Auditorium Perpustakaan Daerah Woodlands gamat dengan suara dan semangat murid daripada 22 sekolah rendah yang menyertai pertandingan Penterjemah Pintar 2026 pada 20 Julai.

Menerusi beberapa cabaran penterjemahan, peserta diuji dalam kemahiran dwibahasa.

Mereka mempelajari bahawa penterjemahan bukan sekadar menukar perkataan daripada satu bahasa kepada bahasa lain, malah, memerlukan pemahaman konteks, budaya dan makna.

Pertandingan itu dianjurkan bersama oleh kumpulan penulis, Meja Conteng, Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa.

Pertandingan itu dimenangi pasukan Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah yang diwakili oleh Mohamed Adam Luqman Mohamed Fadhilad dan Heidi Qaysara Muhamad Helmi.

Nur Aishah Sofea Muhammad Rizuwan dan Zayyan Naquib Mohamed Nurizam, daripada Sekolah Rendah Ahmad Ibrahim diberi senario untuk menjadi seorang cef yang sedang mengendalikan acara memasak.
Nur Aishah Sofea Muhammad Rizuwan dan Zayyan Naquib Mohamed Nurizam, daripada Sekolah Rendah Ahmad Ibrahim diberi senario untuk menjadi seorang cef yang sedang mengendalikan acara memasak. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Sekolah Rendah Ahmad Ibrahim, yang diwakili Zayyan Naquib Mohamed Nurizam dan Nur Aishah Sofea Muhammad Rizuwan, meraih tempat kedua; manakala Sekolah Rendah Junyuan menduduki tempat ketiga menerusi Putra Mifta Rayn Martin Jaya dan Aura Nazeerah Muhammad Faizal.

Kesemua mereka merupakan murid peringkat rendah atas.

Adam berkata pertandingan itu memberinya peluang mempelajari budaya Melayu serta kosa kata bahasa Melayu dengan lebih mendalam.

Pasangannya, Heidi, pula berkata antara cabaran terbesar yang dihadapi mereka ialah tugasan menterjemah senario yang diberikan dalam masa yang singkat.

“Masanya amat suntuk dan skrip senario tersebut mempunyai perkataan yang kami tidak faham,” katanya.

Namun, Adam berkata mereka tetap berusaha menyelesaikan tugasan tersebut meskipun tidak sempat menghabiskan keseluruhan cerita.

Bagi Aishah, cabaran utama ialah mengatasi rasa takut ketika perlu naik ke pentas.

Namun, pengalaman itu memberinya keyakinan untuk mencuba dan menggunakan bahasa Melayu dengan lebih berani.

Sebanyak 22 sekolah rendah menyertai peraduan tersebut, dengan tiga pasukan, (dari kiri) Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Sekolah Rendah Junyuan dan Sekolah Rendah Ahmad Ibrahim, mara ke peringkat akhir.
Sebanyak 22 sekolah rendah menyertai peraduan tersebut, dengan tiga pasukan, (dari kiri) Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Sekolah Rendah Junyuan dan Sekolah Rendah Ahmad Ibrahim, mara ke peringkat akhir. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL

Zayyan pula berkata pertandingan tersebut mengajarnya cara menterjemah daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu dengan lebih baik.

Tetamu terhormat acara itu, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), berkata kemahiran penterjemahan amat penting dalam masyarakat berbilang kaum dan bahasa seperti Singapura.

Ia kemahiran bagi mengelakkan salah tanggapan, kesilapan makna dan penyampaian yang kurang tepat.

Menurutnya, sesuatu perkataan boleh membawa makna berbeza bergantung pada konteks.

Oleh itu, penterjemah perlu memahami niat daripada sesuatu mesej asal, sebelum menyampaikannya dalam bahasa lain.

Beliau berharap pertandingan tersebut dapat memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu, memperluas kosa kata peserta serta meningkatkan keyakinan mereka untuk berkomunikasi dalam lebih daripada satu bahasa.

“Teruskan membaca dan menggunakan bahasa Melayu dengan yakin.

“Siapa tahu, mungkin dalam kalangan anda akan lahir penterjemah, penulis atau pemimpin bahasa pada masa hadapan,” katanya.