Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penulis Na Tien Piet Cina Peranakan pandai membait 

Dengan nama pena, ‘Si Kalam Langit’ wartawan asal Bengkulu dikenali sebagai ‘Baba Na’, hasilkan syair kaya maklumat dan pendapat
Jun 29, 2025 | 5:30 AM
Na Tien Piet, akhbar Bintang Timor
Akhbar, ‘Bintang Timor’ yang diterbitkan di Singapura pada 1850-an mengetengahkan keratan berita tentang Sultan Abu Bakar tulisan wartawan berdarah Cina Peranakan asal Bengkulu, Na Tien Piet. - Foto fail

“Dimasukkan karangan di surat khabar

Diwartakan segala panjang dan lebar

Kalam Langit nama termuktabar

Karang mengarang tertib dan sabar”

Nusantara semenjak dekad-dekad akhir abad ke-19 memperlihatkan rangkaian perhubungan yang pesat.

Penerbitan akhbar di satu tempat, boleh juga sampai ke daerah lain.

Penulis atau wartawan menjadi penghubung antara rantau dengan bahasa Melayu masih menjadi lingua franca di rantau ini.

Dunia percetakan dan persuratkhabaran kemudian melahirkan sekumpulan wartawan dan penulis.

Surat khabar yang terbit di kota pelabuhan seperti Singapura, Pulau Pinang, Batavia dan Surabaya umumnya dipelopori oleh pengusaha Jawi Pekan, Cina Peranakan dan Arab.

Walaupun peredarannya terhad, namun ia dilanggani oleh orang-orang besar dan ternama di rantau ini.

Dunia Persuratkhabaran di Alam Melayu

Percetakan membawa fasa sejarah yang besar di rantau ini.

Dengan percetakan lahir persuratkhabaran yang menyebarkan berita dengan lebih luas dan cepat.

Ertinya daerah yang berbahasa Melayu, semakin rapat dengan sebaran akhbar.

Kemudian berdatang pula percetakan buku dan majalah, dan ilmu baru makin tersebar, sama segerak dengan terdirinya sekolah-sekolah.

Pertukaran idea melalui bahasa melahirkan sejumlah Munshi dan akhirnya beberapa cerdik pandai tampil menguasai lebih daripada satu bahasa.

Perkembangan akhbar pula lahir sebarisan wartawan, yang juga mengambil peranan penulis karya sastera.

Bermulalah era pewarta, yang berbeza dari era pujangga dan perawi yang menulis untuk kepentingan kelompok yang memerintah.

Wartawan pula menulis untuk hebahan ramai, dengan maklumat dan pendapat sama terganding.

Itulah dunia kewartawanan yang diceburi Na Tien Piet, seorang Cina Peranakan asal Bengkulu kelahiran tahun 1836 M.

Beliau menjadi wartawan dalam Pemberita Betawi, dengan mengambil nama pena, Kalam Langit.

Baba Na teruja dengan kemasyhuran Sultan Abu Bakar (1886–1895) sehingga diberikan liputan dalam akhbar beliau.

Datuk Bentara Luar Johor, Mohamad Salleh Perang, (1841-1915), yang tertarik dengan rencana yang beliau tulis dalam Pemberita Betawi berkenaan Sultan Johor itu.

Sewaktu bermastautin di Singapura, beliau telah menulis keratan berita tentang Sultan Abu Bakar dalam akhbar, Bintang Timor, keluaran Singapura.

Semenjak itu, beliau menjalin hubungan baik dengan Datuk Bentara Luar.

Baba Na malah telah diundang ke Johor untuk menghadiri majlis perkahwinan puteri Sultan Johor.

Beliau turut diundang ke Istana Tyersall milik Sultan Johor yang terletak di Singapura.

Daripada pengalaman beliau inilah nanti terhasil, ‘Shair Almarhum Baginda Sultan Abu Bakar di Negeri Johor’ (1896).

Temasya di istana itu diceritakan, selain segala perihal tentang tokoh, peristiwa dan pemerintahan Sultan Abu Bakar sampailah baginda mangkat di London pada 1895.

Dalam Tawarikh Dato’ Muhammad Salleh Perang, ada tercatat bahagian tentang Na Tien Piet meminta Datuk Bentara Luar untuk menceritakan riwayat dirinya, sehingga itulah yang terhasil Tawarikh tersebut.

Datuk Bentara Luar inilah daripada keturunan Datuk Perang, orang kuat Temenggong Abdul Rahman di Singapura dahulu.

Syair yang ratusan panjangnya ini merakam kehidupan istana, tokoh-tokoh, isu-isu lain dalam masyarakat.

Syair ini juga adalah antara ratusan syair yang mendapat tempat dalam masyarakat Melayu yang giat dikumpul dan dicetak pada hujung abad ke-19.

Kini syair itu sudah diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor diselenggarakan oleh Profesor Noriah Mohamed.

Ia terbahagi kepada dua bahagian, dengan setiap satu bahagian mengandungi 700 rangkap syair.

Syair ini juga adalah antara ratusan syair yang mendapat tempat dalam masyarakat Melayu yang giat dikumpul dan dicetak pada hujung abad ke-19.

Syair-syair yang terkandung berunsur sejarah dan rakaman sosial sangat penting diperhati dan dihayati kerana ia boleh menyalurkan ‘a sense and passion of history’.

Maksudnya ada singgungan khas, sehingga penceritaan tidak kaku dan membosankan.

Pastinya syair sebegini adakah dokumen kebudayaan dan sejarah, yang boleh kita bandingkan dengan lain-lain dokumen sejarah atau sezaman yang lain.

Maka peri penting syair sebegini wajar mendapat perhatian kita.

Pertama, penceritaan daripada syair itu adalah sebahagian daripada kesaksian sejarah, yang dialami, atau diperhatikan.

Kedua, bentuk syair memang sesuai dalam merakam tokoh atau peristiwa.

Ketiga, daripada syair-syair sebegini akan dapat kita menjejaki sentuhan dan sentimen peribadi sang penulis, selain latar zaman atau penulis yang dapat dibaca.

Siapakah gerangan Na Tien Piet?

Na Tien Piet ialah antara barisan Cina Peranakan yang giat menulis sastera dan karya umum untuk pembaca

Peranakan yang mendominan di kota-kota pelabuhan.

Golongan ini dahagakan bahan bacaan, dan syair menjadi salah satu yang diminati.

Singapura sendiri menjadi pusat percetakan Melayu yang utama di rantau ini.

Inilah juga yang menarik perhatian Baba Na untuk akhirnya bermastautin di Singapura.

“Beta Peranakan bangsa Cina

Akal dan budi kurang sempurna

Kurang faham erti dan makna

Bukan orang yang bijaksana

Na Tien Piet namanya beta

Sudah mengenal syairnya beta

Sangat bebal sudahlah nyata

Kurang faham berkata-kata

Dilahirnya beta tempoh dahulu

Di dalam negeri nama Bengkulu

Beta bebal sangat terlalu

Mengarang syair rasanya malu”

Begitulah sikap rendah hati Baba Na yang masih memakai etos penulis Melayu di mana sikap merendah hati menjadi salah satu ciri kepengarangan.

Yang paling menonjol adalah beliau memuji Sultan Abu Bakar yang bebas daripada perintah penjajah, sedangkan banyak kerajaan di Nusantara sudah di bawah cengkaman kuasa Eropah.

“Cuma Almarhum Sultan merdeka

Raja Melayu punya mustika

Pantas orang Melayu banyak suka

Kepada Almarhum Sri Paduka.”

“Negeri Sultan yang lain Kompeni perintah

Di Tanah Hindia kelilingnya rata

Banjak Kompeni yang mendapat harta

Sultannya dapat sedikit nyata.”

Beliau beranggapan kemampuan ini disebabkan Sultan Abu Bakar membuka negeri kepada perkebunan besar-besaran dan perdagangan, selain mempunyai pendidikan Inggeris di Singapura.

Gurunya, Reverend Keasberry, yang “telah menyampaikan seluruh pengetahuannya kepadanya”:

“Besarlah sudah duli Baginda

Diserahkan mengaji oleh ayahanda

Tuan Keasberry gurunya ada

Surat Inggeris diajarnya sudah.”

“Apa ilmunya di dalam dada

Diberinya segala kepada Baginda

Segala ilmu berapa yang ada

Kepada Baginda diberinya sudah.”

Kecenderungan Idea Reformis

Kecenderungan beliau melihat sisi ini kerana beliau sendiri terpengaruh dengan idea reformis yang mula didakapi oleh beberapa tokoh Cina Peranakan yang mahukan kemajuan dengan terbuka kepada pendidikan Barat.

Pandangan luas beliau juga kerana beliau sangat ligat berkelana di merata Hindia Belanda dan British Malaya. Sempat beliau ke Medan, dan mengadap ke Sultan Deli

“Pergi lah beta ke negeri Deli

Tinggal di Deli lama sekali,

Beta berkenalkan Ke Bawah Duli

Baginda Sultan Deli yang asali.”

“Baginda kahwinkan adinda puteri

Kepada Sultan di Serdang Negeri

Baginda menjemput beta ke mari

Di dalam pesta minta dihadiri.”

Undangan ke Majlis Istana

Sangat besar hati Na Tien Piet apabila diundang ke majlis istana yang disebut ‘pesta menari’, yang diadakan di Istana Tyersall di Singapura.

Istana tersergam mewah ini dipujinya dengan segala macam hiasan, termasuk lampu elektrik yang terpasang.

Sesampai di Istana, inilah beliau saksikan:

“Sampailah beta di dalam istana

Banyak yang datang ada di sana

Eropah, Arab, Melayu dan Cina

Semuanya memakai dengan sempurna

Istana itu di dalam Singapura

Sangatlah besar tiada terkira

Tiada ada banding dan tara

Perkakas dalamnya tiada murah

Sangatlah besarnya tempat menari

Dua ratus orang sekali berdiri

Serampak menari kanan dan kiri

Berpusing-pusing ke sana ke mari

Bersukalah hati segala orang

Api elektrik sangatlah terang

Segala orang hatinya girang

Macam api itu dilihat jarang

Sunggulah Baginda orang bangsawan

Baik budinya tiada terlawan

Banyak sekali sahabat dan kawan

Segala orang bangsawan dan hartawan.”

Bersyair Bermaklumat

Syair yang ditulis oleh Na Tien Piet ini kaya dengan maklumat dan pendapat.

Jelas dari 1,400 rangkap syair yang beliau hasilkan itu, beliau telah membuat kajian terlebih dahulu, mengumpulkan maklumat dengan cermat.

Pembesar Johor yang bertanggungjawab membangun negeri moden ini, disebutnya dengan puji sanjungan:

“Jaafar Datuk Perdana menteri

Dialah wakil almarhum bestari

Apabila almarhum keluar negeri

Bintang Johor almarhum beri

Mohamad Saleh nama yang nyata

Datuk Bentara Luar pangkat dikata

Jadi menteri di luarnya kota

Bintang Johor dapatlah serta

Ibrahim bin Abdullah nama dikata

Datuk Bentara Dalam pangkatnya nyata

Menjadi menteri di dalam kota

Bintang Johor dapatlah serta.”

Bukan saja para Menteri dan pentadbir dipuji, malah kesejahteraan rakyat Johor disebutnya begini.

“Sangatlah adil hukum perintah

Kaya dan miskin disamakan rata

Tiada dipandang orang berharta

Menurut undang ada berkata

Jarang rakyatnya menghisap madat

Sangat taat berbuat ibadat

Sopan dan malu dan tahu adat

Siang malam membaca Syahdat.”

Pendapat Baba Na tentang politik negeri yang sepakat dan rukun, dengan nada ‘pujangga’ yakni membilang satu hati antara Raja dengan Menteri untuk memajukan negeri. Disebutnya begini:

“Hendaklah sabar jangan pemarah

Apa dikerjakan hendaklah dikira

Dengan perlahan jangan segara

Apa yang dikerjakan sehala perkara

Hendaklah muafakat kepada Menteri

Apa dikerjakan jangan sendiri

Kerana Menteri orang yang bahari

Akalnya lanjut tiada terperi.”

Itulah Na Tien Piet yang menulis dengan rasa keakraban mendalam, malah ungkapan rendah hati dan puji syukurnya tidak berbeza daripada penulisan syair-syair Melayu klasik.

Penulisan beliau adalah rakaman sezaman yang berharga, sekali gus mengetengahkan dirinya sebagai peribadi yang berbahasa manis, yang bersopan majlis, dan berpeduli reformis.

Kesimpulan daripada pengkaji Sastera Peranakan Cina, Claudine Salmon, menarik diperturunkan:

“Keperibadian Na Tien Piet tidak terbatas pada satu dunia kebudayaan sahaja.

“Di satu sisi, beliau cukup dekat dengan orang Cina Peranakan progresif di Singapura yang sering bekerjasama dengannya, tetapi oleh kerana beliau berasal dari Sumatera, beliau kurang terpengaruh oleh kebudayaan Inggeris jika dibandingkan dengan mereka, sehingga beliau lebih terikat pada dunia Melayu di mana beliau mempunyai banyak rakan.

“Baginya negeri Johor merupakan puncak sintesis yang terbaik antara nilai-nilai Barat dan Timur.”

Sesungguhnya Na Tien Piet ialah tukang berita yang memasyhurkan Sultan Abu Bakar dan Johor, sekali gus penyumbang kepada historiografi dan sastera Johor.

Pastinya ia termasuk dalam senarai syair-syair yang ditulis oleh penulis Cina Peranakan di rantau ini.

Berkalamnya beliau dalam sejarah juga bererti hadirnya bersekelumit dan berkenyit.

Bagi yang menuntut Pengajian Melayu, syair Baba Na adalah lembaran sastera dan budaya yang berharga.

Bagi para penulis lainnya pula, ayuhlah kita meminjam pendoman daripada si Kalam Langit ini:

“Sukar sekali karang-mengarang

Hendaklah difikirkan dengan terang

Tiada boleh dikarang sembarang

Jikalau tersalah diumpat orang

Karang-mengarang suatu ilmu

Supaya yang membaca jangan jemu

Cari sajaknya sampai bertemu

Supaya terpuji namanya kamu.”

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan, Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera), Singapura. Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg