Topik diikuti
Pergi ke BHkuAcara Nitra angkat nilai, junjung kreativiti dalam pembelajaran sastera
Program Nilai Dalam Sastera (Nitra), merupakan sebuah wadah pendidikan yang mengetengahkan nilai melalui kesusasteraan Melayu secara kreatif dan interaktif.
Program ini menghimpunkan pelajar daripada pelbagai latar belakang pendidikan seperti sekolah rendah, menengah, maktab rendah, dan juga madrasah sekali gus mewujudkan ruang pembelajaran yang inklusif serta menggalakkan perkongsian idea dan pengalaman merentas pelbagai peringkat institusi.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, Nitra terus berkembang sebagai sebuah inisiatif yang memperkukuh ilmu sastera dalam kalangan generasi muda.
Pada 25 Julai 2026, Nitra memasuki tahun keenam penganjurannya dan berlangsung di The POD, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), di Victoria Street.
Dalam ucapannya, Pengerusi Nitra, Dr Nor Hanisah Saphari, menekankan keterkaitan antara nilai dan kreativiti yang juga menjadi tema Nitra tahun ini.
“Nilai dan kreativiti bukanlah dua perkara yang terpisah. Malah, kreativiti tanpa nilai boleh kehilangan arah, manakala nilai tanpa kreativiti mungkin sukar untuk menyentuh hati dan imaginasi generasi muda hari ini,” kata Dr Nor Hanisah.
Acara tersebut dianjurkan Jawatankuasa Nitra atas gagasan kertas tesis Doktor Falsafah (PhD) Dr Nor Hanisah, dan digembleng bersama beberapa sekolah rendah, sekolah menengah, maktab rendah dan madrasah.
Berbeza daripada edisi tahun-tahun sebelumnya yang menampilkan pendekatan seperti persembahan boneka, lakonan, nyanyian dan pelbagai lagi, Nitra 2026 memperkenalkan konsep reruai interaktif sebagai wadah utama untuk peserta meneroka nilai-nilai yang terkandung dalam karya kesusasteraan Melayu.
Melalui pendekatan ini, peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan secara langsung, malah berpeluang berinteraksi, berbincang dan melibatkan diri dalam aktiviti berasaskan pengalaman serta rentas-cipta, yang menggalakkan pemikiran kritis serta refleksi terhadap nilai yang dipelajari.
Sebanyak tujuh institusi telah mengendalikan reruai pada 2026, iaitu Sekolah Rendah Frontier, Sekolah Menengah CHIJ St. Theresa’s Convent, Sekolah Menengah Spectra, Sekolah Sains dan Teknologi Singapura, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Sekolah Menengah Woodlands Ring dan Maktab Rendah Catholic.
Setiap reruai menampilkan pendekatan tersendiri dalam menyampaikan nilai melalui kesusasteraan, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian nilai dan kreativiti para pelajar serta guru yang membimbing.
Antara kegiatan yang diwadahkan termasuk pembinaan pantun dua kerat, penyampaian ala pembina kandungan (content creator) TikTok dan permainan berdasarkan penyelesaian permasalahan.
Sebelum sesi reruai dimulakan, peserta disajikan dengan persembahan khas oleh murid-murid Sekolah Rendah Xinghua yang bertajuk “Kain Sarung Ajaib”.
Persembahan ini kemudiannya disusuli dengan aktiviti ‘Merungkai Nilai’, yang membimbing peserta mengenal pasti dan menghuraikan mesej serta nilai murni yang dipaparkan melalui persembahan tersebut.
Pendekatan ini menegaskan bahawa sastera bukan sekadar bahan bacaan atau hiburan, malah menjadi wadah yang berkesan untuk membentuk pemikiran, sahsiah dan pendidikan sosial dalam kalangan pelajar.
Bagi memperkaya lagi pengalaman pembelajaran, setiap peserta turut diberikan ‘Pasport Aktiviti’ sebagai panduan untuk mengikuti setiap reruai secara sistematik.
Inisiatif baharu ini menggalakkan penyertaan aktif dan memberikan peluang kepada peserta meneroka keseluruhan pengalaman pembelajaran sepanjang program berlangsung.
Selain itu, program diteruskan dengan sesi ‘Tambah Nilai’ yang dikendalikan oleh Guru Pakar, Cikgu Muslim Hanafiah.
Sesi ini memperlihatkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dimanfaatkan secara bertanggungjawab untuk mempertingkatkan ilmu terhadap nilai-nilai kesusasteraan, sekali gus menunjukkan bahawa teknologi dan sastera mampu saling melengkapi dalam pendidikan masa kini.
Nitra 2026 diakhiri dengan sesi Renungan, yang memberikan ruang kepada para peserta membuat refleksi terhadap pengalaman pembelajaran sepanjang hari serta menghubungkan nilai-nilai yang dipelajari dengan kehidupan seharian.
Penganjuran Nitra 2026 membuktikan bahawa kesusasteraan mampu disampaikan melalui pendekatan yang unik, kreatif dan relevan dengan perkembangan semasa.
Melalui kerjasama pelbagai institusi pendidikan dan sokongan Lembaga Perpustakaan Negara, program ini bukan sahaja menyemarakkan minat terhadap sastera Melayu, malah memupuk nilai murni, kebiasaan untuk berfikir secara kritis serta semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan generasi muda di samping menjiwai keseronokan meraih ilmu pengetahuan yang sebenar.
Penulis pelajar Prauniversiti 2 di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

