Sastera membangkitkan tarikan kepada sejarah, sedangkan sejarah memberikan muatan padu pada sesebuah karya sastera.
Karya sastera sejarah yang diilhamkan oleh penulis besar, mampu menggerakan visi budaya ke depan.
Namun, ada juga karya sejarah yang sifatnya cenderung kepada romantisisme yang pada hujungnya membuat kita memandang ke belakang, sehingga yang silam itu dianggap zaman bahari.
Ada pula karya sejarah ataupun sastera sejarah yang lebih bersifat pemaparan tema sejarah untuk mendidik pembaca umum, agar sejarah bangsa masa lalu dijadikan iktibar dan teladan.
Segi yang ketiga inilah yang dapat kita kesani daripada penulisan sastera sejarah oleh Shaharom Husain.
Beliau yang lahir pada 1919, berasal dari Batu Pahat, Johor.
Pada 1939, Shaharom mendapat pendidikan sebagai guru pelatih Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (SITC).
Beliau turut mengikuti kursus sarjana muda di Universiti Indonesia.
Sepanjang kerjaya, beliau berkhidmat dalam negerinya, Johor, walaupun sering keluar masuk ke Singapura kerana bergiat dengan kerja pementasan dan penerbitan.
Di Singapura, beliau kerap bekerjasama dengan sasterawan, Harun Aminurrashid (HAR).
Shaharom ialah penulis yang hidup dalam tiga zaman, dari penjajahan British, pendudukan Jepun hinggalah Malaya yang merdeka.
Sepanjang hayat kerjaya beliau berkhidmat dan berkarya di Johor.
Negeri ini telah menyaksikan pemodenan bertahap sejak akhir abad ke-19.
Johor adalah negeri yang menyaksikan sistem persekolahan dan penerbitan Melayu berjalan dengan agak baik.
Sejumlah penulis terkenal lahir dari Johor. Antaranya Abdullah Sidek, Usman Awang, Adibah Amin, Anis Sabairin dan ramai lagi.
Apatah lagi dengan tempias dari Singapura kehidupan sastera dan bahasa di negeri itu bergerak cergas.
Rasa kenegerian Shaharom terungkap dengan sangat tinggi.
Johor negeri asalnya yang beliau banggakan. Negeri ini punya sejarah panjang dan gemilang. Inilah yang menjadi matlamat.
Sisi sejarah silam Johor dibingkaikan sebagai kisah perjuangan, agar dapat ditarik hikmah kehidupan yang tahu erti maruah, keadilan, kesetiaan dan perlawanan demi mendapatkan hak kita.
Sejarah di Selatan Semenanjung termasuk Singapura, menjadi tumpuan utama beliau.
Sebagai guru, Shaharom prihatin medium pelajaran dan gagasan yang dapat terungkap dan ditangkap dengan lebih mudah dan berkesan.
Pengalaman belajar dan mengajar juga membuat beliau insaf tentang kurangnya bahan bacaan untuk pelajar dan masyarakat Melayu.
Itulah yang mendorong beliau ligat menghasilkan penulisan dalam bentuk buku dan makalah, di samping sering menulis dalam akhbar dan majalah.
Shaharom ialah seorang penulis berprolifik, yang menghasilkan bermacam karya. Daripada sastera ke sejarah, daripada drama ke budaya, semua itu mendapat perhatiannya.
Sebagai pendidik, beliau terpanggil untuk melakukan sesuatu untuk bangsanya.
Di saat beberapa rakannya bergiat dalam lapangan politik, Shaharom memilih dunia penulisan.
Namun Shaharom bukanlah pengamat politik yang mendalami hal kepartian, ideologi politik, soal ekonomi-politik yang menuntut keadilan sosial dan membicarakan persaingan kelas, dan aktivisme gerakan, serta pentingnya pemodenan elit.
Konsep politik sedemikian tidak menjadi ramuan utama dalam pemikiran dan penulisan beliau.
Guru pada zaman beliau belum terikat dengan pengkhususan tegar.
Guru zaman beliau, terpanggil untuk menulis agar bangsanya faham dan hadir dalam sejarah.
Dalam ceramah yang disampaikan oleh Pendeta Za’ba di Singapura pada Oktober 1950, bertempat di dewan Sekolah Melayu Kota Raja, Shaharom sempat merakamnya.
Ia menjadi cetusan tekadnya untuk menulis dan menyumbang dalam masyarakat.
“Banyakkan karangan-karangan dalam bahasa Melayu. Jasa pengarang-pengarang selama-lamanya hidup.
“Buatlah karangan-karangan cerita gurindam, syair dan seloka dengan seberapa banyak yang boleh dari sekarang juga.
“Tetapi hendaknya karangan-karangan itu buat sendiri, jangan sekali-kali meniru daripada karangan-karangan orang lain.
“Dengan cara begini, maka pihak si pengarang-pengarang akan beruntung, iaitu dihargai oleh bangsa-bangsa lain...
“Dengan cara begitulah orang Melayu dapat memperkenalkan persuratan bahasanya sendiri. Bukannya sekarang (tetapi) akan datang.
“Oleh sebab kita sekarang ini tidak boleh mengaku semuanya. Kita berkehendakkan pengakuan itu, tetapi pada masa 100 tahun yang sekali apa-apa perbuatan tuan-tuan itu emas.
“Orang-orang yang kemudian kelak akan menilainya perbuatan dan buah tangan tuan-tuan itu.”
Terbukti benar kata-kata hikmah Za’ba itu.
Shaharom mengambil iktibar daripada seruan Za’ba, dan senarai panjang karya Shaharom membuktikannya.
Shaharom bukan saja berbakat menulis karya sastera, malah menjadi pemerhati sastera yang tekun.
Ketekunan itu terlihat daripada bukunya, ‘Antara Pengarang-Pengarang Novel Melayu’, terbitan Pustaka Melayu di Singapura pada 1963.
Buku itu membicarakan karya Ahmad Bakhtiar (1902-1961); Harun Aminurrashid (1907-1986); Ishak Haji Muhammad (1909-1991); Abdullah Sidek (1913-1973); dan Edrus (1911-1969).
Shaharom menyaring isi dan gagasan yang dibawa oleh setiap penulis tersebut.
Penulisan beliau menunjukkan komitmen tinggi untuk mendidik dengan memperkenal, menghurai dan menilai sesuatu karya.
Yang ditumpukannya ialah kekhususan seorang penulis, tema utama yang ditulis, persoalan masyarakat yang dikupas, dan pendirian apakah yang dipegang oleh penulis tersebut.
Sisi mendidik yang kuat justeru mengayakan karyanya. Baik dalam sandiwara dan memoirnya, akan dapat dirasakan kepekaan seorang guru yang menganggap tulisan dan bahan bacaan ialah wahana yang dapat merubah pelajar dan masyarakatnya.
Dalam banyak hal, penulisan Shaharom banyak mirip dengan HAR yang pernah menjadi guru beliau di SITC.
Beliau kagum dengan syarahan HAR yang menghuraikan perjuangan rakyat Indonesia menentang penjajahan Belanda.
Beliau sendiri keluar masuk Singapura bersama Cikgu Abdullah Sidek, malah pernah bergiat aktif dalam Lembaga Bahasa Melayu, yang didirikan oleh kalangan guru Melayu seperti HAR dan Cikgu Mahmud Ahmad, berbeza dengan kumpulan Angkatan Sasterawan ‘50 (Asas ‘50) yang terdiri daripada pengiat muda.
Minat Shaharom kepada sejarah yang terganding dengan sastera menjadikan karyanya berisi dan berwawasan.
Sejarah mendapat premium tinggi kerana ia dianggap sebagai asas sesuatu bangsa mengenal dirinya sendiri, megah pada budayanya.
Menyedok dari telaga sejarah penting agar anak bangsa dapat berasa bangga dengan kejayaan bangsa mereka yang terdahulu.
Pastilah ini sangat penting, namun sejarah nenek moyang itu sendiri tidak boleh disamakan dengan sejarah penguasa feudal yang pernah berkuasa.
Sejarah harus menjadi pedoman untuk bergerak ke depan, dan bukan masuk ke rimba kemulukan feudal.
Walaupun banyak sejarah yang dikedepankan Shaharom datang dari era feudal, namun tidak nampak pula pemujaan feudalismenya yang kental.
Sebaliknya beliau cuba memaparkan sudut keadilan, menolak kekejaman dan kezaliman.
Baginya, sejarah harus mengangkat mutu dan martabat bangsa.
Maka sejarah mesti ditulis oleh anak bangsa sendiri. Tafsiran sejarah penjajah mesti digantikan dengan versi anak negeri yang sedar bahawa suara dan kepentingan mereka tidak terwakili.
Membaca sejarah tentunya memerlukan ketekunan dan pembacaan meluas.
Pengalaman beliau mengajar sejarah di maktab perguruan membenarkan beliau menguasai sejarah silam kerajaan dan bangsa Melayu.
Shaharom mahukan lebih banyak suara peribumi dalam wacana sejarah.
Buku sejarah yang sedia dalam zamannya belum memadai. Jadi menekuni sejarah adalah seruan intelektual.
Juga dalam konteks Tanah Melayu di bawah penjajahan, British meragui segala bentuk semangat kebangsaan Melayu.
Tetapi yang lebih menjengkelkan beliau adalah apabila para pegawai Melayu atasan yang bertindak keras terhadap guru dan pelajar Melayu yang memperlihat kecenderungan kebangsaan yang tinggi.
Dalam ‘Memoir Shaharom Husain’, beliau menulis: “Bila kita memahami sejarah, kita memahami pula kenyataan masa kini, dan dengan kefahaman itu kita akan berupaya mengendalikannya untuk disesuaikan dengan masa akan datang yang dikehendaki.”
Sewaktu di SITC, beliau senang kerana berpeluang mengajar sejarah.
“Menerusi pelajaran sejarah inilah dapat saya menanamkan rasa kesedaran, keinsafan dan tanggungjawab kepada sekalian penuntut Melayu.”
Mana Sikana menyebut Shaharom sebagai ‘Sasterawan Sejarah’.
Bagi Shaharom, novel sejarah boleh menyalurkan “kesedaran tentang kegemilangan kerajaan bangsanya di masa lampau.
“Dengan jalan demikian akan membangkitkan semula rasa kebangsaan dan membina semua identiti bangsanya yang hampir tenggelam…”
Baginya fakta dan perspektif (tafsiran) sejarah amatlah penting. Ini harus terkandung dalam buku bacaan umum, mahupun yang telah disulamkan dalam karya sastera.
Buku sejarah memanglah perlu, namun belum tentu ia dapat diakses oleh masyarakat banyak.
Di sinilah peranan sastera untuk menjadi muatan sejarah. Drama sejarah terangkum sama.
Shaharom memulakan dengan menulis karya novel sejarah, kemudian diolahkan menjadi drama sejarah. Dengan mendramakan, sejarah dapat diimaginasikan oleh khalayak lebih besar.
Rasa kesejarahan boleh wujud sekiranya ramuan sastera dan budaya digandingkan.
Sikapnya yang memberi premium kepada sejarah menjadikan beliau giat menuangkan cerita sejarah ke dalam karyanya, baik untuk novel atau drama pentas.
Menarik dalam teks, ‘Sandiwara Tun Seri Lanang’, terbitan Pustaka Melayu Singapura, ia dimulakan dengan pengantar panjang tentang riwayat hidup Tun Seri Lanang.
Pastinya ini sangat membantu bagi mereka yang mahu mementaskan sandiwara itu.
Shaharom sendiri menyebut niat beliau menulis sandiwara:
“Buku ini merupakan hasil ciptaannya iaitu daripada penyiasatannya berkenaan pengarang agung bangsa Melayu di zaman Kerajaan Melayu Johor dahulu iaitu Tun Seri Lanang seorang besar Kerajaan Melayu Johor yang cintakan sejarah tanah air dan kesusasteraan Melayu.
“Dalam buku ini akan terdapat kandungannya pada permulaannya iaitu riwayat hidup Tun Seri Lanang, kemudian riwayat hidup Tun Seri Lanang itu digubah menjadi sandiwara menceritakan beliau mendapat tugas mengarang Kitab Sejarah Melayu dari Sultan Abdullah Maayah Shah, Sultan Johor.
“Kita harap buku ini akan dapat dipergunakan oleh sekolah kerana memperkenalkan sejarah tanah air dan orang besar tanah airnya.”
Dalam drama sejarah yang menyelitkan rasa kebangsaan, ada juga kritikan halus kepada kepimpinan Melayu yang masih tebal pemikiran feudalismenya.
Begitulah yang dapat kita kesani daripada drama bertajuk, ‘Si Bongkok Tanjung Puteri’, yang beliau tulis berdasarkan sejarah lisan yang dikatakan terjadi di Johor pada abad ke-19.
Drama itu menampilkan seorang wira bernama Si Bongkok. Niatnya untuk mempertahan kebebasan daripada kuasa luar dan kepimpinan sendiri yang dianggapnya tidak adil.
Namun cara si Bongkok bersalahan dan melanggar etika dan perundangan. Akhirnya wira itu gugur, sehingga disebutkan pemergiannya begini:
“Sayang, Si Bongkok seorang perwira bangsa
Mati tak berjasa.
Segalanya berlaku kerana tipis keagamaan,
Lemah akal,
Dan hilang peri kemanusiaan.
Si Bongkok lupa,
Tiap manusia dan dunia,
Kalau mahu aman,
Jangan lepas dari tiga undang-undang
Undang-undang Adat
Undang-undang Negara
Undang-undang Agama.”
Dalam terbitan buku drama itu tercantum maklumat: “Bahan dan inspirasi terkumpul di antara Changi dengan Tanjong Pengeleh Pengerang dalam tahun 1956.”
Karya itu pertama dipentaskan di Johor, dan keduanya di Panggung Victoria Singapura pada 30 Nov – 2 Disember 1960 oleh Persatuan Persuratan Pemuda-Pemudi Melayu (4PM).
Pementasan itu dapat mengutip penjualan tiket sebanyak $3,000.
Inilah drama yang mendapat sambutan di seluruh Malaya nanti, sehingga ada stesen radio yang membuat sedutan daripada drama itu.
Shaharom telah meninggalkan senarai panjang karya yang kaya dengan olahan sejarah, yang terungkap pendirian tegas.
Bahawa bangsa yang terjajah mesti berani mengugah dan merubah, kerana dengan itu saja mereka dapat mengembalikan maruah bangsa.
Shaharom ialah tukang bicara pada zamannya. Beliau pendidik ulung yang tidak jenuh menyemai cinta sejarah, cinta watan dan cinta budaya bangsa.
Sejarah harus dibilang, tradisi lama dipilih dijulang, dan pesan dan ilmu diperaga dan dijulang.
Itulah usaha seni, sastera dan intelektual yang dibangunkan oleh Shaharom.
Kata renungan daripada beliau: “Bahasa ialah suatu yang hidup, bergerak, membesar dan meluas dari masa ke masa. Kalau tidak diikuti perkembangannya, tertinggallah kita di belakang.”
Itulah juga yang dapat kita kesani daripada cakerawala ilmu beliau yang bertungkus lumus menulis, berbicara dan mementas dunia sastera dan sejarah.
Dengan Shaharom, khazanah bangsa mengharum.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan, Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera), Singapura. Dr Azhar Ibrahim Alwee, ialah antara anggota panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg