainya melakukan regangan apabila mereka mempunyai masa lapang, seperti ketika menunggu penerbangan di ruang istirahat lapangan terbang.

Seorang lagi ibu, Dr Miriam Lee, 38 tahun, melakukan kegiatan yang menyeronokkan untuk anak perempuannya yang berusia empat tahun, Clare Tan, di kawasan kejiranan.

Ini termasuk mengajak Clare menunggang skuternya di sepanjang laluan atau melihat siapa yang boleh mengumpul paling banyak daun.

Pengurus kanan di divisyen pembangunan program kanak-kanak dan belia SportSG itu, yang mempunyai ijazah kedoktoran dalam sains senaman sukan, berkata:

“Kami tidak mendaftarkan Clare dalam program atau kelas sukan formal, tetapi kami ke taman permainan, taman dan kawasan lapang lain.

“Perkara utama adalah tidak memaksa anak untuk bersenam. Kami perlu memikirkan cara untuk menggalaknya bergerak, seperti memanfaatkan semangat bersaingnya dengan melihat siapa yang mencapai pokok itu terlebih dahulu, contohnya.”

2. Jangan takut jatuh

Dr Lee telah membawa Clare berenang sejak dia berusia bawah enam bulan, yang menjelaskan keselesaan kanak-kanak prasekolah itu dalam air sekarang.

Walaupun dia belum belajar berenang, dia gembira untuk bermain air selama sejam, menendang kakinya di dalam air dan menolak diri dari dinding kolam renang.

“Adalah penting untuk mendedahkan kanak-kanak kepada sukan pada usia muda.

“Jika mereka suka bergerak dari muda, ia akan memberi mereka asas yang baik. Di kemudian hari, mereka akan lebih mudah mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan sukan dan fizikal yang lebih luas,” kata Dr Lee, anggota pasukan projek panduan sumber yang diterbitkan oleh SportSG berjudul, ‘Fun Start Move Smart – Learning To Move, Moving To Learn’ yang disasarkan kepada pendidik prasekolah.

“Adalah baik untuk membolehkan kanak-kanak jatuh, sebagai contoh, yang biasanya ditakuti oleh ibu bapa Asia.

“Ia adalah kemahiran pergerakan asas, di samping kegiatan seperti memanjat, berbasikal dan berenang,” katanya.

3. Persekitaran
mesra senaman

“Mewujudkan persekitaran aktif di rumah, yang menggalakkan kanak-kanak untuk bergerak pada bila-bila masa, boleh membantu,” kata Dr Lee.

Beliau dan suaminya, yang bekerja di sebuah bank, menyimpan sebakul bola dan raket bersaiz kanak-kanak di rumah yang tidak diendahkan Clare selama berbulan-bulan.

Baru-baru ini, kanak-kanak itu meminta ibunya bermain ‘tenis’ dengannya di sepanjang koridor di luar unit kondominium mereka.

4. Jadi peminat sukan
bersama-sama

Pengalaman sukan kanak-kanak boleh didorong oleh minat ibu bapa.

Anak Encik Fadzli Hussen, Kayden Fadzli, lapan tahun, telah mengikut jejak langkah bapanya menjadi peminat Manchester United, walaupun anak lelaki itu juga menyukai Real Madrid.

Kayden merupakan sebahagian program, Unleash The Roar!, yang bertujuan meningkatkan tahap bola sepak di Singapura.


Encik Fadzli, 44 tahun, ketua undang-undang, hubungan pemerintah dan kemampanan di McDonald’s Singapore, berkata menjadi peminat sukan adalah “pengalaman bapa-anak yang menyeluruh dan mengeratkan hubungan”.

Selain bermain bola sepak dan menonton perlawanan di televisyen bersama-sama, mereka membeli but dan kit bola sepak, dan berkongsi berita pemindahan kelab dengan satu sama lain.

5. Jadikan ia satu
pengembaraan

Encik Marcus Tan, 47 tahun, tidak perlu memujuk anak perempuannya yang berumur lapan tahun, Sophia Tan, untuk berjalan kaki setiap minggu sejauh lima kilometer, yang mengambil masa kira-kira sejam.

“Apabila saya menyebutnya sebagai satu pengembaraan, ia menyemarakkan imaginasinya dan menjadikannya lebih seronok, sedangkan semasa dia masih kecil, dia akan berkata, ‘Bersenam, lagi?’ Saya cuba mengajaknya berbasikal dengan kerap dan ia menjadi tugasan,” kata Encik Tan, seorang pengarah di firma khusus dalam teknologi sumber manusia.

Untuk memastikan Sophia berasa seronok, beliau menyuruhnya mencari monyet semasa mereka mendaki di ruang hijau seperti Taman Kolam Air Upper Peirce.

Beliau turut menceritakan kisah tentang Dewa Kera, Sun Wukong, dalam mitos Cina, dan menyampaikan fakta tentang perbezaan antara monyet dengan beruk.

6. Biar anak
tetap matlamat sendiri

Encik Tan, pengasas bersama Persatuan Yoga Singapura, menggalak ibu bapa membantu anak-anak menetapkan dan mencapai matlamat kecergasan mereka sendiri, terutamanya apabila minat mereka dalam sesuatu sukan telah berputik.

Beliau telah melatih anak perempuannya, Sophia, yang mengikuti kelas gimnastik, untuk melakukan ‘split’ depan.

Beliau berkata: “Pupuk minat anak-anak anda dan ketahui apa yang mereka mahu capai. Berusaha ke arah matlamat Sophia memberinya dorongan. Perkara seterusnya yang dia mahu lakukan ialah dirian tangan.”

7. Sertai kelas senaman
bersama

Walaupun seorang bapa itu tidak boleh membongkokkan badan dan menyentuh jari kakinya, ibu bapa harus mempertimbangkan untuk menyertai anak-anak mereka dalam acara atau kursus senaman percuma atau murah yang tersedia, kata Cik Choi, yang menganjurkan kelas yoga keluarga.

Dalam satu kelas sedemikian, seorang ibu yang malu tentang kekurangan kelenturan badannya telah menyertai anak perempuannya yang masih remaja, kerana kanak-kanak itu berminat dengan yoga.

Anak perempuan itu kemudian memberitahu ibunya betapa dia bangga dengannya.

Bersenam bersama berbeza dengan membawa anak anda ke kelas taekwondo bersama kanak-kanak lain, kata Cik Choi.

“Ibu dan ayah perlu terlibat secara aktif. Ketawa dan jatuh bersama menjadikannya persekitaran yang selamat,” tambahnya.

“Tiada apa yang perlu dimalukan, anda perlu keluar dari zon selesa anda. Ia boleh menjadi memori teras untuk anak-anak anda.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >