Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

EPL: Kenapa begitu ramai pemain cedera?

Hampir 150 pemain dalam liga elit England
kini cedera – jumlah paling tinggi sejauh ini
Nov 27, 2023 | 05:31 AM



LONDON: Apabila pemain pertahanan Newcastle Kieran Trippier bersemuka dengan penyokong pasukan itu yang penuh emosi selepas kekalahan di tangan Bournemouth, mesejnya jelas: “Berapa banyak kecederaan yang kita alami?”


Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.

Pada masa ini, pasukan bergelar Magpies itu merupakan pasukan paling teruk terjejas oleh kecederaan dalam Liga Perdana England (EPL), dengan 11 pemain di bilik rawatan.







Malah, jumlah keseluruhan pemain yang mengalami kecederaan musim ini telah mencapai paras tertinggi yang baru, menurut penganalisis data Ben Dinnery, yang juga pengasas laman web, premierinjuries.com.

Terdapat 196 kecederaan dalam tiga bulan sejak musim ini membuka tirainya – bertambah 15 peratus berbanding empat kempen terakhir.

Mengapa begitu ramai pemain cedera, dan adakah ini satu trend yang harus menimbulkan keprihatinan?

PERANGKAAN

Newcastle, yang layak ke pertandingan Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2002-03, mempunyai 11 pemain yang kini cedera, dengan jumlah 14 kecederaan berbeza.

Jumlah itu paling tinggi dalam sejarah liga dan dikongsi bersama Manchester United, yang telah mengalami permulaan liga paling teruk dalam sejarahnya gara-gara senarai kecederaan ke atas ramai pemainnya.







Jadi, adakah ia kerana jumlah permainan yang banyak, dengan kempen Eropah berintensiti tinggi untuk kedua-dua pasukan, bermakna lebih banyak kecederaan?

Namun, West Ham, yang bersaing dalam Liga Europa, tidak pula dibelenggu masalah kecederaan dengan hanya lima pemain di bilik rawatan – kadar paling rendah dalam liga.

Satu sebab bagi perbezaan ketara itu, dengan jadual yang sama, menurut Dinnery ialah kekuatan skuad pasukan seperti Newcastle, dengan para pemain utamanya mula berasa kesan bersaing pada peringkat paling tinggi dalam musim 2022-23 ini.

Sebagai perbandingan, Newcastle hanya mengalami 15 kecederaan sepanjang musim lalu, apabila persaingan mereka dengan kelab-kelab elit baru bermula menyusuli pelaburan besar dan pemilikan baru Arab Saudi.

Dinnery menambah: “Newcastle satu-satunya pasukan di lima liga teratas Eropah yang sembilan daripada pemainnya, selain penjaga gol, dapat bermain sekurang-kurangnya 75 peratus daripada keseluruhan minit liga domestik musim lalu. Ini sesuatu yang jarang sekali berlaku.”

KESAN PIALA DUNIA
MUSIM SEJUK 2022

Kesan Piala Dunia musim sejuk 2022 juga mungkin menambah tekanan ke atas pemain, kata Dinnery.

Antara kebimbangan utama sebelum Piala Dunia di Qatar November lalu ialah kecederaan dan kebajikan pemain.

Oleh itu, separuh masa pertama musim Liga Perdana 2022-23 disesuaikan bagi memastikan lebih banyak perlawanan dimainkan sebelum kejohanan itu bermula.

Meskipun kegiatan sukan, termasuk bola sepak, ‘berehat’ dek kematian Ratu Elizabeth II, 11 perlawanan dijalankan menjelang 24 Oktober, dengan beberapa pasukan bermain 12 perlawanan.







Menjelang minggu ke-11, 151 kecederaan direkodkan – 45 kurang daripada musim ini.

“Dari luar keadaan nampaknya seolah-olah kembali kepada keadaan biasa, tetapi hakikatnya kami masih mengalami kesan daripada Piala Dunia itu,” jelas Dinnery.

“Menjelang Piala Dunia, kita melihat perangkaan kecederaan berbanding berbanding tiga atau empat musim lalu.

“Kenapa? Satu sebab ialah mungkin pemain mengurangkan intensiti menjelang Piala Dunia untuk cuba melindungi diri mereka.”

Data baru daripada Indeks Kecederaan Bola Sepak Eropah Lelaki kumpulan insurans sejagat, Howden menunjukkan tempoh purata tidak bermain kerana kecederaan di Liga Perdana, La Liga, Serie A, Bundesliga dan Ligue 1 meningkat daripada 11.35 hari sebelum Piala Dunia 2022 kepada 19.41 hari dalam Januari sejurus selepas itu.


Liga Perdana dan Bundesliga paling terkesan, walaupun bola sepak domestik di England disambung dua hari selepas perlawanan akhir Piala Dunia pada 18 Disember dengan Piala Carabao, manakala kelab Jerman diberi rehat lebih sebulan.

Laporan itu menyatakan “peningkatan tempo” dalam Liga Perdana dan Bundesliga mungkin menjelaskan mengapa kadar kecederaan lebih tinggi berbanding di Italy, Sepanyol dan Perancis.

Kecederaan hamstring (otot paha), buku lali dan betis meningkat paling banyak.

HAMSTRING KECEDERAAN UTAMA

Pemain tengah Manchester City Kevin de Bruyne tidak bermain sejak perlawanan pembukaan musim menentang Burnley kerana kecederaan hamstring.

Begitu juga, penyerang Wolves Pedro Neto lama tidak bermain disebabkan kecederaan sama selepas beraksi menentang Newcastle pada hujung Oktober.







Pasukan Dinnery telah mengumpul data selama lebih 20 tahun, dan hamstring membentuk kira-kira 42 peratus kecederaan otot.

Musim ini terdapat peningkatan kira-kira 96 peratus kecederaan hamstring berbanding kempen lalu, dengan 53 kejadian – 26 lebih banyak daripada sepanjang 2022-23.


Secara keseluruhan, ia menyumbang peningkatan 55 peratus berbanding purata empat musim sebelumnya. Paras tertinggi sebelum ini ialah 40 kecederaan hamstring pada musim 2020-21.

Terdapat perbahasan musim ini tentang permainan yang kerap berlangsung lebih 100 minit kerana penambahan masa tambahan untuk menghentikan pembaziran masa dan kesannya terhadap kebajikan pemain.

KOS KECEDERAAN

Laporan oleh Howden menggunakan data gaji yang disediakan oleh Sporting Intelligence untuk mengira kos kecederaan, dengan kesan kewangan keseluruhan pada musim Liga Perdana 2022-23 dicatat sebanyak £255.4 juta ($429.2 juta), bertambah £70.8 juta daripada kempen sebelumnya.

Walaupun 946 kecederaan yang dilaporkan di lima liga utama Eropah adalah pengurangan 25 peratus daripada musim sebelumnya, laporan itu mengatakan “peningkatan kecederaan berat” adalah punca peningkatan kos kepada kelab.

Ia menentukan kos berdasarkan berapa banyak pemain dibayar semasa tidak dapat bermain kerana kecederaan.

Juara Liga Perdana Manchester City merekodkan 40 kecederaan dengan anggaran kos £11.9 juta.

Manchester United dan Nottingham Forest mempunyai jumlah kecederaan paling tinggi, dengan 69.68 kecederaan pada kempen 2022-23. Kecederaan bagi Chelsea dalam musim sama pula menelan kos £40.1 juta, iaitu paling tinggi bagi kelab EPL.

Secara keseluruhan, kos kecederaan di seluruh Liga Perdana, La Liga, Serie A, Bundesliga dan Ligue 1 pada musim 2022-23 meningkat sebanyak 27.3 peratus daripada £485.2 juta kepada £617.8 juta.

APAKAH IA AKAN JADI LEBIH BURUK?

Sedang kita menghampiri Disember, ia bermakna satu perkara – banyak perlawanan bola sepak.

Terdapat tiga pusingan perlawanan antara 21 Disember dengan 2 Januari, meskipun Liga Perdana memberi jaminan “tiada kelab akan bermain dalam tempoh 60 jam antara perlawanan”.

Chelsea mempunyai jumlah masa pemulihan paling sedikit sepanjang tempoh itu dengan 143.5 jam, dan Brighton mempunyai paling banyak, 287.5 jam.







“Kecederaan yang berlaku sekarang tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya juga menjangka kecederaan mencatat jumlah lebih tinggi dalam tempoh perayaan ini,” kata Dinnery.

“Dari segi pemulihan dan paras optimum, pemulihan memerlukan 72 jam. Apa-apa sahaja yang kurang daripada itu kami melihatnya sebagai membimbangkan,” tambah beliau.

Dinnery menegaskan adalah mustahil untuk menentukan punca sebenar kecederaan, dengan setiap pemain dan pasukan mempunyai keadaan yang berbeza.

Bagaimanapun, satu perkara adalah jelas – ia berkemungkinan menjadi lebih teruk.

Musim depan akan menyaksikan Liga Juara-Juara dan peringkat kumpulan Liga Europa menampilkan 36 kelab setiap satu – meningkat daripada enam kepada lapan pusingan perlawanan – dan berlangsung hingga Januari, dengan play-off dua perlawanan untuk mara ke peringkat 16 terakhir bagi kelab yang menduduki ranking sembilan hingga 24 dalam tangga keseluruhan.


Selain itu, 12 kelab Eropah akan menyertai Piala Dunia Kelab yang disertai 32 pasukan di Amerika Syarikat pada Jun dan Julai 2025.

Manchester City, Chelsea dan Real Madrid telah pun layak bagi kejohanan itu, dengan pemenang Liga Juara-Juara kempen semasa menyertai mereka. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >