Jika ada yang menyifatkan jika berada di pentas besar untuk berhujah merupakan perkara yang menggerunkan, tidak pula halnya bagi pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Nafeesah Mohammed Hadi.
Nafeesah, 15 tahun, yang nampaknya mewarisi kemahiran penceramah motivasi Islam dan bekas pembahas, Ustazah Shameem Sultanah, memberitahu Berita Harian (BH):
“Saya tidak gementar, saya teruja.”
Kata-kata itu diulangnya berkali-kali sewaktu diwawancara BH setelah merangkul gelaran Pembahas Terbaik Peringkat Akhir Bahas 4PM 2025 (Peringkat Sekolah Menengah), pada 31 Mei, di Auditorium Pusat Bahasa Serantau (RELC).
Perbahasan yang disertai 18 sekolah menengah dan madrasah itu adalah anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).
Madrasah Aljunied selaku pencadang tewas di tangan Sekolah Menengah Anderson setelah membahaskan mauduk, ‘Pemerintah mempunyai tanggungjawab utama dalam menangani masalah kesunyian warga emas di Singapura’.
Menurut Nafeesah yang melihat ibunya, Ustazah Shameem, 41 tahun, sebagai pencetus inspirasi, dia menanam tekad bergelar Pembahas Terbaik pada peringkat akhir pertandingan selepas terlepas peluang meraih gelaran tersebut pada pusingan awal perbahasan tersebut.
Walaupun pertandingan ini merupakan penampilan pertamanya dalam arena bahas, prestasinya amat mengagumkan dengan kehadiran di pentas serta hujah meyakinkan yang mampu menambat hati panel juri.
Nafeesah menjelaskan dia mula terdedah pada pengalaman berhujah di khalayak awam seawal usia 10 tahun.
Pada ketika itu, dia memenangi peraduan bercerita sehinggakan pengalaman itu membentuk keyakinannya untuk berhujah di depan orang ramai tanpa rasa gementar.
Di samping persediaan mental, Nafeesah berkongsi bahawa strategi perbahasannya adalah menyelitkan pantun dan bayangan, satu teknik yang menarik perhatian penonton dan menjadikan hujahnya lebih menarik.
“Apabila berlatih, saya pastikan saya berdiri yakin dan memperkukuh hujah saya secara terperinci dengan bukti-bukti kukuh,” katanya.
Satu perkara yang dititikberatkan ialah menghayati setiap hujah yang bakal disampaikan agar sama-sama dapat membawa hadirin pada sesi bahas itu dalam satu perjalanan mengupas mauduk yang diberikan.
Nafeesah, anak sulung empat beradik, turut berkongsi bahawa hari-hari menjelang peringkat akhir bukanlah semudah yang disangkakan kerana dia terpaksa menyusun semula jadualnya kerana menduduki beberapa kertas peperiksaan utama.
Apabila ditanya tentang perancangannya dalam dunia bahas, Nafeesah berkata dirinya sedang membuat persiapan bagi Kejuaraan Bahas Antara Institusi dalam bahasa Arab, anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di Kuala Lumpur, antara 18 dengan 21 Jun ini.
“Saya amat teruja. Seandainya Madrasah Aljunied berjaya di peringkat saringan dan layak menduduki 16 tempat terbaik dalam kalangan institusi yang bertanding, saya kembali ke gelanggang bahas untuk berhujah,” jelasnya.
Sementara itu, Syed Shameel Syed Mohammed Daneil Alkaff, 14 tahun, dari Sekolah Menengah Anderson, pula dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Keselurahan siri bahas 4PM untuk pelajar sekolah menengah.
Apa yang bermula sebagai gurauan mesra bersama rakan-rakannya dikatakan bertukar menjadi minat yang mendalam terhadap dunia bahas.
Selama dua bulan, Syed Shameel secara aktif mendapatkan maklum balas daripada guru Bahasa Melayunya dan menggunakan tunjuk ajar mereka untuk memperkemaskan hujah dan cara penyampaiannya.
“Sesi latihan yang intensif telah banyak meningkatkan kemahiran saya berfikiran secara kritis mengenai sesuatu isu,” ujar Syed Shameel.
Mengenang kembali perjalanannya, latihan yang kerap dikendalikan di sekolah membolehkannya memberi tindak balas pantas dan tepat semasa berbahas.
“Saya tekun mengetepikan masa tambahan untuk latihan bahas selepas sekolah selain mengulangkaji untuk peperiksaan,” katanya, yang berminat membimbing pelajar lain yang ingin menyertai pertandingan bahas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg