Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja keras Sekolah Menengah Anderson raih juara kali kedua

Peserta bukan Melayu bangga atasi cabaran bahasa jaya kemuka hujah bernas
Jun 16, 2025 | 5:30 AM
Juara debat bagi Bahas Sekolah Menengah,  Chau Yong Lin, Syed Shameel Syed Mohammed Daneil Alkaff, Winsen Lee, Sekolah Menengah Anderson,
Juara debat bagi Bahas Sekolah Menengah, anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), yang terdiri daripada (dari kiri) Chau Yong Lin, Syed Shameel Syed Mohammed Daneil Alkaff dan Winsen Lee dari Sekolah Menengah Anderson, meraih pengalaman bermakna mengupas topik semasa. Tiada dalam foto ialah Sofea Verena. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Selepas lapan minggu berkorban masa dan tenaga, pasukan bahas Sekolah Menengah Anderson berpuas hati dapat menjuarai pertandingan Bahas Peringkat Menengah 2025. 

Dalam perjalanan mereka mencapai puncak jaya, pasukan yang terdiri daripada Winsen Lee, 15 tahun; Syed Shameel Syed Mohammed Daneil Alkaff,14 tahun; Chau Yong Lin, 15 tahun; dan Sofea Verena, 14 tahun; itu banyak berbincang dan berusaha mengatasi setiap cabaran yang dihadapi.

Pada akhirnya, mereka berjaya mengatasi 17 sekolah lain yang turut serta dalam pertandingan anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) itu.

Di peringkat akhir pertandingan yang berlangsung di Auditorium Pusat Bahasa Serantau (RELC) pada 31 Mei lalu, Sekolah Menengah Anderson yang bertindak sebagai penyanggah menewaskan pihak lawan, Madrasah Aljunied Al-Islamiah, yang merupakan pencadang perbahasan.

Syed Shameel turut dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Keseluruhan siri bahas 4PM itu.

Mauduk yang dibahaskan ialah, ‘Pemerintah mempunyai tanggungjawab utama dalam menangani masalah kesunyian warga emas di Singapura’.

Ini merupakan kemenangan kedua Sekolah Menengah Anderson dalam pertandingan anjuran 4PM, dengan kemenangan terakhir diraih pada 2017.

Peringkat akhir pertandingan bahas itu turut dihadiri tetamu terhormat, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Rahim, yang bakal memegang jawatan sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), dua anggota kumpulan bahas Sekolah Menengah Anderson yang berasal dari Indonesia, Lee dan Chau, melahirkan rasa gembira dan mengakui ia merupakan satu cabaran besar bagi mereka menyesuaikan diri dengan pertuturan Bahasa Melayu. 

Lee berkata dia dan rakan sepasukannya berlatih setiap hari selepas sekolah dari 3 hingga 6 petang. 

“Kami perlu berusaha keras dalam membina struktur dan memperkayakan kosa kata.

“Kami bertutur dalam Bahasa Indonesia di rumah, jadi untuk mengungkap hujah yang kompleks dalam Bahasa Melayu memang memerlukan banyak usaha. 

“Kami bukan orang Melayu, tetapi kami cuba sedaya upaya untuk belajar,” ujar Lee. 

Chau pula berkata walaupun mereka berdepan dengan tekanan, mereka kekal tenang dan yakin sejak permulaan perlawanan. 

“Kami tahu kami akan menang. Pasukan lawan tidak menjawab soalan kami dan mengelak pertanyaan kami bagi banyak soalan,” katanya.

Syed Shameel pula akur kerja keras tanpa mengira penat lelah menjadi antara faktor kejayaan pasukannya.

Mereka melalui latihan intensif di sekolah dan menerusi Zoom sewaktu Ramadan.

Guru yang bertindak sebagai jurulatih pasukan, Cik Filzatul Azreen Gazali, turut berkongsi keadaan apabila skrip hujahan pasukan perlu diolah pada malam sebelum pertandingan. 

“Mereka benar-benar mendengar nasihat guru dan menukar kata kunci dalam hujah mereka.

“Malah, pada hari pertandingan pun, mereka masih gigih membuat penyesuaian pada kertas dalam tangan,” katanya.

Pasukan yang bertanding dinilai berdasarkan penguasaan bahasa dan kekuatan berhujah. 

Selain itu, aspek sampingan yang turut dinilai termasuk membidas atau merumuskan hujah, serta strategi pasukan secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Pengerusi Akademi Bahas 4PM, Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat, berkata pertandingan bahas mengandungi ciri-ciri seperti pantun dan peribahasa, yang merupakan komponen penting  dalam warisan budaya.

“Budaya sangat berkait rapat dengan bahasa. 

“Jika kita tidak menjaga bahasa kita, kita kehilangan sebahagian besar daripada identiti budaya kita,” katanya.

Beliau turut memuji prestasi kededua pasukan peringkat akhir yang mampu mengetengahkan hujah bernas di samping mempertingkatkan penyampaian mereka sepanjang pertandingan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg