Seramai 333 Rakan Bahasa dari 170 sekolah dilantik sempena Bulan Bahasa 2025 oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).
Pelajar peringkat sekolah rendah hingga universiti yang berumur antara sembilan dengan 24 tahun itu dilantik semasa Majlis Pelantikan Rakan Bahasa 2025 di Pusat Budaya Cina Singapura (SCCC) pada 15 April.
Dengan ini, terdapat lebih 3,000 Rakan Bahasa sejak daya usaha itu dimulakan pada 2014. Mereka adalah pelapis yang berperanan memperdalamkan cinta pada bahasa Melayu.
Berucap di majlis pelantikan itu, pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, berkata:
“Rakan Bahasa adalah pelapis kita. Peranan anda sebagai golongan muda ialah perdalamkan cinta kita pada bahasa Melayu.”
Menurut beliau, ramai pelajar teruja menjadi Rakan Bahasa dan inisiatif itu membuka peluang kepada mereka menggunakan bahasa Melayu dalam wadah berbeza, seperti lakonan suara dalam drama audio dan pertandingan anjuran syarikat Teevers yang kini memasuki edisi kedua.
Pada 2024, penekanan diberi pada penulisan skrip, sementara tumpuan bagi 2025 pula ialah nada suara dan intonasi, kata Encik Zhulkarnain, yang juga merupakan seorang peguam.
Beliau turut berkongsi bahawa teknologi moden seperti video, audio dan kecerdasan buatan (AI) akan digunakan pada masa terdekat untuk menarik minat pelajar terhadap bahasa Melayu.
“Teknologi harus menjadi tukul untuk membina semangat dan keyakinan, bukan tongkat yang melemahkan,” ujarnya.
Beliau turut mengulas tentang cabaran kedwibahasaan dan keyakinan berbahasa akibat pengaruh media digital dan penggunaan slanga dalam komunikasi harian.
Turut diadakan pada majlis itu ialah latihan berinspirasi oleh Duta Bahasa yang juga ahli jawatankuasa kecil Bulan Bahasa, Cikgu Asnida Daud.
Beliau berkongsi harapan dan pendekatan dalam mendidik pelajar menjadi individu berkeyakinan, kreatif dan bermotivasi dalam penggunaan bahasa Melayu.
“Latihan kecil yang disarankan bertujuan membina kemahiran secara bertahap, disokong nilai pembangunan diri seperti komunikasi dan kecerdasan emosi.
“Ada dua cara utama memperkukuh penggunaan bahasa: pendedahan melalui kegiatan dan pertandingan, serta penggunaan harian bahasa Melayu dalam pelbagai keadaan.
“Guru dan ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mendedahkan pelajar kepada bahasa dan budaya Melayu,” tambah beliau.
Menurut Encik Zhulkarnain, majlis itu menyediakan kad kegiatan Kembara Rakan Bahasa yang harus dilengkapkan oleh semua Rakan Bahasa.
Kad itu direka oleh seorang lagi ahli jawatankuasa, Encik Azhar Rashid.
“Kami berharap kegiatan atau misi dapat menyuntik kesegaran dan menggalak penyertaan semua,” kata Encik Zhulkarnain.
Seorang Rakan Bahasa 2025, Marsha Osman, 17 tahun, dari Maktab Rendah Jurong Pioneer, berkata menjadi Rakan Bahasa akan mendorongnya membangkitkan perasaan bangga akan bahasa Melayu dalam diri rakan sebayanya.
“Memandangkan di maktab rendah, jarang pelajar berbahasa Melayu kerana bilangan kami kecil, saya harap mereka dapat menggunakan bahasa Melayu secara lebih kerap supaya dapat kekalkan identiti dan budaya kami,” katanya.
Seorang Rakan Bahasa, Fatih Hamdani, 18 tahun dari Institusi Raffles, secara sukarela belajar dan mengajar seni tari Melayu kepada rakan-rakan berbilang bangsanya.
“Fatih dilantik sebagai Rakan Bahasa pada tahun lalu (2024). Sejak pelantikannya sebagai Rakan Bahasa, Fatih terlibat secara aktif dalam program-program Bulan Bahasa. Dia juga mengetuai Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu di sekolahnya.
“Hari ini, dia kembali untuk menyumbang masa dan tenaga sebagai pengacara,” ujar Encik Zhulkarnain.
Menurut Cikgu Asnida, nilai “nyala rasa” atau semangat terhadap bahasa perlu dipupuk agar pelajar bukan sahaja mempelajari bahasa, bahkan menghayati dan menyumbang kepada masyarakat.
Majlis itu membuktikan komitmen untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja fasih berbahasa, bahkan juga bangga dengan warisan dan jati diri mereka sebagai warga Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg