Perkataan ‘bapa’ atau ‘bapak’ seperti kita semua ketahui, merupakan kata panggilan kepada orang tua sebagai tanda hormat.
Bukan itu sahaja, ‘bapa’ atau ‘bapak’ turut digunakan untuk merujuk saudara lelaki ibu atau bapa, misalnya ‘pak long’ yang disingkatkan daripada ‘bapak long’.
Di Indonesia, penggunaan ‘bapak’ atau ‘pak’ ialah gelaran hormat kepada orang tua atau mereka yang dihormati, seperti guru, ketua kampung, pegawai pemerintah atau pemimpin masyarakat setempat.
Selain sebagai kata panggilan, ‘bapa’ membawa maksud pelopor atau perintis dalam sesuatu bidang atau gerakan tertentu.
Dalam bidang kesusasteraan Melayu misalnya, Munsyi Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah Abdul Kadir (1796-1854), digelar sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden.
Beliau diberi gelaran ini kerana keberaniannya meneroka tema baru yang jauh daripada kebiasaan pada zaman tersebut.
Karya pertama yang beliau hasilkan ialah pada 1830 menerusi Syair Singapura Terbakar.
Sebelum itu, karya-karya sastera Melayu yang dihasilkan hanya berkisar kepada lingkungan istana, kesultanan, mitos dan legenda Melayu yang adakalanya sarat dengan naratif tidak masuk dek akal.
Penulisan Abdullah sebaliknya banyak mengetengahkan isu kritis dan semasa, berdasarkan pemerhatian beliau terhadap masyarakat Melayu pada awal abad ke-19.
Satu lagi contoh yang menunjukkan takrifan bapa sebagai pelopor ialah gelaran yang diberikan kepada tokoh pemimpin Singapura iaitu Encik Lee Kuan Yew.
Encik Lee dikenali sebagai Bapa Pengasas Singapura kerana kejayaan beliau memimpin Singapura pascamerdeka, daripada sebuah negara miskin kepada antara sebuah kota kosmopolitan yang termaju di dunia.
Berdasarkan kedua-dua contoh di atas, jelaslah bahawa seorang pelopor merupakan individu yang memulakan langkah terhadap sesuatu, mempunyai kepimpinan yang tinggi, pencetus perubahan, serta suri teladan untuk diikuti generasi seterusnya.
Tanggungjawab seorang bapa terhadap anaknya sama sebagaimana seorang pelopor terhadap masyarakat atau rakyatnya.
Seorang bapa yang bertanggungjawab mempunyai kepimpinan yang tinggi ibarat nakhoda kapal dalam mengemudi bahteranya, terutama sekali di saat berhadapan badai.
Kebijaksanaan seorang bapa mencari jalan ketika berhadapan dengan permasalahan, mengatur hala tujuan si anak dalam hal berkaitan, misalnya, pendidikan dengan baik, laksana seorang pelopor yang disegani, boleh menjamin masa depan yang cerah untuk anaknya.
Dalam membentuk keperibadian anak, seorang bapa akan memulakan langkah pertama dengan memaparkan sifat yang murni di depan anaknya kerana percaya bahawa cerminan akhlak seorang bapa membentuk keperibadian anak bak pepatah, ‘bapa borek, anak rintik’.
Peranan bapa bukan setakat di situ sahaja.
Sebagai ketua keluarga, seorang bapa akan selalu memastikan keperluan asas seisi rumah mencukupi.
Beliau akan bertungkus lumus mencari nafkah untuk keluarganya siang dan malam, tanpa mengira penat, agar anak dapat membesar serba-serbi mencukupi.
Bersama isteri yang sentiasa mendampingi, seorang bapa akan berkorban tenaga dan keinginan peribadinya demi anak-anak tercinta.
Seperti juga tanggungjawab seorang nakhoda kapal, seorang bapa akan memastikan anak-anaknya sampai ke destinasi impian mereka dengan selamat kerana dalam pelayaran kehidupan, tiada kejayaan yang lebih membahagiakan sang bapa, selain melihat anaknya berdiri megah di pelabuhan impian mereka.
“
Seperti juga tanggungjawab seorang nakhoda kapal, seorang bapa akan memastikan anak-anaknya sampai ke destinasi impian mereka dengan selamat kerana dalam pelayaran kehidupan, tiada kejayaan yang lebih membahagiakan sang bapa, selain melihat anaknya berdiri megah di pelabuhan impian mereka.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg