“Adalah fikiran seseorang itu dizahirkan dengan bahasa cakapan atau bahasa tulisan.” Jalan Bahasa Melayu (1937).
Pembangunan sebuah negara dan masyarakat memerlukan pertumbuhan prasarana yang datang dari sumber dana, perancangan dan pelestarian.
Pembangunan politik harus juga seduduk dan selari dengan pembangunan kebudayaan dan intelektual.
Bidang bahasa harus terbangun kerana bukan saja ia sebagai alat perhubungan, tetapi juga wahana untuk penghasilan dan penyampaian ilmu pengetahuan.
Mohd Said Sulaiman (1876-1955), seorang tokoh besar dalam kerajaan Johor telah melakar kerja dan khidmat bersungguh dalam usaha penyusunan bahasa, dan penerbitan buku bacaan untuk sekolah ataupun bacaan umum.
Dengan terdirinya sekolah-sekolah, bahan bacaan sangat diperlukan, serta bahasa Melayu yang dipakai dalam dunia pendidikan dan pentadbiran harus standard dan bermutu.
Senarai kerja penyusunan dan penerbitan oleh Mohd Said sangatlah mengkagumkan. Usaha beliau ini jarang diketemukan di tempat lain.
Inilah satu contoh bahawa perancangan dan penyelarasan bahasa Melayu telah dilihat sebagai sebahagian dari usaha ke arah pembinaan Negeri Johor yang moden.
Ertinya dengan bahasa yang bermutu, pembangunan negeri cepat dipacu dan maju.
Hari ini kita sering mendengar bahasa dikaitkan dengan identiti.
Benar, tetapi itu belum memadai, mahupun wajar.
Bahasa itu adalah sarana untuk muatan ilmu terhasil dan tersebar. Dengan bahasa pengungkapan intelektual boleh berlangsung.
Bahasa itu menjadi manusia berseni dalam mengungkapkan keindahan. Itulah sisi estetik dari bahasa.
Dengan bahasa kesejarahan sesuatu kelompok itu akan menyerlah, selain ia menjadi alat komunikasi utama dalam kalangan mereka.
Dalam konteks masyarakat moden, bahasa terlengkap diajarkan penggunaan yang baku, sekali gus bahasa juga menjadi alat pengawalan, selain juga alat yang boleh menentukan kemajuan.
Terbukti dalam sejarah, tiada negara-bangsa yang boleh membangun sekiranya bahasanya ditinggalkan.
Pemodenan bahasa adalah alat yang menyampaikan pemodenan itu sendiri.
Bahasa moden menyalurkan pandangan dunia yang rasional, dengan menghargai pemikiran saintifik.
Pemodenan bahasa membolehkan pembuatan ilmu semakin rancak, serta membolehkan ilmu dan kepandaian luar diterjemah untuk pemanfaatan setempat.
Namun tiada akan dapat berlangsung apa jua kemajuan sekiranya tiada kepimpinan jitu atau pelaku manusianya, yang bukan saja punya wawasan, tetapi konsisten dalam mengusahakan sesuatu yang dianggap penting untuk pembangunan masyarakat dan negerinya.
Itulah yang kita dapati pada ketokohan Mohd Said Sulaiman.
Beliau dilahirkan di Telok Blangah, Singapura pada 1876. Menerima pendidikan, di Sekolah Melayu Telok Blangah, dan kemudian ke Institusi Raffles.
Pada 1898, beliau mula berkhidmat dalam kerajaan Johor sebagai juruwang, kemudian sebagai Ketua Pejabat Pos, dan nantikan dipilih menjadi Setiausaha Sulit yang dipegangnya selama 42 tahun (1910-1952).
Beliau juga menyertai Johor Military Forces (JMF) berpangkat Mejar. Pada 27 October 1955, beliau meninggal dunia di Johor Bahru.
Walaupun berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Sultan Johor, beliau berminat, peduli dan bersungguh untuk menghasilkan penulisan yang jumlahnya banyak.
Beliau menulis dalam pelbagai bidang yakni, bahasa, sejarah, kebudayaan, agama, sastera, biografi, selain menyunting dan menterjemah teks.
Sejarawan, Arba’iyah Mohd Noor, yang telah mengkaji tokoh ini, menyifatkan beliau sebagai tokoh prolifik yang menghasilkan “pelbagai bidang ilmu pengetahuan sama ada bidang sejarah, bahasa, kesusasteraan, agama dan sebagainya… seorang yang bijaksana dan berpengetahuan luas dalam ilmu karang-mengarang.”
Pada 1888, Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa – diasaskan oleh Dato’ Abdul Rahman Andak, seorang pegawai tinggi dalam Kerajaan Johor – ia berniat menghimpunkan cerdik pandai dalam membangunkan ilmu dalam bahasa Melayu di negeri itu.
Namun ia tidak dapat bergerak banyak.
Hanya pada 1904, Pakatan ini dicergaskan kembali di bawah pimpinan Dato’ Haji Mohamad Said.
Umumnya Pakatan Bahasa ini bermatlamat: memaju dan memelihara bahasa Melayu dan tulisan Jawi; merencana ke arah pembakuan ejaan dan istilah, selain mencipta yang baru.
Juga ia menyebarkan ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu melalui ceramah dan penerbitan, serta menubuhkan perpustakaan.
Pada 1934, Sultan Abu Bakar berkenan Pakatan ini mengambil nama baru, yakni Pakatan Bahasa Melayu, Persuratan Buku Diraja, atau singkatan namanya PBmPB Diraja.
Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai ‘The Royal Society of Malay Literature of Johore’.
Mohamad Said Sulaiman diamanahkan memimpin badan bahasa ini.
Sebuah jurnal berkala yang dinamai Peredar dikeluarkan, dan ia dicetak oleh Al-Ahmadiah Press di Singapura.
Mohd Sarim Mustajab yang menulis tentang elit pentadbir Johor dan pengembangan bahasa Melayu berpendapat Pakatan Bahasa “berjaya mencipta istilah-istilah baru seperti perkataan ‘pejabat’, ‘kerja raya’, ‘setiausaha’ dan sebagainya yang hingga hari ini masih terus digunakan.
Ia juga “berjaya menarik minat golongan intelek Melayu Johor dalam usaha mereka untuk memperkayakan bahasa Melayu”.
Namun, waktu itu, Johor sudah pun di bawah naungan British, dan pemerintah kolonial tiada kepentingan apa-apa untuk memajukan bahasa Melayu.
Sebagaimana Rustam Sani berpendapat: “Badan itu pada asasnya tidaklah mendapat tunjangan daripada pemerintahan kolonial, dan minat untuk memantapkan bahasa Melayu sebagai salah satu unsur keperibadian bangsa Melayu pada asasnya masih merupakan asas perjuangan dan kegiatan organisasi yang didukung oleh golongan rakyat.”
Memajukan bahasa memerlukan kegigihan luar biasa.
Pada zaman Sultan Abu Bakar (1862-1895) terbitnya Kitab Pemimpin Johor pada 1878 yang ditulis oleh Muhammad Ibrahim Munshi.
Ada juga beberapa buku yang lain dihasilkan, namun banyak yang berpegang dengan sistem nahu bahasa Arab.
Bagi Mohd Said, belajar dari sistem tatabahasa Inggeris boleh membantu sedikit dalam menyusun bahasa Melayu.
Ini dapat kita perhatikan dalam beberapa buku bahasa yang beliau hasilkan dan telah terbitkan kembali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
Antaranya Penokok dan Penambah dalam Bahasa Melayu (1992), Jalan Bahasa Melayu (1993), Buku Katan Kamus (2002).
Dalam beberapa penulisan beliau, seruan Munshi Abdullah diselitkan, sehingga kita boleh menjejaki bahawa pemikiran Mohd Said Sulaiman ini tidak menghairankan kerana beliau sendiri terdidik di Singapura, terbiasa membaca karya Munshi yang banyak menyentuh tentang bahasa.
Dalam bukunya Jalan Bahasa Melayu – ada lampiran tentang singgungan Munshi tentang bahasa. Yang lebih pentingnya keterikatan beliau dengan Munshi Ibrahim, anak Munshi Abdullah.
Malah buku Kisah Pelayaran Munshi Ibrahim, telah disunting oleh Mohd Said untuk diterbitkan.
Bidang sejarah adalah satu lagi bidang yang mendapat perhatian Mohd Said.
Penulisan sejarah ini boleh kita kaitkan dengan lanjutan daripada tradisi istana yang pembesarnya merakam riwayat Sultan dan kerajaan.
Karya sejarah juga diperlukan untuk pengetahuan umum dan bahan bacaan sekolah, selain membangun narasi sejarah rasmi yang diperlukan oleh penguasa.
Umumnya sejarah golongan memerintah yang diberikan keutamaan.
Dua karya utama beliau, Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar, dan Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Ibrahim.
Kedua-dua karya ini telah diterbitkan kembali oleh Yayasan Warisan Johor.
Dalam Hikayat Johor yang pertama itu, dimulakan sebegini:
“Bahawa adalah hikayat yang kecil ini menceritakan dengan ringkas hal negeri Johor ialah pada zaman dahulu kerajaannya di Johor Lama dan daripada darah dan titisan Datuk Seri Maharaja Bendahara Padang Saujana Johor berpecah menjadi raja-raja bagi beberapa negeri-negeri Melayu yang ada sekarang.
“Dan lagi ada menyatakan bagaimana mulanya Singapura diredakan oleh Sultan Hussein dibuka oleh bangsa Inggeris dan perihal Sultan Ali menyerahkan Johor kepada Temenggung Ibrahim.”
Penulisan beliau juga kaya dengan maklumat tentang pemerintahan Johor sewaktu ia berpusat di Telok Blangah, sekali gus mengingatkan kita betapa erat hubungan Johor dan Singapura dalam sejarah.
Daripada senarai penulisan dan penerbitan yang diusahakan oleh Mohd Said, dapat kita jejaki selera intelektual beliau yang besar.
Kemampuan ilmu bahasa tertuang pula pada deretan karya sastera dan budaya seperti menyusun Perihal rangkapan, gurindam dan seumpamanya (1940), Perihal adat Melayu: mengandungi Kanun Sultan Sulaiman Riau dan ringkasan kanun Sultan Muhammad Shah Melaka (1938).
Buku tentang Pakai Patut Melayu, diterbitkan kembali pada 2008.
Penulisan syair sangat diminati beliau, sehingga terhasil, Syair Riwayat Yang Amat Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang, Syair Melayu, Syair Panduan Perkahwinan, dan beberapa yang lain, termasuk buku berzanji.
Begitu juga karya agama mendapat perhatian beliau.
Antara yang diusahakannya ialah Penamaan bagi Nabi Muhammad S.A.W, Pohon Agama Islam, Perihal Kejadian Alam dan Nabi-Nabi Yang Terbilang, Risalah Maksud-maksud bagi Permaanaan Surat Yassin, dan Syarah mengingatkan rukun Islam dan sembahyang waktu.
Dalam jurnal Peredar, terbitan Pakatan Bahasa, Mohd Said menyeru masyarakat Melayu memikirkan tentang nasib dan masa depannya.
Ambillah iktibar daripada sejarah, menurut beliau:
“Shahdan, patut jua diambil ke dalam fikiran apakah jadi bangsa Melayu selama 120 tahun dalam didikan bangsa yang adil ini dan apa perbezaan dengan bangsa Melayu pada zaman berkerajaan di Melaka menakluki dan menaungi negeri-negeri lebih dari Sumatera dan Pulau Lingga dan Bentan dan juga adakah Melayu di sini lebih usaha, pintar dan kaya daripada bangsa-bangsa yang dipertawani oleh Holland – jika tiada, maka jawapannya itu tiada sukar iaitu terkhasnya bangsa Melayu di sini hidupnya memadai dan tidak galak pada menyokong sesama sendiri adanya.”
Entah ia suatu pemerhatian atau penyesalan, banyak lagi yang boleh kita dalami daripada riwayat kerja dan gagasan yang dipegang oleh tokoh ini.
Sesungguhnya Mohd Said Sulaiman ialah seorang petinggi negeri yang kepedulian tentang ilmu dan pendidikan sangat tinggi.
Inilah ketokohan yang jarang ketemui.
Karya-karya utama beliau diterbit kini, bukan sekadar untuk dihargai, tetapi suatu bukti akan kesaksian sejarah dari anak dan pegawai negeri yang cemerlang berbakti.
Maka wajarlah pada kalungan Pendeta yang beliau dianugerahi.
Daripada buku-buku yang beliau hasilkan, selain soalan nahu, terlihat usaha memperkenal istilah, mencari padanan istilah, dan memperkenalkan klasifikasi kekata.
Malah menariknya, beliau menegur kepada bahasa Jawi yang disebut, kerana bahasa itu seharusnya dinamai sebagai bahasa Melayu.
Sedikit kita menukil pendapat beliau yang tertulis dalam rangkap syair:
“Ada pula kemalangan suatu
Huruf Arab dan tambahannya itu
Tidak disebutkan tulisan Melayu
Tulisan Jawi digelar begitu
Konon berpadu tulisan Rumi
Keduanya itu Melayu mempunyai
Baiklah siasat perkara ini
Jangan diikut sedap di hati
Sepatutnya huruf Melayu disebuti
Huruf Arab asalnya Parsi
Bangsa Eropah banyak sekali
Huruf Roman dipakai dimiliki
Jikalau Melayu tidak ambil tauladan
Menggelar Jawi itu kerugian
Menghilangkan mutu sendiri kebangsaan
Tambahan Jawi tiada berpengertian
Orang Arab di negerinya
Jajahan Melayu tiada diketahuinya
Jajahan Jawi negeri Melayu disangka
Bukankah Melayu bangsa yang lima
Makna Jawi supaya difahamkan
Seakan-akan Jawa iaitu tujuan
Bukan salah mengata demikian
Dengan Negeri Jawi tiada berkenaan”
Inilah dari lembaran sejarah, tokoh yang mahu membangunkan bahasa di negerinya.
Sejarah bersaksi jadi teladan, dengan syair kuntuman buat Mohd Said Sulaiman si Pandai Bahasa yang berusaha kuat untuk kemajuan bangsa dan bahasa:
“Inilah Dato’ Setiausaha Sulit
Rajin menulis rajin menerbit
Perhatian ilmu bukan sedikit
Perihal bahasa sama dikait
Lembaran sejarah dia menggamit
Syair dan madah pandai dibait
Kitab agama disusun dikepit
Inilah ilmuan kerja tak lengit
Dengan ilmu pemahaman tak sempit
Cintakan bahasa semangat dibangkit
Adat dan agama juga diulet
Kemajuan bangsa sama diapit.”
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.
“
“Bagi Mohd Said, belajar dari sistem tatabahasa Inggeris boleh membantu sedikit dalam menyusun bahasa Melayu. Ini dapat kita perhatikan dalam beberapa buku bahasa yang beliau hasilkan dan telah terbitkan kembali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Antaranya Penokok dan Penambah dalam Bahasa Melayu (1992), Jalan Bahasa Melayu (1993), Buku Katan Kamus (2002). Dalam beberapa penulisan beliau, seruan Munshi Abdullah diselitkan, sehingga kita boleh menjejaki bahawa pemikiran Mohd Said Sulaiman ini tidak menghairankan kerana beliau sendiri terdidik di Singapura, terbiasa membaca karya Munshi yang banyak menyentuh tentang bahasa.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg