Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Bazar Raya OTH buka ruang peniaga HBB tingkat pemasaran digital

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bazar Raya OTH buka ruang peniaga HBB tingkat pemasaran digital

Mar 30, 2024 | 08:13 PM



Bazar Hari Raya boleh menjadi wadah yang membantu usahawan yang mengendalikan perniagaan dari rumah (HBB) mempertingkat dan menambah baik perniagaan mereka di samping meluaskan jangkauan pelanggan melalui wadah dalam talian, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian acara sambutan Hari Raya 2024 di Our Tampines Hub (OTH) pada 30 Mac.

Buat julung-julung kalinya tahun ini, OTH memilih seramai 10 peniaga HBB yang menetap di Tampines untuk menyertai kursus pemasaran digital.

Melalui kursus tersebut, peniaga ini telah mempelajari cara memasarkan barangan mereka dalam talian di samping menjalani latihan penstriman langsung atau ‘Live’.

Kata Encik Masagos, kursus ini memberi peluang kepada peniaga HBB menawarkan produk bukan sahaja kepada penduduk Tampines, malah serata Singapura.

“Sering mereka mengambil kesempatan menjual juadah mereka secara fizikal seperti di OTH. Sebenarnya saluran digital membuka pasaran yang lebih luas dan mereka dapat menawarkan produk mereka bukan hanya di Tampines tetapi di merata Singapura,” jelas Encik Masagos.

Melalui peluang ini, beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, berharap usahawan HBB dapat mengembangkan lagi usaha mereka dalam menjadi peniaga mapan walaupun berfungsi dari keselesaan rumah sendiri.

Antara mereka yang mengalu-alukan peluang mengembangkan perniagaan HBB ialah pengasas bersama The Baking Momma by Mazni, Cik Suhana Mohamed Salim dan Cik Mazni Samad.

Sehingga kini, mereka masih memasarkan aneka kuih-muih seperti biskut cip coklat dan tart Nutella melalui perkongsian pelanggan yang pernah melanggani produk mereka dan gambar di media sosial.

Namun dengan kursus yang ditawarkan OTH, Cik Mazni, 51 tahun, berkata ia berguna dalam memberinya panduan menjalankan penstriman dalam talian demi menjangkau lebih ramai pelanggan.

“Kami kurang mahir dan tidak biasa berhadapan dengan kamera. Walaupun penstriman ‘live’ itu dianggap seperti spontan, kita harus tahu beberapa perkara sebelum memasarkan produk. Ini termasuk siapa penonton sasaran kami, produk yang kami ingin jual dan juga apakah faktor unik jualan kami,” jelas Cik Mazni yang mengusahakan perniagaannya sejak lima tahun lalu.

Dalam pada itu, bazar di OTH yang mempunyai 35 reruai di Central Plaza dan diadakan hingga 7 April juga menampilkan reruai antarabangsa dari Jordan, Indonesia dan Turkey yang mempamerkan budaya dan warisan masing-masing.

Gerai kendalian Kedutaan Republik Turkey menawarkan makanan Turkey yang disediakan cef kedutaan di samping beberapa artifak kebudayaan.

“Kami tidak menjual makanan ini. Kami menyediakan makanan untuk orang ramai cuba di sini atau bawa pulang untuk berbuka. Selain itu, kami juga mempunyai pin persahabatan istimewa,” kata Duta Turkey ke Singapura, Encik Mehmet Burçin Gönenli.

Mengulas suasana bazar Singapura, Encik Mehmet berkata terdapat banyak persamaan dengan bazar di Turkey meskipun dua negara ini terpisah pada jarak 1,500 kilometer.


Bazar Hari Raya OTH ini dibuka hingga 7 April dari 3 petang hingga 10 malam (Isnin-Khamis) dan dari 12 tengah hari hingga 10 malam (hujung minggu dan cuti umum).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >